KLUANG: Kegiatan seorang lelaki yang menjual pelbagai barang elektrik terpakai pada harga murah di Simpang Renggam dekat sini, akhirnya terbongkar apabila dia ditahan polis kerana disyaki pelanggan utama kumpulan pecah rumah dan sekolah yang aktif sejak awal tahun ini.
Lelaki berusia 43 tahun itu yang terkenal dengan jolokan Wak Kacang Bole-Bole, yang menjalankan perniagaan barang lusuh termasuk barang elektrik terpakai secara haram ditahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, kerana memiliki barangan curi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad, berkata kegiatan lelaki itu yang menjual pelbagai barang curi menggalakkan kegiatan jenayah, khususnya pecah rumah sekitar daerah ini.
Ini terbukti apabila enam remaja berusia antara 16 hingga 18 tahun yang ditahan kerana terbabit dalam kes pecah rumah dan sekolah sekitar Simpang Renggam menjual barang curi itu kepada Wak Kacang Bole-Bole.
Mohamed Fawzi berkata, berikutan beberapa kes pecah sekolah dan rumah dilaporkan di Simpang Renggam sejak awal tahun ini, polis menubuhkan pasukan khas dan melancarkan Ops Kacak Simpang, bagi menjejaki kumpulan penjenayah itu.
"Operasi itu dinamakan Ops Kacak Simpang kerana seorang daripada penjenayah yang disyaki itu dikenali sebagai Mat Kacak," katanya.
Beliau berkata, hasil maklumat orang ramai polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah pada 11 Ogos lalu.
Berikutan itu, enam lagi rakannya serta Wak Kacang Bole-Bole ditahan dalam tempoh dua hari kemudian dan polis menemui semula pelbagai barangan curi antaranya lima pemain cakera video digital (DVD), satu pemain cakera padat video (VCD) dan satu komputer riba.
Beliau berkata, dengan penahanan Wak Kacang Bole-Bole serta enam penjenayah remaja itu, polis yakin dapat menyelesaikan 15 kes iaitu tujuh kes pecah sekolah dan lapan kes pecah rumah di sekitar Simpang Renggam, sejak awal tahun ini.
"Enam remaja itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 454 kanun sama," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment