Pages

Monday, March 15, 2010

Zul terus serang Anwar, mahu bawa usul Parlimen

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 15 Mac — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin yang dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih seminggu lalu terus menjadikan bekas ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sasaran kritikan beliau menjelang sidang baru Parlimen hari ini.

Zulkifli yang dipecat berhubung kes disiplin menegaskan, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat seharusnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Mengambil kira kerusi dimiliki DAP lebih banyak berbanding PKR dan PAS, kata beliau, mengikut konvensyen berparlimen dan nilai demokrasi, seharusnya Anwar mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang dan menyerahkannya kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Sebenarnya itulah cara terbaik dan paling demokratik yang patut dilakukan oleh Anwar,” kata wakil rakyat kontroversi ini dalam tulisan blognya malam tadi.

“Kalau saya menjadi penasihat strategi dan politik Anwar, saya akan menasihatkan beliau supaya mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang.

“Saya cukup pasti kalau itu dilakukan, rakyat akan lebih menghormati Anwar kerana akan dilihat tidak mementingkan jawatan, dan bersikap menghormati nilai demokrasi yang dilaungkan oleh PKR,” katanya.

Zulkifli menambah beliau pasti PAS dan DAP akan membawa usul dalam Parlimen supaya Anwar yang juga Penasihat PKR dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang.

“Dan semasa usul serta bahas, saya akan nasihatkan Anwar supaya jangan berada dalam Dewan. Dan, saya cukup pasti BN tidak akan membantah usul itu kerana ia tiada kena-mengena dengan BN,” katanya.

Zulkifli meneruskan serangannya dengan berkata, berdasarkan kedudukan jumlah kerusi parti-parti bukan kerajaan, maka menurut Peraturan 2 Peraturan Mesyuarat Parlimen dan berdasarkan prinsip ‘amalan berparlimen sejagat serta nilai demokrasi yang diterima pakai, susunan kerusi sepatutnya kini berubah.

“Bermakna semua Ahli Parlimen DAP sepatutnya kini duduk di blok paling depan sebelah kiri Speaker iaitu Blok I.

“Kemudian diikuti oleh Ahli-ahli Parlimen PKR dan kemudiannya PAS dan PSM (Parti Sosialis Malaysia).

“Jadi saya nak tengok esok (hari ini) apakah susunan tersebut dilaksanakan oleh Tan Sri Speaker. Sekiranya tidak, kemungkinan akan ada usul Peraturan Mesyuarat dibawa untuk susunan kerusi dibuat mengikut apa yang saya sebut tadi,” katanya.

Tempat duduk ahli-ahli Dewan Rakyat terbahagi kepada sembilan blok iaitu Blok A hingga Blok I.

Zulkifli menambah sekiranya itu berlaku bermakna walaupun Anwar akan menduduki kerusi Ketua Pembangkang, namun beliau akan dikelilingi oleh Ahli-ahli Parlimen DAP.

“Ini mungkin satu keadaan yang tidak selesa bagi Anwar sebagai Ketua Umum PKR... sebab itulah konvensyen amalan berparlimen dan nilai demokrasi mengehendaki Ketua Pembangkang adalah daripada parti bukan kerajaan yang memiliki kerusi yang paling banyak,” katanya.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini.

Ia dijangka mengundang tumpuan khususnya perubahan tempat duduk anggota Dewan Rakyat jika jawatan ketua pembangkang yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar tangan.

Walaupun PKR tidak lagi mempunyai kelebihan kerusi berbanding pembangkang lain setelah empat wakil rakyatnya kini menjadi wakil Bebas, maka sekiranya Anwar masih menyandang jawatan ketua pembangkang, ini bermakna jawatan itu dipegang oleh pemimpin yang bukan daripada parti yang menguasai majoriti kerusi.

Seperti dijelaskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia baru-baru ini, Anwar boleh terus menjadi ketua pembangkang selagi beliau mendapat sokongan majoriti wakil pembangkang.

Lim dan dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang masing-masing telah menyatakan mereka tidak akan berebut jawatan itu.

Namun begitu, jawatan itu tetap bakal menjadi perhatian apabila dewan bersidang.

Pada persidangan kali ini, sejarah juga bakal dilakar kerana terdapat pertambahan kerusi anggota Parlimen Bebas.

Ini kerana empat anggota PKR kini menjadi wakil Bebas.

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) keluar parti kerana tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan PKR manakala Zulkifli pula dipecat oleh parti itu.

Berdasarkan kedudukan terkini, PKR mempunyai 27 kerusi, DAP 28 dan PAS 23.

Barisan Nasional selaku parti memerintah menguasai 137 kerusi dan Bebas tujuh.

Maklumat terbaru di laman web Parlimen juga menunjukkan sudah susunan kerusi mengikut perkembangan baru setakat minggu lalu.

Pemerhati melihat pada persidangan kali ini, pendirian dan kecenderungan wakil-wakil Bebas akan menjadi perhatian, sama ada mereka lebih condong kepada pihak kerajaan atau pembangkang.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak menolak kemungkinan persidangan akan menjadi hangat berdasarkan perkembangan politik semasa tanah air.

Malah beliau menjangka kemelut dalaman PKR sekarang akan turut diheret ke dalam dewan.

Kali ini juga, anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo daripada DAP, yang digantung 12 bulan daripada menghadiri persidangan sejak 12 Mac tahun lepas akan kembali ke Dewan.

No comments:

Posting Terkini