WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, dalam perbualan menerusi telefon memberitahu Presiden Turkey, Encik Abdullah Gul, dan Perdana Menteri Tayyip Erdogan, bahawa beliau mahu mengukuhkan hubungan dengan negara itu dan menyatakan sokongan terhadap hubungan Turkey yang semakin baik dengan Iraq, kata Rumah Putih kelmarin.
Presiden (Obama) menegaskan peri pentingnya hubungan sekutu antara Amerika dengan Turkey dan berkata beliau berharap dapat bekerjasama dengan Presiden Gul dan Perdana Menteri Erdogan mengenai agenda melibatkan kepentingan bersama,' kata satu kenyataan Rumah Putih.
'Dalam kedua-dua panggilan itu, para pemimpin tersebut membincangkan sejumlah isu semasa, termasuk sokongan Amerika terhadap hubungan Turkey-Iraq yang semakin meningkat, pentingnya kerjasama dalam usaha damai Timur Tengah, dan semakan dasar Amerika mengenai Afghanistan dan Pakistan,' tambah kenyataan itu.
Sebagai sekutu rapat Amerika dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Turkey memainkan peranan penting dalam kempen memerangi pengganasan di Afghanistan dan Pakistan, termasuk operasi Amerika di Iraq.
Pemerintah Turkey juga terlibat secara positif sebagai pengantara bagi konflik Palestin dengan Israel.
Bagaimanapun, hubungan Amerika dengan Turkey menghadapi cabaran terutamanya berhubung keadaan di Iraq.
Ankara, yang menganggap gerila Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di utara Iraq sebagai satu ancaman, berpendapat ketidakmantapan Iraq akan mendorong pemisah Kurdi di Turkey dan Iraq melancarkan perjuangan mencapai kemerdekaan.
Oleh itu, Turkey berulang kali melancarkan serangan ke atas kubu persembunyian PKK di utara Iraq.
Bantahan Amerika terhadap operasi Turkey ke atas gerila PKK di utara Iraq mencetuskan ketegangan antara Ankara dengan Washington.
Satu lagi sumber ketegangan ialah hubungan Amerika dengan Armenia.
Turkey secara tegas menolak dakwaan bahawa ia melakukan pembunuhan beramai-ramai di Armenia. Menurutnya, langkah Amerika mengiktiraf adanya pembunuhan serupa itu akan 'meracuni' hubungan Amerika dengan Turkey.
'Perdana Menteri Erdogan menyuarakan keprihatinan Turkey mengenai Armenia dan dasar Amerika di Timur Tengah. Menurutnya, adalah penting bagi Amerika mengamalkan dasar yang adil dan tidak pilih kasih,' kata kenyataan itu lagi. -- Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment