Pages

Thursday, December 18, 2008

Nasir Tan Sri P. Ramlee dalam kenangan

KUALA LUMPUR: Anak seniman agung Tan Sri P. Ramlee, Mohamad Nasir Ramlee, yang meninggal dunia akibat sakit jantung dan buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang semalam akan disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang sebelum Zohor hari ini.

Allahyarham Nasir, 55, satu-satunya waris dan anak kandung P.Ramlee menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5.10 petang setelah dimasukkan ke hospital itu pada pukul 3 petang.

Allahyarham merupakan anak tunggal P. Ramlee hasil perkahwinannya dengan seniwati Junaidah.

Jenazah telah dibawa ke Masjid yang berdekatan dengan rumah Allahyarham di Jalan Sempadi, Taman Ibukota, Gombak.

Antara mereka yang datang memberi penghormatan terakhir pada Allahyarham ialahTun Ahmad Sarji, Datuk Aziz Sattar, S.Attan, Mariani,S.Sahlan, Datuk Mustaffa Maarof dan ramai lagi karyawan tanah air.

Nasir, yang dilahirkan di Singapura, mengadu sakit dada sejak dua hari lepas tetapi enggan mendapat rawatan ke hospital.

Allahyarham, yang bertugas di Istana Budaya, pernah membintangi sebuah filem bertajuk "Bujang Lapok Kembali Da..." difahamkan mengidap penyankit lelah, jantung dan kencing manis sejak enam tahun yang lalu.

Nasir mewarisi banyak sifat P.Ramlee - suka bergurau dan takut ke hospital

"Nasir seperti anak saya sendiri. Saya pernah jaga dia masa dia usia 2 tahun. Kalau mak dia Junaidah hendak pergi pasar atau tengok wayang dengan P.Ramlee, saya dan Ahmad C akan menjaga Nasir," jelas Aziz Sattar atau lebih mesra dengan panggilan Pak Aziz.

Sementelah pula, keakraban yang terjalin antara bapak dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang merupakan sahabat baik beliau.

"Saya tahu dia sakit tetapi dia selalu tak mahu ke hospital walaupun dipujuk. Dia akan ke klinik saja.

"Dia macam P.Ramlee juga. Takut ke hospital dan tak suka menyusahkan orang. Dia tak pernah tunjuk atau mengadu sakitnya pada orang lain.

"Lagi satu sifat bapanya yang ada pada Nasir ialah dia tidak peduli apa orang cakap sama dia. Dia tidak kisah apa orang kata. Dia buat hal dia saja," jelas Pak Aziz yang selalu menghabiskan masa bersama Nasir.

"Kami selalu pergi makan sama-sama dan dia akan ceritakan masalahnya pada saya. Itu antara kenangan manis saya dengan dia. Dia akan call saya suruh saya jaga kesihatan. Kali terakhir saya bersama beliau ialah pada bulan lepas di Istana Budaya.

"Secara berlawak, dia cakap dengan isteri saya.."Datin dah rampas uncle pada saya," jelas Pak Aziz.

Menurut Pak Aziz, ketika mula-mula Allahyarham menjadi pemuzik di Istana Budaya kira-kira lima tahun yang lalu, Nasir ada mengadu yang dia tidak betah bekerja lama di sana.

"Lepas 2 minggu kerja di Istana Budaya, dia mengadu pada saya gajinya kecil. Dia macam patah harap. Saya nasihatkan supaya buat kerja betul-betul dan jangan putus asa.

"Menteri Penerangan masa itu, Datuk Sheikh Fadzil yang mendapatkan kerja itu untuk Nasir. Sheikh Fadzil memang terkenal dengan sifatnya yang suka membantu seniman-seniman lama," kata Pak Aziz.

Kata Pak Aziz, Allahyarham juga pernah mengadu yang P.Ramlee kurang beri kasih sayang padanya.

"Dia selalu cakap mami Saloma banyak tunjukkan kasih sayang padanya. Saya terangkan yang P.Ramlee banyak ambil anak angkat jadi dia tidak mahu bersifat pilih kasih," jelas Pak Aziz.

"Saya sungguh terkejut apabila mendengar berita pemergian Allahyarham. Tapi dia seperti sudah tahu yang dia akan pergi meninggalkan kita," kata Aziz.

Isteri Allahyarham, Suria Bakar, 40, menyifatkannya sebagai seorang yang kuat bergurau dan tidak suka menceritakan penyakit jantung dan buah pinggang yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu pada keluarga mahupun rakan-rakan.

Kata Suria, Allahyarham mengadu sakit di bahagian jantung pada pukul 3 pagi tadi.

Sejak seminggu yang lepas, Allahyarham juga banyak menghabiskan masa dengan dua ornag anak lelakinya seperti menghilangkan rindu.

Menurutnya lagi, sebelum Allahyarham dibawa ke hospital, beliau muntah dan ada meminta segelas air.

"Ketika dibawa air itu kepadanya, Allahyarham berkata inilah air penghabisan yang dia dapat minum. Saya ingatkan dia bergurau," kata Suria.

"Dia tak bagi saya bawanya ke hospital, katanya 'nanti kau akan menyesal'. Tapi menjelang pagi, dia nampak OK dan pergi bekerja di Istana Budaya (sebagai pengarah muzik) seperti biasa," kata Suria.

Allahyarham Mohd Nasir meninggalkan tujuh orang anak - tiga orang dengan bekas isteri pertama Mariati, dua orang dengan aktres Rashidah Jaafar dan dua orang lagi dengan Suria.

"Saya terkilan hajatnya untuk membawa kami sekeluarga bercuti ke Langkawi Khamis depan tidak kesampaian. Dia memang selalu bawa kami berjalan-jalan asalkan sekeluarga gembira," kata Suria.

Bagi seniwati Mariani, hubungan yang terjalin bersama Allahyarham tidak dapat dilupakan memandangkan seniwati itu pernah menjaga dan mengasuh Allahyarham semasa kecilnya.

"Saya jaga dia selama dua tahun. Pernah suapkan dia makan dan mandikan dia. Cuma saya kesal sejak akhir-akhir ni, dia dah tak nak hubungi saya," katanya.

No comments:

Posting Terkini