Pages

Thursday, March 26, 2009

Abdullah mendapat signal jelas sokongan ahli Umno

MAC 26 — Tunggang terbalik. Itulah yang berlaku dalam pemilihan pucuk pimpinan Pemuda Umno. Khairy Jamaludin yang dianggap bakal kalah selepas mendapat surat amaran dari Lembaga Disiplin Umno kerana melakukan rasuah politik telah menang. Khairy memperolehi 304 undi dari 793 perwakilan Pemuda Umno.

Minggu lalu, seorang wartawan dari Merdeka Review bertanya kepada saya, siapa yang akan menang dalam pertandingan Pemuda Umno ini, saya tanpa berfikir panjang berkata,"Jika saya perwakilian Pemuda Umno, saya akan memberikan undi saya kepada Khairy."

Dan inilah yang berlaku, 304 perwakilan Pemuda Umno telah memberikan undi mereka kepada Khairy. Ia akan menjadi 305 undi untuk Khairy jika saya juga adalah anggota perwakilan mereka.

Pelbagai pandangan yang kita dengar dan baca sebaik sahaja Khairy diumumkan sebagai pemenang. Yang paling saya boleh terima adalah ahli Umno sebenarnya masih sayangkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bapa mertua Khairy itu. Abdullah hanyalah mangsa kepada konspirasi politik dalam dan luar Umno.

Kenapa saya katakan begini? Kerana, Khairy adalah lambang dan neraca sokongan atau penentangan ahli Umno terhadap Abdullah. Kemenangan Datuk Seri Shahrizat dengan majoriti yang begitu besar di Wanita Umno juga menunjukkan trend ini.

Beberapa hari sebelum perhimpunan, rakan-rakan saya dari media alternatif juga terpengaruh bahawa Tan Sri Rafidah Aziz akan menang dalam perebutan jawatan Ketua Wanita Umno.

Sebelum ini saya telah menulis, kebimbangan untuk Shahrizat menang adalah kalau-kalau dia dikaitkan dengan team Abdullah. Ini kerana, ketika musim pencalonan dahulu, semua yang dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat pencalonan paling banyak, termasuk anaknya Mukhriz yang mendapat pencalonan terbanyak untuk jawatan ketua pemuda.

Namun, sejak kebelakangan ini, terbukti sokongan kepada Abdullah meningkat. Mungkin sokongan ini bercampur dengan simpati kepada beliau.

Kenapa simpati? Saya rasa inilah yang tidak difahami oleh Dr Mahathir dalam membaca pemikiran rakyat biasa khasnya orang Melayu.

Ingat tak kes Datuk Seri Anwar Ibrahim? Ketika Anwar di dalam Umno, Pas dan para pemimpinnyalah yang paling banyak menghentam Anwar. Cuba sebut apa yang tidak dikatakan mereka kepada Anwar.

Bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor pernah berkata, "menteri yang jaga kerbau lembu” kepada Anwar. Tetapi apabila Anwar dianiaya, beliaulah antara pemimpin pertama yang datang bertemu Anwar.

Keputusan pilihan raya 1999 adalah manifetasi dari rakyat yang simpatikan Anwar dan marahkan Dr Mahathir.

Menjelang pemilihan Pemuda dan Wanita Umno, pelbagai jenis tekanan diberikan kepada mereka yang dikira penyokong Abdullah. Norza, Azalina, Ali Rustam bahkan Khairy sendiri semuanya dianggap sebagai penyokong atau mereka yang dekat dengan Abdullah.

Persepsi di kalangan orang ramai adalah Lembaga Disiplin diperalatkan untuk mengenepikan orang-orang Abdullah. Dalam masa yang sama, hampir setiap hari Mahathir akan menghentam Abdullah kiri dan kanan.

Namun, Pemuda Umno membuat keputusan, Khairy pilihan mereka, kedua adalah Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dikatakan terbukti tidak rasuah itu dan yang mendapat undi tercorot adalah Mukhriz, yang tidak pun didakwa dan disiasat atas apa-apa kesalahan rasuah itu.

Kini perwakilan Pemuda Umno bolehlah memberitahu Dr Mahathir, kamu diam. Sebagaimana saya, kamu juga bukannya ahli Umno. Ha ha ha.

Sekarang, Abdullah mempunyai sedikit sahaja waktu. Dalam ucapan dasarnya, Abdullah tidak sebut pun soal bila dia akan menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Razak. Yang berlaku hanya perhimpunan agung Umno mengesahkan Najib adalah Presiden Umno yang baru menggantikan Abdullah.

Terbukti, melalui keputusan Pemuda dan Wanita, Abdullah mendapat sokongan dari perwakilan Umno. Namun yang mengawal Umno sekarang adalah orang luar Umno. Persoalannya, apakah Abdullah akan terus berlalu begitu sahaja atau dia akan berbuat sesuatu di saat-saat akhir ini selepas mendapat signal yang jelas dari para perwakilan.

No comments:

Posting Terkini