PERMATANG PAUH: Polis menembak mati empat penjenayah yang merupakan anggota geng pecah rumah dan samun yang bergerak aktif di negeri ini dalam satu adegan tembak menembak di Guar Perahu di sini kira-kira pukul 5 pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Salleh Mat Rasid berkata dua daripada empat lelaki berusia lingkungan 30 dan 40 tahun yang ditembak itu adalah warganegara asing dipercayai dari Indonesia sementara dua lagi adalah rakyat tempatan.
"Pihak polis telah menerima maklumat yang mana ada satu kumpulan penjenayah sedang berlegar-legar di kawasan Guar Perahu dan dipercayai akan melakukan jenayah.
"Bertindak atas maklumat berkenaan, seorang pegawai dan tujuh anggota polis telah dihantar untuk menyiasat dan mengesan kumpulan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak polis berjaya mengesan sebuah Pajero berwarna biru gelap di persimpangan tiga ke Taman Guar Perahu di sini yang dalam keadaan mencurigakan dan anggota polis itu bertindak mengekori kereta berkenaan .
"Apabila menyedari diekori pihak polis, mereka terus memecut kenderaan dan pihak polis mengekori dari belakang yang mana dalam masa yang sama salah seorang lelaki di dalam kereta itu bertindak mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan ke arah polis," katanya.
Salleh berkata, berlaku tembak-menembak antara pihak polis dan geng pecah rumah dan samun itu dan kesemua penjenayah itu ditembak mati.
"Hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemui sepucuk pistol dan beberapa senjata tajam termasuk peralatan pecah rumah (di dalam Pajero itu) dan polis percaya dengan tertumpasnya kumpulan ini dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan samun," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati dua lelaki tempatan yang ditembak itu mempunyai rekod jenayah yang mana salah seorang daripadanya memang dikehendaki polis.
"Sementara dua warga asing itu tiada pengenalan diri dan tidak memiliki dokumen perjalanan dan siasatan juga mendapati kenderaan kumpulan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu. Polis sedang menyiasat sama ada Pajero itu dicuri atau tidak," katanya.
Katanya, modus operandi kumpulan itu adalah dengan memecah masuk rumah mangsa dan mengikat mangsa sebelum menyamun serta mengambil barang-barang berharga dalam rumah mangsa. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment