Pages

Saturday, April 4, 2009

MAHATHIR DIJANGKA SERTAI SEMULA UMNO SEBELUM LUSA

SUNGAI PETANI: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan menyertai semula Umno sebelum lusa dan beliau dijadualkan membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang, Perak, dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Sungai Petani, Kedah.

Perkara itu disahkan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir, yang ditemui ketika berkempen dari rumah ke rumah di Bukit Topang, Bukit Selambau, petang kelmarin.

'Kita cuba aturkan pada petang Isnin ini... Tun (Dr Mahathir) akan turun ke Bukit Selambau selepas dua program di Bukit Gantang pada hari sama. Insya-Allah pada waktu itu beliau akan datang sini sudah tentu sebagai ahli Umno dan berkempen untuk memenangkan calon BN,' katanya.

Datuk Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berkata kesediaan Tun Dr Mahathir membantu kempen calon BN bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu adalah kerana keyakinan terhadap parti dan kerajaan berikutan peralihan kuasa pucuk kepemimpinan.

'Itu membuktikan beliau sendiri yakin dengan pucuk kepemimpinan yang baru, malah kami pun memang menanti-nantikan saat apabila beliau menghantar borang keahlian Umno dan menjadi ahli Umno kembali,' katanya.

Dr Mahathir mengisytiharkan beliau keluar Umno pada Mei tahun lalu selepas mengkritik kepemimpinan Datuk Seri Abdullah. -- Bernama.

No comments:

Posting Terkini