Pages

Friday, January 16, 2009

Biasiswa Tahunan Untuk Pemain Selangor, Umum MB

SHAH ALAM, 14 Jan-- Kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan RM2 juta setahun untuk tabung biasiswa khas bagi pemain bola sepak negeri mengikuti latihan persendirian di luar negara serta melanjutkan pelajaran.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata biasiwa terbabit dibuka untuk semua pemain Selangor termasuk pemain skuad utama, Piala Presiden dan pemain daripada Akademi Bolasepak Selangor.

"Kita anggap mereka sebagai satu sumber penting dan apabila sampai satu peringkat kita mesti sediakan peluang kerjaya yang lebih luas untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat sesi latihan skuad Liga Super Selangor di sini, Rabu.

Bagaimanapun, kriteria untuk seseorang pemain layak menerima biasiswa terbabit akan dimaklumkan kemudian selepas satu kajian lebih terperinci dibuat, katanya.

Dalam perkembangan lain, jurulatih Selangor K.Devan berkata kekalahan Selangor 1-2 di tangan Johor FC pada perlawanan Liga Super semalam tidak melemahkan hasrat skuad itu untuk muncul juara liga musim ini.

Katanya, daripada pemerhatian beliau, pasukannya mempunyai banyak peluang tetapi tidak berjaya menghasilkan jaringan.

"Saya sedang kaji corak latihan yang lebih berkesan secara menyeluruh serta menggilap barisan depan memburu gol," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini