BANGKOK: Ribuan penunjuk perasaan terdiri daripada penyokong mantan perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, semalam mengepung bangunan Parlimen dan menuntut Perdana Menteri, Encik Abhisit Vejjajiva, meletak jawatan.
Sekitar 7,000 penunjuk perasaan berbaju merah itu turut menuntut agar parlimen dibubarkan dan pilihan raya baru diadakan.
Barisan Bersatu Demokrasi Menentang Diktator (UDD) mengadakan tunjuk perasaan itu tiga hari sebelum sidang puncak Asean berlangsung hujung minggu ini, dengan tujuan memalukan kerajaan.
Seorang pemimpin UDD, Encik Jakrapob Penkair, berkata tunjuk perasaan itu diadakan untuk menunjukkan kepada negara jiran Asean bahawa kerajaan pimpinan Encik Abhisit tidak berhak memerintah.
'Para pemimpin kerajaan telah melawat banyak negara untuk mendapatkan pengiktirafan. Tetapi mereka sudah tahu bahawa kerajaan adalah pemerintahan diktator dalam penyamaran,' kata Encik Jakrapob kepada penyokong beliau.
'Kerajaan ini penuh dengan penyamun. Kami tidak mengundi mereka. Majoriti penduduk tidak mengundi mereka. Tetapi mereka kini berkuasa kerana golongan elit mahukan mereka,' kata seorang lagi pemimpin UDD, Encik Jatuporn Phromphan.
Encik Jakrapob berkata penunjuk perasaan akan berkhemah di situ sekurang-kurangnya dua hari bagi mengemukakan tuntutan mereka, tetapi tidak akan merempuh masuk Bangunan Kerajaan seperti yang dilakukan pesaing mereka, Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD), tahun lepas.
'Kami tidak ada rancangan hendak menduduki Bangunan Kerajaan kerana ia tak akan mencapai apa-apa,' kata Encik Jakrapob.
'Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah menunjukkan kepada dalang (kerajaan) bahawa Baju Merah masih tetap kuat,' tegas beliau.
Semalam ribuan penyokong UDD cuba merempuh barisan polis pencegah rusuhan. Malah ada merempuh kawat berduri yang dipasang bagi menghalang kemaraan mereka.
Encik Abhisit, yang semalam membawa kabinetnya melawat tempat sidang puncak Asean bakal berlangsung di Hua Hin, 150 kilometer ke barat daya Bangkok, bercadang kembali ke pejabatnya di Bangunan Kerajaan, yang dikawal 3,000 polis pencegah rusuhan, hari ini.
Sekitar 2,000 askar pula sudah bersiap sedia di kawasan itu, kata Leftenan Jeneral (polis) Worapong Chiewpreecha.
'Saya yakin tidak akan berlaku sebarang keganasan dan kami boleh masuk (ke Bangunan Kerajaan) untuk menjalankan tugas,' kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Suthep Thaugsuban, semalam.
Encik Jatuporn berkata jika polis cuba mengganggu rapat UDD di Bangunan Kerajaan, penunjuk perasaan akan beralih ke tapak sidang puncak Asean di Hua Hin.
Encik Abhisit kelmarin berkata: 'Baju Merah boleh menunjuk perasaan, tetapi mereka mesti menghormati undang-undang.
'Kami berharap dapat menunjukkan bahawa kami boleh mengendalikan perbezaan pandangan politik.' - Agensi.
Wednesday, February 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment