Pages

Thursday, December 18, 2008

Berita Utama Malaysiakini

Skandal PKFZ didedah selewatnya Sabtu

Laporan skandal besar projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang esok atau lusa.

Menteri berkenaan Datuk Ong Tee Keat berkata pendedahan laporan itu sebagai memenuhi janji sebelum ini.

Beliau, yang juga presiden MCA, diminta mengulas status siasatan skandal tersebut - sekarang dipercayai menelan kos RM5 bilion - yang dijangka siap hujung tahun ini.

Ong bagaimanapun berkata laporan Kementerian Pengangkutan berbeza dengan yang disediakan oleh firma juruaudit bebas Pricewaterhouse Coopers (PWC) yang kini sedang menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kewangan.

150 rumah diroboh Kg Plentong

Kerja-kerja merobohkan 290 buah rumah di Kampung Baru Plentong Tengah di Johor Bahru bermula kira-kira jam 10.45 pagi ini.

Pemilik-pemilik ini tidak menerima akujanji dengan syarikat pemaju di mahkamah hujung Oktober lalu, sementara 120 lagi yang bersetuju berbuat demikian akan berpindah hujung bulan ini.

Bagaimanapun, selepas berunding dengan penduduk terbabit, peguam pihak pemaju bersetuju kerja-kerja perobohan hari ini hanya membabitkan rumah-rumah kosong di mana penghuninya telahpun berpindah.

Ia membabitkan sebanyak kira-kira 150 buah rumah. Sehingga jam 11.45 pagi tadi, tujuh buah rumah sudah dirobohkan.

Manakala baki rumah yang masih berpenghuni, akan diroboh hujung bulan ini. Para penghuni rumah terbabit berjanji akan mengosongkan hujung bulan ini.

Polis izin Jerit kayuh ke Parlimen

Polis membenarkan 30 peserta program berbasikal "Rakyat Pengayuh Perubahan" menyerahkan memorandum mereka di bangunan Parlimen - tiga daripadanya sampai jam 11.45 pagi ini.

Penyokong program anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) tersebut berkumpul, bersorak dan menyanyi di sepanjang jalan menyatakan sokongan mereka.

Ahli-ahli parlimen pembangkang yang menyambut mereka antaranya Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), Sivarasa Rasiah (PKR-Subang), Tian Chua (PKR-Batu), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Charles Santiago (DAP-Klang), Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

Polis, yang asalnya melarang kumpulan itu berbasikal ke Parlimen, mengiring sebuah lori yang mengangkut basikal-basikal aktivis Jerit dari Taman Tasik Perdana yang terletak berhampiran ke satu simpang ke bangunan tersebut.

Mereka kemudiannya dibenarkan berbasikal ke bangunan tersebut seorang demi seorang.

Menjelang 12.20 tengah hari, sejumlah 120 pengayuh dan penyokong mereka diizinkan memasuki bangunan Parlimen.

Parlimen debat isu 20,000 nelayan mogok

Mogok 20,000 nelayan - untuk menuntut harga minyak bersubsidi RM1 seliter - akan dibahaskan di Dewan Rakyat petang ini, hari terakhir persidangan untuk tahun ini.

Usul tergempar yang dibawa oleh Chong Chien Jen (DAP-Bandar Kuching) oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ia dipertimbangkan menurut Seksyen 18 (1) Peraturan Tetap yang membolehkan sesuatu isu yang khusus, berkepentingan awam dan perlukan kesegeraan dibahaskan dengan serta-merta.

Perbahasan yang bermula jam 4.30 petang ini dijangka memakan masa kira-kira satu jam.

DUN S'gor siasat jutaan wang Balkis

Satu siasatan awam akan diadakan terhadap sumbangan kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) yang disalurkan oleh enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri
sewaktu pemerintahan Barisan Nasional.

Siasatan awal Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mendapati ada "kes-kes yang memerlukan siasatan lanjut".

Anggota Selcat, Haniza Mohd Talha berkata siasatan awal jawatankuasa itu mendapati terdapat sumbangan wang yang besar kepada badan itu setiap bulan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan berkata, nilai transaksinya ada yang mencecah sehingga RM1 juta setahun sejak penubuhan Balkis pada 1985.

Isu Balkis mencetuskan kontroversi apabila wang milik badan itu, dilapor dipindahkan ke satu akaun lain sebaik sahaja negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Yang dipertuanya Zaharah Kechik, yang juga isteri bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, dilaporkan memanggil mesyuarat tergempar Balkis pada 11 Mac untuk membubarkannya dan menutup akaun sehari kemudian.

Wang itu, dilaporkan berjumlah RM9.9 juta, telah disalurkan ke sebuah akaun lain sebelum diserahkan kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti), sebuah gabungan badan-badan amal isteri wakil rakyat BN di peringkat negeri-negeri.







No comments:

Posting Terkini