Pages

Wednesday, February 18, 2009

Sekilas - Dunia dan Malaysiakini

Rasa hormat hak asasi terjejas

GENEVA: Kempen memerangi pengganasan yang dilancar Amerika Syarikat menyusuli serangan pengganas 11 September 2001 menjejas teruk rasa hormat dunia terhadap hak asasi, menurut laporan yang disiarkan kelmarin.

Amerika mengambil langkah menangani pengganasan yang bertentangan dengan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa,' kata laporan berjudul Menilai Kerosakan, Menggesa Tindakan melibatkan kajian selama tiga tahun, termasuk 16 perbicaraan di lebih 40 negara di seluruh dunia. -- Agensi.

Dua banduan diberkas semula

PARIS: Dua samseng bersenjata yang melarikan diri selepas meletupkan pintu sebuah penjara di Perancis berjaya diberkas semula semalam.

Christophe Khider, 37 tahun, ditembak di badan dan cedera parah semasa berbalas tembakan selepas polis merempuh kereta mereka di tenggara Paris, kata para pegawai.

Omar Top El Hadj, 30 tahun, pula ditangkap tanpa sebarang kecederaan, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Encik Gerard Gachet. -- AFP.

2,118 orang awam maut di Afghan

KABUL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata 2,118 orang awam terbunuh di Afghanistan sepanjang 2008, yang merupakan tahun paling berdarah sejak Amerika Syarikat menyerang negara itu pada 2001.

Sekitar 55 peratus daripada kematian itu dikaitkan dengan gerila antipemerintah, 39 peratus dikaitkan dengan askar propemerintah, termasuk askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang dipimpin Amerika.

Baki 6 peratus tidak dikaitkan dengan mana-mana pihak, termasuk insiden terkena tembakan peluru sesat. -- AFP.

Pulau mungkin tenggelam

JAKARTA: Kepulauan luar Indonesia mungkin tenggelam sama sekali disebabkan perubahan iklim, menurut laporan akhbar Jakarta Post semalam.

Seorang penyelidik Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Cik Dewi Fortuna Anwar, berkata pemerintah harus memastikan kehadiran fizikal pulau-pulau itu dengan membina 'tembok tinggi' untuk mencegah kepulauan itu ditenggelami air laut.

'Pemerintah harus merundingkan sempadan maritim dengan negara jiran secepat mungkin bagi memastikan hak milik pulau-pulau luar terjamin.

'Pemerintah juga boleh menebus guna tanah di pulau-pulau yang rendah,' tegasnya. -- Agensi.

AP baru Kuala Terengganu angkat sumpah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (AP) Kuala Terengganu yang baru, Encik Mohd Abdul Wahid Endut, semalam mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Wakil rakyat dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) berusia 52 tahun itu memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti sebanyak 2,631 undi pada 17 Januari lalu. -- Harian Metro.

Kes Altantuya: Keputusan 9 April

SHAH ALAM: Nasib dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman yang didakwa atas tuduhan membunuh seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, akan ditentukan Mahkamah Tinggi di sini pada 9 April ini.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menetapkan tarikh itu selepas beliau selesai mendengar hujahan balas Timbalan Pendakwa Raya, Encik Manoj Kurup, di akhir kes pembelaan terhadap Ketua Inspektor Azilah Hadri, 33 tahun, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 37 tahun.

Sirul dan Azilah Hadri telah dibicarakan selama 159 hari termasuk prosiding semalam setelah mereka diperintah membela diri atas tuduhan membunuh itu. -- Utusan Malaysia.

Tujuh dibebas daripada tuduhan bunuh

SEREMBAN (Negeri Sembilan): Mahkamah Tinggi di sini semalam membebaskan tujuh lelaki atas tuduhan membunuh Ketua Kongres India Malaysia (MIC) cawangan Rahang dan anak lelakinya, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Ma'ah bagaimanapun memerintahkan seorang lagi tertuduh yang di bawah umur ketika kejadian itu membela diri Jumaat ini atas tuduhan membunuh D. Balakrishnan, dan anaknya, Karthigesan. -- BHM.

Tiga warga Myanmar ditemui mati

KUALA LUMPUR: Tiga warga Myanmar termasuk dua beranak ditemui mati dengan beberapa tikaman di rumah mereka di Lorong Permai 14, Tasik Permai, Ampang dekat sini semalam.

Mangsa dikenali sebagai Cik Nurhajahan, 39 tahun, anak perempuannya, Nurazizah, tujuh tahun, dan adik saudaranya, Nasir, 22 tahun.

Mereka kesemuanya ditemui terbaring atas tilam oleh suami Cik Nurhajahan, Encik Mohd Ali, 45 tahun, yang pulang ke rumah selepas menghadiri kelas agama di sebuah madrasah di Seri Petaling. -- Utusan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini