Pages

Saturday, January 17, 2009

KEPERIBADIAN CALON JADI PENENTU

TIADA banyak isu yang boleh ditonjolkan untuk mempengaruhi keputusan pengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu hari ini.

Namun, faktor personaliti dijangka memainkan peranan penting - malah, mungkin menjadi faktor utama dalam menentukan siapakah bakal menjadi pemenang pilihan raya kecil itu.

Tiga calon sudah berkempen sejak 6 Januari lalu untuk menjadi Ahli Parlimen (AP) Kuala Terengganu baru hari ini. Mereka ialah:

# Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Barisan Nasional (BN) daripada Umno;

# Encik Mohd Abdul Wahid Endut, calon Pakatan Rakyat (PR) daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS); dan

# Encik Azharuddin Mamat @ Adam, calon bebas.

Pilihan raya itu diadakan selepas AP terdahulu Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail, meninggal dunia semasa bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands, pada 28 November lalu.

Walaupun, pilihan raya ini satu persaingan tiga penjuru, tumpuan sejumlah 80,229 pengundi berdaftar, pihak media dan pemerhati politik terpaku ke arah Datuk Wan Ahmad Farid dan Encik Mohd Abdul Wahid.

Harus diingat bahawa PAS menguasai tiga daripada empat kerusi di Kuala Terengganu: Batu Buruk, Ladang dan Wakaf Mempelam. Satu lagi kawasan, Bandar, dikuasai BN melalui parti komponennya, Persatuan Cina Malaysia (MCA).

BN pula menerajui kerajaan negeri Terengganu setelah merampas negeri itu daripada PAS pada 2004.

Lantas, penting bagi kedua-duanya - BN dan PAS - terus menambat sokongan penduduk negeri pantai timur itu.

PENTINGNYA PILIHAN RAYA

Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam blognya pernah menyifatkan pilihan raya kecil ini tidak penting.

Bagaimanapun, beberapa pemerhati politik menyangkal pandangannya itu.

'Ia mungkin dilihat kritikal oleh beberapa individu dalam BN yang mahu mengukuhkan pengaruh politik masing-masing, dan bagi Pakatan Rakyat yang mahu merebut satu lagi kerusi di Parlimen,' kata seorang pengamat politik di Kuala Lumpur semasa dihubungi baru-baru ini.

Tambahan pula, ia penting bagi Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalan perdana menteri yang bakal menjadi pengganti perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas Mac ini.

Datuk Seri Najib sudah tentu mahu mengukur sokongan rakyat Malaysia terhadapnya.

Beliau juga mahu menghentikan spekulasi bahawa peristiwa kekalahan empat negeri lain - selain Kelantan - yang pernah ditadbir BN pada pilihan raya umum 8 Mac lalu ke tangan PR adalah trend perubahan yang semakin berakar umbi di Malaysia.

Bagi Datuk Seri Abdullah pula, pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid akan menentukan sejauh mana keutuhan pengaruh dan penyokongnya dalam Umno. Ia penting bagi beberapa individu Umno dalam 'kem' Datuk Seri Abdullah.

PR pula mahu arus perubahan yang ditunjukkan oleh para pengundi Malaysia dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu berterusan.

Ini akan mencerahkan peluangnya mengambil alih kerajaan pusat negara itu dengan mendapatkan satu lagi kerusi dalam Parlimen.

Kesudahan pilihan raya ini, bagaimanapun, akan ditentukan oleh beberapa perkara.

# Faktor tanggapan

Paling menonjol dalam benak pengundi ketika ini ialah keperibadian Datuk Wan Ahmad Farid, 46 tahun.

Dalam kalangan mereka, ada yang berkata beliau 'sombong', 'sukar menguntum senyum' dan 'kaku untuk bergaul dengan orang'.

Ada juga yang mendakwa belum pernah menemui atau mengenali calon BN itu sebelum kempen pilihan raya itu.

Malah, sesetengah anggota Umno Terengganu juga difahamkan mempersoalkan pemilihan bekas peguam dan setiausaha politik kementerian keselamatan dalam negeri itu.

Ada orang Umno menganggap beliau 'orang' bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sesetengah anggota Umno, beberapa pemerhati politik Malaysia dan Dr Mahathir pula menyifatkan beliau 'proksi' kepada Datuk Seri Abdullah.

Walaupun Datuk Wan Ahmad Farid anak watan Terengganu, beliau dikaitkan dengan sebuah keluarga elit yang terbabit dalam jawatan perkhidmatan awam tertentu.

'Beliau dilihat seperti 'orang luar', kurang mesra dengan politik di Kuala Terengganu,' kata seorang sumber Umno.

Maka, tidak hairan jika Datuk Wan Ahmad Farid senantiasa dinasihati pucuk pimpinan Umno supaya lebih banyak mengukir senyuman, beramah mesra dan menunjukkan minat terhadap kehidupan masyarakat kampung dalam negeri kedua paling miskin di Malaysia itu.

Malah, pencalonannya membuat kepimpinan BN bersikap lebih defensif dalam kempen komponen parti pemerintah itu.

Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Najib terpaksa berulang kali menangkis dakwaan negatif terhadap keperibadiannya oleh pihak lawan.

Mereka berharap calon BN itu dinilai atas dasar kebolehannya berkhidmat dan bukan setakat personalitinya.

Harapan ini diluahkan walaupun Datuk Wan Ahmad Farid tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Jelas, mungkin satu pengharapan yang sukar kerana masyarakat kampung, seperti di Kuala Terengganu, biasanya menitikberatkan soal keperibadian.

Encik Mohd Abdul Wahid, 52 tahun, sebaliknya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam - bukan setakat sepenggal tetapi selama lima penggal.

Beliau dipilih sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, selepas pemimpin PAS itu mendapatkan pandangan umum termasuk mengadakan isytisyarah (pandangan orang ramai) dan istikharah (solat meminta petunjuk).

Ketua PAS Bahagian Kuala Terengganu itu, yang juga bekas graduan jurusan sains perikanan dan marin daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), dikatakan setakat ini tidak mempunyai 'sebarang isu peribadi' dan diterima masyarakat kampung.

Pendek kata, Encik Mohd Abdul Wahid kelihatan lebih mesra dengan penduduk Kuala Terengganu walaupun ada sesetengah pemerhati politik menyifatkan beliau belum cukup meluas dikenali - tidak seperti Haji Mohamad Sabu.

Haji Mohamad, yang mewakili PAS, pernah tewas kepada Datuk Razali di Kuala Terengganu pada pilihan raya umum Mac lalu dengan 628 undi majoriti.

Ada juga yang mempersoalkan karisma Encik Mohd Abdul Wahid dalam mempengaruhi pengundi di Kuala Terengganu, dan membandingkannya dengan Haji Mohamad.

# Pengundi Melayu/Islam


Pengundi Melayu Kuala Terengganu membentuk lebih 88 peratus daripada 80,229 pengundi berdaftar.

Sokongan mereka terhadap dua calon utama pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu masih berbelah bahagi.

Ini walaupun Encik Mohd Abdul Wahid kelihatan masih lebih disenangi penduduk Melayu di sana berbanding Datuk Wan Ahmad Farid, menurut beberapa teman wartawan di sana.

Sedang ada yang dikatakan belum pasti sama ada hendak mengundi pada hari ini, terdapat juga mereka yang lebih condong membandingkan calon daripada bendera parti, kata mereka.

Ini kerana tiada isu besar yang dapat membezakan kelebihan sesebuah parti pada mata para pengundi.

Bagaimanapun, sama ada BN mampu mempertahankan kerusinya di Kuala Terengganu atau tidak akan banyak bergantung pada keputusan 70,703 pengundi Melayu di sana.

Apa yang nyata, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, yang membentuk hampir 21 peratus daripada 80,229 pengundi berdaftar di Kuala Terengganu dan pernah dimenangi PAS dengan undi majoriti tipis pada Mac lalu, akan cuba 'ditawan' semula oleh BN.

PAS pula akan cuba mengukuhkan lagi kedudukannya di Wakaf Mempelam dan Batu Buruk - kedua-duanya membentuk hampir 51 peratus keseluruhan jumlah pengundi berdaftar itu.

Jadi, sokongan orang Melayu penting bagi BN dan PAS.

# Pengundi Cina

Sekitar 11 peratus atau 8,825 daripada jumlah pengundi yang berdaftar di Kuala Terengganu adalah orang Cina.

Difahamkan, kira-kira 65 peratus daripada mereka pernah mengundi BN dalam pilihan raya yang lalu.

Sudah tentu BN akan menggunakan segala kesempatan untuk menambat hati pengundi Cina.

Dalam hal ini, contohnya, isu hudud yang ditimbulkan PAS baru-baru ini telah digunakan untuk mengalih pandangan pengundi Cina daripada PAS kepada BN.

Hampir semua pemimpin BN mengambil kesempatan menghamburkan kritikan pedas terhadap pendirian PAS itu.

Isu tersebut menimbulkan sedikit persoalan dalam kalangan pengundi Cina terhadap PAS.

Rekod jentera pentadbiran BN sudah pasti digunakan Datuk Wan Ahmad Farid sebagai bahan tarikan para pengundi Cina, selain jaminan Datuk Seri Najib bahawa kerajaan BN tidak akan mendiskriminasikan kaum Cina Kuala Terengganu.

Namun, satu tinjauan kumpulan kajian bebas, Merdeka Center, baru-baru ini pula menunjukkan bahawa kaum Cina kali ini mungkin lebih condong mengundi PAS.

Tinjauan itu berkata tiga daripada empat pengundi Cina akan mengundi PAS, dan lebih setengah daripada responden berkata mereka bimbangkan isu keadilan kaum.

Bagaimanapun, BN masih mengharapkan golongan ini memberikan mereka kelebihan undi.

PEMENANGNYA?

BN dan PR mempunyai peluang sama untuk memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Orang Melayu Terengganu berbelah bahagi mengenai logo mana yang harus mereka sokong.

Namun, suara-suara akar umbi yang dikirimkan kepada saya menerusi e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Kuala Terengganu menunjukkan satu kemenangan untuk PR.

Sedang calon Umno orang berkelayakan dan mempunyai pengalaman mentadbir, calon PAS dianggap lebih mesra dengan penduduk Kuala Terengganu.

Sokongan kaum lain terhadap calon PAS juga dijangka semakin kukuh.

Encik Azharuddin pula kelihatan yakin beliau tidak akan kehilangan depositnya. Jika ini benar, beliau mungkin merampas jumlah undi lebih besar berbanding calon bebas yang pernah bertanding pada pilihan raya lalu.

Mampukah arus perubahan yang pernah tercetus semasa pilihan raya umum Malaysia pada 8 Mac lalu berterusan di Kuala Terengganu?

Sama-sama kita tunggu keputusan pengundi malam ini.

No comments:

Posting Terkini