ALOR SETAR: Bantahan DAP terhadap pelaksanaan hukum hudud di negara ini hanya dibuat oleh pengerusinya Karpal Singh dan bukannya merupakan satu isu bagi parti itu, kata Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak."Ini bukan isu DAP tetapi Karpal sendiri kerana dia seorang yang kerap membangkitkannya. Datuk Seri Anwar Ibrahim dia marah, PAS pun dia marah. Jadi dia seorang saja yang betul," katanya kepada pemberita di sini, hari ini ketika diminta mengulas ugutan Karpal semalam untuk membawa DAP keluar daripada pakatan pembangkang jika hukum hudud dilaksanakan oleh PAS seandainya pembangkang memerintah negara ini.
Azizan yang juga Menteri Besar Kedah, berkata Karpal enggan menerima hakikat bahawa negara ini adalah negara Islam.
"Kita tahu dia lawyer. Dia nak pertahan undang-undang (....) tak apalah," katanya.
Azizan berkata, PAS juga boleh membuat ugutan serupa kepada DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika mereka tidak mahu mengikut cara Islam yang dibawa oleh PAS.
"Semasa kita mencapai persetujuan dulu untuk bekerjasama di bawah Pakatan Rakyat, tiaptiap parti setuju meneruskan dasar masingmasing," katanya.
Beliau berkata, PAS tidak sekali-kali akan mengorbankan dasarnya mengenai Islam dan mungkin begitu juga pendirian DAP atau PKR.
Di Pulau Pinang, Naib Ketua Pemuda Gerakan negeri, H'ng Khoon Leng, berkata langkah setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menyokong calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu adalah sama seperti menyokong hukum hudud. BERNAMA
No comments:
Post a Comment