Pages

Sunday, November 30, 2008

PPP akan keluar BN jika ISA tidak dipinda

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Rakyat (PPP) akan keluar dari Barisan Nasional (BN) jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dipinda sebelum pilihan raya umum akan datang, kata Presiden parti, Datuk M Kayveas.

"Saya harus mengikut apa yang dicadangkan oleh bahagian-bahagian Wanita dan Pemuda (PPP) kepada PPP dan mereka mahu ISA dimansuhkan.

"Sebagai parti yang bertanggungjawab, saya memberitahu mereka, 'mari kita lakukan separuh jalan' dan minta pindaan terhadap akta itu supaya ia tidak menjadi undang-undang kejam ke atas warganegara yang tidak bersalah," katanya ketika upacara pembukaan pemilihan Pemuda dan Wanita, di sini.

Beliau menambah, jika BN serius dalam usaha mereka untuk menjenama semula maka ISA perlu dipinda.

"BN harus membuat perubahan sebelum pilhan raya umum seterusnya. Ia boleh 'membunuh' jika kita tidak merancang untuk menghadapi pilihan raya seterusnya.

"Masalah mengenai BN adalah kejayaannya sejak 50 tahun lalu. Kejayaan adalah pengajar yang teruk. Ia mempengaruhi orang yang bijak untuk berfikir yang mereka tidak akan kalah.

"Pilihan raya Mac lalu telah menunjukkan apa yang dimahukan pengundi dalam urus tadbir yang baik dan kepelbagaian kaum.

"BN telah melakukan pelbagai post-mortem di pelbagai peringkat untuk mendapatkan maklumat berhubung apa yang tidak kena dan mengapa pengundi menolak BN.

"Penyelesaian selalunya adalah kepelbagaian kaum tetapi sehingga kini, BN masih terperangkap dalam gambaran politik perkaumannya sendiri - yang telah pun diperkatakan tetapi tidak segera dilaksanakan," katanya.--mSTAR

Guan Eng tidak nafi penyertaan Arif Shah ke PKR

SHAH ALAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak menafikan khabar angin yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar) menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau bagaimanapun turut tidak mengesahkan sejauh mana kebenaran khabar angin yang mula tersebar itu yang kononnya penyertaan Arif ke PKR kerana kecewa dengan penyokong Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.

"Kami dalam Pakatan Rakyat menerima sesiapa sahaja yang ingin masuk menyertai kami yang menyokong prinsip yang kami perjuangkan.

"Saya pun tidak tahu dari mana laporan ini datang," katanya dalam sidang media selepas menghadri Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari ini.

Menurut Lim lagi Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti demokratik mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai mana-mana komponen Pakatan Rakyat sama ada DAP, PKR mahupun PAS.

Tambah beliau lagi, sesiapa sahaja yang menyertai Pakatan Rakyat seharusnya sedar mengenai matlamat yang diperjuangkan berdasarkan prinsip keadilan sejagat.

Ditanya sama ada wujudnya usaha daripada pihaknya untuk membawa Arif yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) menentang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu menyertai Pakatan Rakyat, beliau enggan mengulas lanjut.

Mengulas mengenai kehadiran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ke Pulau Pinang Jumaat lalu, Lim berkata perkara itu tidak memberi sebarang pengertian mengenai pendirian politik Zaid.

"Saya menghargai kehadiran Zaid bukan sahaja ke Kongres PKR malah ke Jamuan Makan Malam Raksaksa di Pulau Pinang.

"Ini menunjukkan beliau berkongsi wawasan yang sama dengan Pakatan Rakyat untuk wujudkan sebuah negara yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, Arif Shah berada dalam keadaan dilema sama ada ingin terus kekal bersama Umno atau menyertai Pakatan Rakyat.

Arif Shah yang merupakan satu-satunya ADUN yang berjaya mengekalkan kerusi cawangannya untuk penggal kedua di bahagian Permatang Pauh berkata, beliau sedang serius mempertimbangkan kedudukan politikynya itu berikutan apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa yang teruk dalam kepimpinan Umno Permatang Pauh yang diketuai Datuk Abdul Jalil Abdul Majid. --mSTAR


Zaid Ibrahim mesti perjelas kehadirannya di Kongres PKR, kata Muhyiddin

KOTA KINABALU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim (gambar) mesti memberi penjelasan berhubung kehadirannya pada Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam semalam, kepada Lembaga Disiplin Umno sebelum tindakan dikenakan terhadapnya.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kehadiran Zaid pada kongres berkenaan bukanlah kali pertama beliau menghadiri perhimpunan anjuran pembangkang dan tindakan itu membuktikan ketidaksetiaannya kepada Umno.

"Kehadirannya dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh pembangkang tidak masuk akal. Ini (kehadiran Zaid) dilihat seperti memberi sokongan moral kepada pembangkang.

"Beliau mesti memberi penjelasan kenapa beliau menghadiri kongres itu. Beliau perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kepada pemberita semasa sesi bertemu Ketua Pengarang dan Ketua Biro media nasional serta tempatan di Sabah, di sini hari ini.

Menurut laman web Malaysian Insider, Zaid mendakwa beliau masih merupakan anggota Umno dan tidak melihat pembangkang sebagai musuh.

Zaid juga berkata kehadirannya di kongres berkenaan menunjukkan beliau masih berminat dalam politik dan tidak menjangkakan akan dipecat daripada Umno. BERNAMA

Guan Eng tolak desas desus tukar Timbalan Ketua Menteri I

SHAH ALAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) menolak sebarang desas desus akan berlaku rombakan pentadbiran dalam kerajaan negerinya melibatkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin.

"Buat masa ini tidak ada apa-apa cadangan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana jawatan Timbalan Ketua Menteri I akan dilantik oleh PKR.

"Kerana saya masih belum mendapat apa-apa makluman, saya rasa perkara ini tidak berbangkit," katanya kepada media selepas menghadri Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari ini.

Tambah Lim lagi, isu berkaitan lantikan bagi jawatan tersebut seharusnya dirujuk kepada pimpinan PKR.

Beliau berkata demikian bagi mengulas khabar angin yang tersebar di internet yang mengatakan jawatan berkenaan akan digantikan ekoran kritikan negatif mengenai prestasi timbalannya itu.

Menerusi tulisan di beberapa blog, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu dikritik hebat kerana didakwa tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan Pulau Pinang.

Dalam penjelasannya, Lim berkali-kali menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan dalam pentanbirannya kerana tidak mempunyai sebarang cadangan mahupun tuduhan mengenai Fairus daripada PKR.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan pencapaian Fairus setakat ini, beliau berkata sebagai pemimpin mereka tidak boleh ada sifat mudah berpuas hati.

"Kami fikir kami nak buat yang terbaik, kalau kita cepat puas hati maknanya kita tak boleh buat dengan lebih baik lagi.

"Jadi kami akan buat yang terbaik untuk kita buat perubahan," katanya.

Tambah beliau, Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS akan terus berusaha dengan baik sebagai satu kumpulan.

"Kerjasama ini bukan sahaja dalam kerajaan, malah dalam parti.

"Kami kerja dalam kumpulan yang ada tiga kumpulan di dalamnya yang digabungkan menjadi satu," katanya. --mSTAR

PKR: S'wak jalan baru ke Putrajaya

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyusun strategi baru - menggegarkan Sarawak sebagai langkah baru menuju Putrajaya dalam merealisasikan 'projek 16 September' menukar kerajaan persekutuan.

Katanya, beliau akan ke Sarawak pada 14 Disember ini dan mengarahkan semua pimpinan PKR bergilir-gilir untuk ke sana setiap minggu untuk meraih keyakinan masyarakat di sana pilihanraya negeri, selewat-lewatnya diadakan 2010.

"Langkah pertama, gegarkan Sarawak. Sarawak barisan hadapan kita sekarang," kata penasihat PKR dalam ceramah khas malam tadi bersempena kongres nasional kelima partinya selama dua hari di Shah Alam mulai semalam.

"Selesai 14 haribulan saya ke Miri, saya akan minta menteri besar, ahli-ahli parlimen bergilir, tiap-tiap minggu mesti ada rombongan ahli Yang Berhormat dari Semenanjung yang turun ke Sarawak.

"Tanpa kecuali, semua mesti tetapkan jadual dan ikut disiplin parti."

Kempen terbaru mantan timbalan perdana menteri itu dilancarkan di hadapan beberapa ribu hadirin yang memenuhi Stadium Malawati, yang ternanti-nanti kupasan terbaru berhubung isu pertukaran kerajaan, asalnya diura-urakan 16 September lepas.

Langkah PKR itu diumumkan susulan penerimaan baik 12,000 penduduk Sarawak yang dilaporkan menyertai parti itu dua minggu lalu.

Anwar berkata, tarikh 16 September itu, merupakan satu sasaran ke arah untuk membina satu kekuatan bagi menubuhkan kerajaan baru bersama dengan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, mengambil alih kerajaan bukan merupakan satu perkara yang mudah dan menasihatkan agar rakyat sabar menunggu masanya.

"Ini isu yang tidak mudah diungkap dan dilakar dengan kata-kata kerana ada sebab, ada hal yang saya tidak dapat sebutkan.

"Orang yang bersetuju, menunggu waktu untuk menyeberang, syaratnya tidak didedahkan sehingga mereka bersedia. Jadi, cakap salah, tidak cakap pun salah.

"Cakap salah, tidak cakap salah, jadi semua serba salah," katanya dengan gaya bernyanyi dan disambut dengan gelak ketawa para penyokongnya.

Sehubungan itu, Anwar berharap orang ramai bersabar walaupun beliau mengakui terdapat ahli-ahli PKR dan rakyat yang ragu-ragu dan tertanya-tanya bilakah beliau akan membentuk kerajaan baru dan berada di Putrajaya.

"Jika Allah mentakdirkan kita menang, kita menang.

"Saya yakin, insya Allah (ke Putrajaya) sebagaimana mana saya yakin (dapat menang lima negeri) sebelum 8 Mac," tambah Anwar.

Beberapa hari sebelum pilihanraya umum ke-12, beliau membuat kejutan dalam ceramahnya di Singapura apabila mendedahkan lima negeri akan jatuh ke tangan gabungan pembangkang.

Kenyataannya itu tidak diterima dengan mudah, termasuk oleh jentera kempen PKR sendiri waktu itu. Bagaimanapun keputusan akhirnya menyerlahkan ketepatan ramalan Anwar.

Tambahnya, keyakinannya untuk mengambil alih kerajaan pusat digerakkan juga oleh penerimaan ramai terhadap Pakatan Rakyat dalam pilihanraya itu dan juga kemenangan beliau di Permatang Pauh, Ogos lepas.

Dalam ceramah itu juga Anwar menyatakan beliau tidak berasa bimbang tentang ketandusan kepemimpinan dalam parti itu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan PKR.

Ini kerana, tambahnya, parti itu mempunyai pemimpin-pemimpin muda yang berkelayakan untuk menentukan arah perjalanan parti itu walaupun tanpanya.

Ketua pembangkang itu menjelaskan, PKR akan mengadakan kongres khas untuk merancang penjanaan kekuatan parti pada Februari depan.

Beliau juga menegaskan kesediaan PKR mempertimbangkan desakan sayap Wanitanya yang menuntut penglibatan 30 peratus peranan wanita dalam membuat keputusan dan jawatan utama dalam parti. --Malaysiakini

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu milik PAS

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calonnya bagi menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terenggganu.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pimpinan tertinggi PKR dalam mesyuaratnya semalam menetapkan sedia memberi peluang kepada rakannya dalam pakatan pembangkang itu.

"Malam kelmarin, PKR adakan mesyuarat khas. Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mengambil ketetapan kerusi (Parlimen ) ini (Kuala Terengganu) secara tradisinya milik teman kita, PAS, " katanya di Kongres Nasional Tahunan PKR di sini.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong kerana penyandangnya sebelum ini iaitu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismailmeninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland kira-kira pukul 6.30 petang, Jumaat lalu.

Azmin juga berkata, walau apa jua keputusan yang diputuskan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP, mereka akan sentiasa berpegang teguh kepada pendirian itu dan akan turun padang memberikan sokongan pada pilihan raya kecil brekenaan nanti.

Dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, Allahyarham Razali yang mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 32,562 undi menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu (31,562 undi) dan calon Bebas,Maimon Yusof, 89, (685 undi).

Ahli Parlimen Gombak itu juga berkata, Pakatan Rakyat akan memberikan tentangan hebat bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu menjadi milik mereka.

"Dulu, Mat Sabu pun kalah dengan majoriti kecil, itu pun sebab ada seorang makcik (Maimon) yang kacau.

"Tapi tak apa, makcik itu pada malam ini sudah setuju akan sokong Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil itu nanti...tapi makcik mana saya tak tahu," katanya.

Dalam pada itu, Azmin juga berkata, Pakatan Rakyat bersedia menghadapi BN jika pilihan raya kecil juga berlaku di Pensiangan, sabah.

"Insya Allah, kalau BN kalah, sekali lagi kita akan turun berkampung di Pensiangan untuk rampas satu lagi kerusi bagi Pakatan Rakyat," katanya.

Jangkaan umum tubuh kerajaan meleset, Anwar belum bersedia

SHAH ALAM: Jangkaan bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan berita baik mengenai rancangan menubuhkan kerajaan baru nyata meleset apabila perkara itu masih sulit untuk didedahkan.

Anwar berkata, beliau sedar dengan tanda tanya selepas sasaran 16 September yang dicanangkan untuk 'menawan' Putrajaya dan mengambil alih kerajaan Persekutuan tidak menjadi kenyataan.

"Semua bertanya malah rakan kita juga minta penjelasan mengenainya.

"Jawapan saya mengenai ke Putrajaya (ambil alih kerajaan) ialah saya tak boleh nak menyebut lebih daripada itu (dedahkan)," katanya semasa menyampaikan pidato umum sempena Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, semalam.

Rata-rata orang ramai yang hadir mengharapkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengumumkan kejutan mengenai sasaran pembentukan kerajaan baru seperti yang diuar-uarkan.

Tambahan pula sebelum itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali dalam ucapannya memberitahu bahawa semua yang hadir perlu menantikan pengumuman penting yang akan dibuat oleh Anwar.

Bagaimanapun jelas Anwar, untuk mendedahkan nama-nama ahli Parlimen yang bersetuju melompat parti menyertai Pakatan Rakyat bukanlah sesuatu yang mudah kerana kononnya ahli Parlimen berkenaan masih belum bersedia.

"Ini (tubuh kerajaan) tidak mudah untuk disebutkan kerana ada yang tidak dapat saya sebutkan apabila orang yang bersetuju masih menunggu waktu untuk menyeberang yang syaratnya tidak didedahkan sehingga mereka bersedia.

Bagaimanapun, Anwar terus memberi harapan dan keyakinan kepada penyokongnya bahawa matlamat untuk menubuhkan kerajaan menerusi kerjasama antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

"16 September sudah jelas walaupun ada yang katakan ini bukan sesuatu yang baru.

"Ini bukan soal baru atau lama, kita berikan satu target untuk membina cukup kekuatan untuk membuat perubahan," katanya

Menurut beliau lagi, kerisauan mengenai kebenaran untuk mencapai sasaran menubuhkan kerajaan bukan sahaja timbul dikalangan rakyat malah turut dirasainya sendiri memandangkan sikap menyembunyi ahli-ahli Parlimen yang bersedia menyertai pakatan pembangkang itu.

"Kita memang dapat sokongan dan orang yang mendukung itu kadangkala tidak menunjukkan sikap sama sekali.

"Kadang-kadang saya pun pening sebab dia dukung, beri tandatangan...sokongan sebulat suara dan padu tapi esok bila dia balik ke Kuching dia serang kita," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata soal untuk memuaskan hati semua pihak termasuk pimpinan Barisan Nasional (BN) dan pemerhati politik mengenai tarikh sebenar peralihan kuasa hanya akan memudaratkan parti.

"Soal ambil alih seperti mana pilihanraya, kita boleh tahu tarikhnya, tapi soal perubahan kuasa untuk sebut mengenai setiap langkah bagi puaskan hati mereka...parah jawabnya," katanya.

Baginya, buat masa ini sasaran terbaru untuk meluaskan pengaruh dan sokongan rakyat adalah di Sarawak dengan mengatur beberapa langkah drastik untuk mencapainya.

"Sementara itu kita gegarkan Sarawak...Sarawak barisan hadapan kita sekarang," katanya.

Anwar berkata bermula bulan hadapan setiap ahli Parlimen PKR akan bergilir-gilir ke Sarawak bagi menemui rakyat disana yang inginkan perubahan arus politik semasa.

"Tanpa terkecuali, semuanya mesti ikut jadual dan disiplin parti," katanya.

Wanita Malaysia ditemui mati dalam serangan pengganas di Mumbai

MUMBAI: Hema Kassipillay, rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang sejak serangan pengganas di bandar raya itu pada Rabu lepas, ditemui mati.

Mayat Hema, 51, yang menginap di Hotel Taj Mahal di sini, yang menjadi tempat serangan pengganas itu, ditemui oleh pasukan perubatan di dalam biliknya pada pukul 6 petang semalam waktu India.

Mayat yang terbakar dan semakin mereput itu ditemui dalam bilik bernombor 637 di tingkat enam hotel dan beliau dipercayai mati akibat sesak nafas.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sir Jamshedji Jeejibhai mendapati tidak ada sebarang kesan tembakan ditemui pada mayatnya.

Menurut seorang rakan keluarganya yang enggan mendedahkan identiti, mayat Hema, yang berasal dari Bangsar, dikenal pasti oleh suaminya K.Sivakumaran menerusi barang-barang kemas yang dipakainya.

Mayat itu dibawa keluar dari tempat kejadian selepas komando India menyerbu kumpulan pengganas itu awal pagi ini.

Mayat Hema yang kini berada di rumah mayat hospital itu akan dijangka akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur Isnin ini.

Tingkat enam bangunan itu dibakar oleh kumpulan pengganas tersebut semasa mereka menawan hotel itu pada hari Rabu lepas.

Hema yang bekerja untuk sebuah syarikat yang berpengkalan di Kuala Lumpur menginap di Hotel Taj Mahal Palace semasa tiba di Mumbai untuk lawatan rasmi.

Hotel itu ditawan oleh pengganas pada malam Rabu lepas, sehari selepas beliau tiba di Mumbai, dan beliau dijadual kembali ke Bangsar pada 5 Disember.

Menurut Sivakumaran dalam temu ramah terdahulu dengan Bernama, sejak serangan itu beliau tidak dapat mengesan Hema, dan kali terakhir rakan sekerja Hema menghubunginya isterinya itu ialah pada pukul 1 pagi 27 November lalu. BERNAMA

Saturday, November 29, 2008

Amaran buat wakil rakyat S'gor cetus 'hura-hara'

Seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor diberikan amaran kerana membesar-besar isu di negeri itu sehingga boleh menimbulkan "huru-hara" dalam pentadbiran kerajaan campuran itu.

Perwakilan daripada Johor, Lau Teck Lai, bagaimanapun tidak menjelaskan isu dan siapa yang beliau maksudkan.

Berucap di sesi perbahasan kongres nasional kelima PKR di Shah Alam hari ini, Lau berkata individu itu pernah menyebut "saya tidak pandai berpolitik tetapi pandai bekerja."

Beliau menggesa tokoh politik itu memberikan kerjasama kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim agar persefahaman dalam Pakatan Rakyat dapat dijaga.

"Saya nak beritahu kepada Yang Berhormat yang saya tidak hormati itu, sila patuhi, sila kerjasama dengan YAB (menteri besar). Jangan kita bermain-main politik dengan YAB," katanya.

Hampir 2,000 perwakilan menyertai perbahasan di Stadium Malawati pada sebelah petang selepas ucapan dasar presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sebelah pagi.

Lau antara lebih 10 perwakilan yang turut memanaskan dewan tersebut di hari pertama kongres PKR.

Beliau juga menggesa pemimpin PKR agar memberi perhatian kepada individu-indivisu yang terlibat menghidupkan Gerakan Reformasi sejak 10 tahun lalu sehingga tertubuhnya parti tersebut.

"Selepas 10 tahun, aktivis reformasi, tidak diambil peduli nasib mereka.

"Apa yang mereka korbankan nampaknya parti sudah lupakan. Jadi harapan saya parti memberi perhatian dan langkah sewajarnya," tambahnya.

Perwakilan-perwakilan Sabah dan Sarawak pula menggesa pemimpin parti itu memberi perhatian yang lebih kepada negeri-negeri tersebut terutama sekali dalam proses pengkaderan ahli-ahli parti itu di peringkat cawangan dan bahagian.

Apatah lagi Sarawak bakal menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka pertengahan tahun hadapan atau selewat-lewatnya 2010.

Perwakilan Sarawak, Wan Zainal Wan Yasin turut mengumumkan pihaknya mempunyai "kejutan" terutama di kawasan Miri dan Kuching. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan "kejutan" tersebut.

Perwakilan-perwakilan Perak, Kelantan dan Melaka pula menyarankan PKR memperkasakan 'Program Seharum' untuk persiapan untuk melatih ahli-ahli PKR di peringkat cawangan dan bahagian.

Program Seharum di peringkat akar umbi membolehkan dasar-dasar parti diteruskan, kata Taha Ahmad dari Melaka.

Perwakilan Perak, Anuar Zakaria meminta PKR memokuskan program penambahan keahlian dan mengemaskini rekod keahlian.

Manakala Felicia Lim, perwakilan Wanita PKR, berkata peranan wanita harus digemblengkan untuk menghadapai pilihanraya umum ke-13 dan menyarankan PKR merencana agenda memantapkan parti terutama di Sabah dan Sarawak.

Zaid, Yong hadiri kongres PKR

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee terus mencetuskan persoalan mengenai fahaman politik mereka apabila muncul membuat kejutan di majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.

Bagaimanapun Zaid yang ditemui selepas itu tetap menafikan penyertaannya sebagai ahli parti berkenaan.

"Ya, saya masih ahli Umno, saya masih belum dipecat," katanya ringkas.

Jelas beliau kehadirannya ke kongres berkenaan kerana menerima jemputan dan atas dasar minat yang mendalam tehadap politik.

Ditanya sama ada kekerapannya yang dilihat sering menghadiri majlis-majlis anjuran parti pembangkang sejak akhir-akhir ini adalah kerana bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat, beliau tetap menidakkannya.

"Saya sekadar tunjukkan minat dalam politik...itu saja," katanya.

Menurut beliau, pakatan pembangkang bukanlah musuh namun sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.

Diminta mengulas sama ada beliau sedar bahawa dengan kehadirannya hari ini akan menyebabkan Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata tidak takut mengenai perkara itu.

"Saya rasa saya tak takut mengenainya (tindakan), saya lebih takut akan kesihatan saya sekarang ini...saya tak berapa sihat," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehuddin Hashim turut mengesahkan bahawa hingga kini PKR masih belum menerima sebarang permohonan kemasukan Zaid mahupun Yong.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin. --mSTAR

Mereka yang pertikai konsep ketuanan Melayu, hati tak ikhlas

KUALA LUMPUR: Mereka yang masih mempertikai konsep ketuanan Melayu adalah disebabkan hati yang tidak ikhlas, malah melibatkan pertimbangan peribadi dan politik, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata segelintir pemimpin yang mengungkit perkara itu disifatkan sengaja mahu menjadi 'hero' atau menjadikan perkara itu sebagai isu untuk meletakkan kawan-kawan sendiri dalam partinya atau parti lain berada dalam situasi yang perlu menjawab kepada isu yang dibangkitkan itu.

Katanya dalam suasana landskap politik yang berubah pada masa kini, pemimpin berkenaan sebenarnya masih tercari-cari bagaimana meletakkan dan menempatkan diri serta perjuangan mereka dalam senario politik negara hari ini.

"Orang ramai sebenarnya sudah muak dengan isuisu yang dibangkitkan berkisar kepada agama, kaum dan politik semata-mata. Malaysia melalui pilihan raya umum lebih tujuh bulan dan orang ramai hendak tengok kerja-kerja dilaksanakan.

"Jika masih dibelenggu dengan isu-isu sebegini, bila nak buat kerja?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru sempena Majlis Grand Reunion Alumni Maktab Kirkby di Institut Tadbiran Awam Negara Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek dan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun yang menyatakan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan di Malaysia dan ditolak oleh rakyat pelbagai kaum khususnya generasi muda.

Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno turut meminta supaya pemimpin yang masih lagi terkapai-kapai mencari hala tuju perjuangan peribadi mereka tampil untuk berbincang secara baik daripada berterusan meluahkan sesuatu yang akhirnya akan menimbulkan kemarahan orang ramai.

Sementara itu dalam satu majlis berasingan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Shafie Apdal berkata beliau merasa kesal dengan komen dua pemimpin MCA itu kerana perkara berkenaan tidak sepatutnya ditimbulkan oleh mana-mana pihak.

"Ia sudah dinyatakan dalam perlembagaan, mengenai kedudukan raja-raja, kedudukan kaum Melayu dan sebagainya. Ini sudah jelas, semua orang tahu mengenainya dan ia bukan lagi isu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Lukisan di Annexe Gallery, Pasar Seni di sini hari ini.

Katanya beliau merasa kecewa apabila kenyataan itu datang dari rakannya yang sebelum ini pernah berada dalam kabinet, sedangkan menurutnya semua pemimpin seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memainkan peranan untuk bekerjasama membangunkan negara. BERNAMA

"Sila tunjuk bukti Anwar arah bina bangunan MPSP"

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini meminta Gerakan Pulau Pinang mengemukakan bukti bahawa pembinaan ibu pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kos RM84 juta di Bandar Perda diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sila tunjukkan bukti bahawa Anwar mengarahkan mereka supaya membina bangunan MPSP di Perda, bukan Ampang Jajar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Dr Teng berkata Anwar telah menasihati supaya bangunan ibu pejabat itu dibina di Bandar Perda berbanding cadangan asal pembinaannya iaitu di Ampang Jajar atas tanah MPSP.

Lim berkata kenyataan Dr Teng menunjukkan bekas pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri itu tidak menafikan bahawa rizab dana MPSP berjumlah RM225 juta telah hilang daripada tabung majlis berkenaan dan wang itu salur keluar menerusi cara yang tidak sesuai.

"Sekarang, beliau (Dr Teng) tidak menafikan bahawa ini adalah punca kehilangan rizab itu tetapi beliau meletakkan kesalahan kepada Anwar pula," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam bahawa negeri itu akan memohon untuk "berpisah" daripada George Town sekiranya kerajaan Pulau Pinang meneruskan serta memberi keizinan bagi pembinaan hotel empat tingkat di zon warisan, Lim berkata: "Kalau anda mahu pergi, pergilah... tiada siapapun yang akan menghalang anda."

George Town dan Melaka diberikan status tapak warisan dunia oleh Unesco pada 7 Julai.

Penasihat Serantau Unesco bagi AsiaPasifik, Dr Richard Engelhardt, baru-baru ini dilaporkan berkata status Georgetown sebagai tapak warisan dunia kini terancam selepas pembinaan hotel setinggi empat tingkat diluluskan dalam zon penampan warisan di bandar raya berkenaan.

Mengikut garis panduan warisan yang ketat, ketinggian maksimum 18 meter atau kira-kira lima tingkat ditetapkan untuk bangunan baru dalam zon penampan masing-masing di George Town dan Melaka.

Anugerah Tapak Warisan Dunia kepada George Town dan Melaka adalah saling berkaitan sehinggakan sebarang tindakan di mana-mana bandar raya yang mengakibatkan status itu ditarik balik secara automatik akan menjejaskan bandar raya yang satu lagi. BERNAMA

Anwar tidak jelas kegagalan 16 Sept

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjelaskan punca kegagalannya menukar kerajaan persekutuan, atau "projek 16 September", walaupun beliau dijangka mengulas panjang isu itu seperti dinanti-nantikan banyak pihak dalam kongres pertama PKR selepas pilihanraya umum Mac lepas.

Semalam, timbalan presiden parti itu Dr Syed Husin Ali berkata, beliau menjangkakan perkara itu akan dijelaskan tokoh utama PKR itu dalam kongres tahunan kelima parti itu yang bermula di Shah Alam hari ini.

Akibat kegagalan tersebut, media menuduh Anwar berbohong dan terhadap ahli-ahli PKR dalam pergerakan Wanita dan Angkatan Mudanya yang percaya dengan dakwaan sedemikian, kata Dr Syed Husin.

Mengakui projek itu "belum berhasil", Anwar berkata:

"Peralihan kuasa bagi kita bukan percaturan politik peribadi.

"Peralihan kuasa bagi kita adalah menegakkan suatu sistem yang adil, media yang bebas, badan kehakiman yang bebas, polis yang profesional, pimpinan yang tidak rasuah dan tamak haloba menekan rakyat.

"Itu maksud peralihan kuasa. Dan peralihan kuasa belum berhasil pada 16 September."

Menyampaikan ucapannya di kongres PKR tengah hari ini, Anwar sekali lagi membidas para pemimpin Umno yang "terus memainkan api perkauman seolah-olah mereka jaguh Melayu tulen".

Tambahnya, semua pemimpin Pakatan Rakyat yang pelbagai kaum tidak mempertikaikan dasar yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Melayu, Dayak, Dusun, Bajau, Melanau, Kadazan, Cina, India tidak perlu apolegetik untuk bermaafan -- untuk mengatakan kami (anggota Pakatan) tidak lupa dasar yang termaktub dalam perlembagaan di negara kita.

"Itu dasar kita. Kita harus jawab serangan mereka," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan label anti-Melayu yang dikenakan terhadap DAP oleh "jaguh-jaguh Melayu baru" seperti ucapan-ucapan mereka di dalam Parlimen.

PKR sedia kembalikan kedaulatan Raja Beperlembagaan

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia untuk perjuangkan dan mengembalikan kedaulatan institusi diraja berpaksikan sistem Raja Berpelembagaan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata 'kontrak bersama' yang ditandatangani komponen Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu menjelaskan mengenai komitmen terhadap kedudukan Raja-raja Melayu.

"Malaha kita bersedia untuk mengembalikan kekebalan raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan.

"Kita juga akan memberikan komitmen mengenai kedudukan istimewa bangsa Melayu, Bahasa Malaysia dan agama Islam sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan," katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR di sini hari ini.

Menurut beliau pucuk pimpinan Pakatan Rakyat juga telah beberapa kali mengulangi komitmen bersama untuk memperjuangkan hak asasi semua rakyat Malaysia.

Jelasnya perkembangan terbaru itu merupakan kejayaan besar yang menandakan Pakatan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah.

"Inilah erti sebenar 'Harapan Baru' yang kita bawa iaitu bersatu dalam kepelbagaian, berusaha gigih membentuk demokrasi plural dan merakyatkan kepesatan ekonomi negara berpandukan pentadbiran yang telus dan adil," katanya.

Tambah beliau lagi pakatan pembangkang itu juga sentiasa bersedia mengamalkan prinsip pasaran terbuka serta pengagihan kekayaan secara adil.

Isu berkaitan dengan kekebalan Raja-raja Melayu ini mula timbul apabila media melaporkan pada Rabu lalu mengenai titah Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar yang mahu kekebalan raja sebagai pelindung dikembalikan.

Dalam ucapannya, Azizah juga menyatakan keyakinan untuk menggerakkan perubahan iklim politik di sabah dan Sarawak.

"Saya yakin ini adalah petanda bermulanya satu pergerakan perubahan di Sabah dan Sarawak.

"Kita juga menjanjikan persembahan menarik dalam pilihanraya negeri Sarawak yang diadakan dalam tahun 2009," katanya.

Tegas beliau juga rancangan peralihan kuasa pimpinan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razakn tidak akan membawa sebarang perubahan positif kepada kerosakan sistem pentadbiran utama seperti badan kehakiman, institusi polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan institusi Parlimen.

Laporan kewangan tidak lengkap, perwakilan PKR enggan sahkan

SHAH ALAM: Perwakilan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berpuas hati dengan pembentangan laporan kewangan pada persidangan tahunan kelima parti itu.

Perwakilan Selangor membangkitkan isu berkenaan sebelum meluluskan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2007.

Perkara itu disebabkan laporan kewangan satu muka surat berkenaan tidak menyatakan secara lengkap aliran kewangan dan perbelanjaan yang digunakan sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun Bendahari Agung PKR, William Leong menyatakan bahawa tindakan itu adalah bagi melindungi maklumat sulit berkenaan kerana persidangan tahunan parti itu turut dihadiri bukan sahaja para perwakilan negeri, pemerhati malah orang awam.

"Tahun kita ambil pendekatan yang sedikit berbeza dari kebiasaannya kerana maklumat kewangan adalah sulit.

"Namun selepas ini perwakilan yang mahu mendapatkan (laporan kewangan) boleh tengok di Pusat untuk diperiksa," katanya menjelaskan mengenai perkara tersebut selepas perwakilan enggan mengesahkan laporan berkenaan.

Malah William yang juga merupakan ahli Parlimen Selayang turut bersetuju supaya laporan lengkap penyata kewangan berkenaan akan dihantar ke Bahagian masing-masing selepas berakhirnya kongres ini.

Dengan penjelasan itu, penyata laporan kewangan itu kemudiannya diterima dan disahkan.-- mSTAR

Jangan kaitkan saya dengan politik

SHAH ALAM: Selepas ditunjukkan bukti kenyataan mengenai Mawi pernah membantu ahli Parti keadilan Rakyat (PKR) yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua AMK Johor Zabidie Abas semalam, penyanyi popular berasal dari Johor ini menafikannya.

Dakwaan tersebut dikeluarkan oleh Zabidie di kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam semalam seperti yang heboh diperkatakan di sebuah laman web kini.

"Semua yang dikatakan itu tidak betul. Masa bila...?.

"Lagipun tahun 1999, saya belumpun mendaftar untuk mengundi di SPR. Jadi macam mana saya hendak sertai parti itu?.

"Saya tidak akan mengambil apa-apa tindakan kerana dirasakan tidak perlu.

"Tetapi saya hanya berharap supaya jangan kaitkan saya dengan politik," jelas Mawi ketika ditemui di pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik kategori Etnik Kreatif di Plaza Alam Sentral, di sini, semalam.

Mawi terus-terusan menafikan penglibatan beliau dengan parti pembangkang itu.

Dalam masa yang sama, Mawi turut merasakan dia dipergunakan lagi dalam politik.

"Dah banyak kali saya rasa dipergunakan oleh orang politik ini. Dulu, masa saya ke Kelantan, orang kata saya orang PAS.

"Macam saya katakan tadi, benda ni tak payah dibesarkan dan lawan apa-apa. Saya tak perlu melatah.

"Saya tahu ada pihak yang cuba gunakan nama saya. Tetapi, saya hanya redha dan bersabar.Saya yakin ada hikmahnya nanti," beritahu Mawi yang berkali-kali menegaskan supaya dia tidak dikaitkan dengan politik lagi selepas ini.

Kenyataan Mawi ini sekaligus menyangkal dakwaan bahawa beliau pernah bergiat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya umum ke-10 dan menyertai parti itu di bahagian Senai.

Zabidie, yang juga pembahas pertama mendakwa bintang paling popular Akademi Fantasia itu pernah menampal poster bersama jentera parti di Kulai.

Katanya lagi, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, pernah terlibat membantu PKR dalam pilihanraya umum 1999.

Zabidie sewaktu membahaskan ucapan dasar ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin yang bertemakan 'Memimpin Harapan Rakyat' dilaporkan berkata:

"Kita hendak imbas kembali nostalgia beliau (Mawi) panjat pokok kelapa menampal poster bersama kita."

"Saya dari Kulai, Mawi dari Kulai. Tuan-tuan tahu, dulu beliau bersama-sama saya tampal poster. Dia jentera bawah saya," katanya di hadapan 600 perwakilan pergerakan itu dari seluruh negara.

Namun, menurut Zabidie lagi, nama Mawi tidak ada dalam senarai keahlian yang dikeluarkan PKR tahun ini.

Difahamkan, nama Mawi disebut oleh Zabidiesebagai satu saranan agar PKR mengambil sikap mendekati golongan seniman, termasuk penyanyi yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.

Lewat petang semalam, Bernama melaporkan bahawa Zabidie pernah cuba memujuk jiran sekampungnya menganggotai PKR tetapi Mawi enggan.

Menurutnya, Mawi memberi alasan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya seninya selain memilih untuk bersikap neutral dalam politik.


Wanita PKR perlu sedia pecah dominasi lelaki dalam politik

SHAH ALAM: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), disaran sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan cabaran dunia politik tanahair bagi memecahkan dominasi kaum lelaki.

Penglibatan serius kaum wanita menyertai arena politik yang selama ini dianggap hanya sesuai bagi kaum lelaki sangat penting bagi membuktikan kepada kepimpinan parti bahawa wanita mampu dan bersedia memikul tanggungjawab demi memperjuangkan agenda perjuangan parti.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizibeth Wong berkata pemikiran stereotaip bahawa golongan lelaki mesti menjadi ketua bagi sesuatu kepimpinan perlu diubah jika mahu melihat perubahan pentadbiran parti itu.

"Kita perlu pecahkan pemikiran stereotaip sebegitu, jika tidak kita sebagai Wanita PKR tidak akan ke mana-mana dan apa yang kita lakukan sekarang ini ialah langkah baik untuk masuk dalam gelanggang (politik).

"Kita perlu buktikan pada masa akan datang kita sudah tidak perlukan kuota (penglibatan wanita 30 peratus), tapi buat masa ini kita masih memerlukannya," katanya dalam forum Bicara Bersama Wakil Rakyat Wanita PKR malam tadi.

Forum berkenaan dihadiri oleh ketujuh-tujuh wakil rakyat wakita PKR iaitu ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Sallah, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizibeth Wong, ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha, ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dan ADUN Rawang, Gan Pei Nei.

Moderator bagi forum berkenaan ialah bekas wartawan dan personaliti televisyen Tengku Elida Bustaman.

Elizibeth juga berkata latihan dan kursus peningkatan diri wanita seperti latihan kepimpinan dan komunikasi perlu sentiasa diterapkan terutamanya bagi wanita di luar bandar yang dilihat agak sukar untuk mengakses kepada perkembangan-perkembangan terkini.

Sementara itu Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR berkata semangat integriti perlu menjadi amalan seharian terutamanya bagi ahli-ahli politik kerana nilai dan kepimpinan seseorang itu sentiasa menjadi ukuran.

"Integriti bagi seseorang itu perlu terutamanya bagi memastikan tidak berlaku sebarang budaya tidak sihat seperti rasuah, terlibat dengan skandal seks dan aktiviti tidak bermoral yang lain.

"Jangan ingat soal skandal seks ini hanya peringatan untuk orang lelaki...orang perempuan pun ada, kita orang perempuan juga harus hati-hati dan elak daripada berlaku," katannya.

Bagi Nurul Izzah, beliau menasihatkan pihak pentadbiran kerajaan di semua peringkat terutamanya bagi negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat sentiasa mengamalkan sifat integriti dan akauntabiliti.

"Soal ini penting terutamanya bagi menguruskan dana kewangan kerana kita memerlukan pengurusan sumber yang jelas dan terpeinci bagi mengelakkan salah guna kuasa dan politik wang.

"Bila sebut mengenai integriti, saya hanya ingatkan soal politik wang yang menular dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) hingga rakyat melihat melaluinya peluang untuk mereka untuk mendapatkan projek," katanya.

Menurut beliau lagi pemantauan yang berkesan perlu dilaksanakan secara berterusan agar setiap peruntukan yang dibelanjakan dapat diketahui dengan jelas.

"Kita perlu memastikan soal integrii kekal dengan imej kita, bukan sahaja dalam PKR malah PAS dan DAP.

"Melaksanakan pentadbiran dengan peruntukan kewangan yang sedikit memang sesuatu yang sukar, tapi itu adalah sebagai cabaran kerana dengan wang yang sedikit akan mengingatkan kita dengan integriti serta menghindari dengan politik wng dan rasuah," katanya.

Tebusan Singapura terbunuh dalam serangan di Mumbai

SINGAPURA: Seorang warga Singapura yang dijadikan tebusan oleh pengganas sewaktu serangan di Mumbai Rabu lepas telah terbunuh, menurut Kementerian Luar Singapura malam tadi. Kementerian itu berkata kematian wanita berbangsa Cina itu, Lo Hoei Yen, berusia 28 tahun, disahkan selepas suaminya yang pergi ke Mumbai telah mengecam mayatnya pada pukul 9.35 malam tadi waktu Singapura.

Kematian wanita itu merupakan satu tragesi kepada semua warga Singapura, kata kementerian itu, sambil menambah bahawa kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Para pegawai kementerian itu di Mumbai kini bersama suami dan ibu saudara mangsa.

Wanita itu berada di Hotel Trident-Oberoi apabila kumpulan pengganas yang bersenjata api melancarkan siri serangan terancang di beberapa tempat umum dan hotel di Mumbai malam Rabu lepas yang menyebabkan lebih 100 orang termasuk warga asing terbunuh. Mangsa, seorang peguam dan berada di Mumbai kerana urusan kerja, dijumpai mati oleh pihak berkuasa India di tingkat 19 hotel itu.

Kementerian itu sedang membantu keluarga berkenaan untuk urusan membawa pulang mayat mangsa.

Ia juga berkata tiada lagi warga Singapura yang terkandas di manamana hotel di wilayah kewangan India itu. BERNAMA

Friday, November 28, 2008

Pakatan cuai bersihkan anasir BN

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan Pakatan Rakyat di lima negeri dengan tanpa banyak alasan segera "membersihkan kerajaan negeri daripada anasir BN".

"AMK dengan ini memberikan peringatan kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Jangan berdolak-dalik dengan seribu satu alasan. Pembersihan kerajaan daripada anasir BN mesti dilaksanakan tanpa bertangguh," kata ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin.

"Kita tidak boleh terpukau dan terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang bertukar kulit hanya semata-mata untuk terus membolot peluang, tanpa menghayati falsafah perjuangan kita, tanpa menunjukkan komitmen untuk menghayati prinsip-prinsip perjuangan yang kita dukung."

Shamsul Iskandar mengkritik kerajaan gabungan PKR, DAP dan PAS yang didakwanya "cuai melaksanakan janji" untuk membuat pembersihan dalam pentadbiran "sehingga ke akar".

"Sekarang rakyat telah memilih kita. Rakyat mahu kita melakukan perubahan. Salah satu perubahan yang telah kita janjikan ialah untuk membersihkan kerajaan daripada kebobrokan Umno-BN.

"Kenapa setelah rakyat memberikan kita amanah, kita cuai untuk melaksanakan janji ini?" katanya ketika menyampaikan ucapan dasar ketua angkatan muda PKR dalam kongres tahun pergerakan itu di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

Berhubung perkara itu, beliau menambah, kebergantungan kerajaan Pakatan terhadap birokrasi kerajaan dan jentera BN hari ini "menjadi lelucon dan sesuatu yang malang".

"Pergantungan kepada birokrasi semata-mata, atau lebih malang kepada aparat-aparat BN, sudah tentu tidak memadai. Sudah barang tentu menjadi lelucon untuk kita terus membiarkan anasir-anasir BN berleluasa dan mengakar di dalam kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan.

"Selama ini kita mengkritik mereka sebagai (pengamal) rasuah, khianat kepada amanah rakyat dan sebagainya.

"Kita mengambil risiko, bermati-matian menentang mereka di dalam pilihanraya kerana kita mahu menggantikan mereka dengan pemimpin yang berintegriti di semua peringkat," kata Shamsul Iskandar di depan hampir 600 perwakilan AMK.

Beliau turut mempersoalkan ahli-ahli parti itu yang diketepikan dalam jentera kerajaan negeri Pakatan dengan "alasan bukan-bukan", termasuk tiada pengalaman.

"Pemimpin-pemimpin utama PKR terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan yang sangat cemerlang. Profesor dan pakar di dalam pelbagai bidang.

"Kenapa sehingga ke hari ini mereka masih tidak diangkat memainkan peranan utama memberi sumbangan dalam perencanaan dan operasi kerajaan-kerajaan negeri?" katanya.

Dengan nada amaran, Shamsul Iskandar berkata, sekiranya terdapat pemimpin kerajaan Pakatan yang teragak-agak, takut kepada risiko dan perubahan, pergerakan itu tiada pilihan selain menggantikan pemimpin itu.

"Sekiranya ada pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pakatan teragak-agak, gentar untuk membuat perubahan, takut kepada risiko; kita tidak ada pilihan selain menuntut perubahan dalaman untuk menggantikan mereka dengan pemimpin yang benar-benar mampu memimpin dan membuat keputusan.

"Kerajaan mesti dipimpin, bukan semata-mata diurus," katanya.

Beliau dalam ucapannya itu bagaimanapun tidak menamakan dengan jelas pemimpin yang dimaksudkannya itu.

Dalam sidang akhbar selepas ucapannya itu, Shamsul Iskandar menjelaskan, penyertaan AMK dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri dibuat Pakatan dapat menilai semula keberkesanan masing-masing selepas lapan bulan memerintah sejak Mac lalu.

Beliau menafikan tuntutannya itu difokuskan kepada peluang perniagaan semata-mata.

"Peluang itu saya buat (gariskan secara) umum. Bukan sekadar peluang perniagaan, (tetapi juga) peluang dalam struktur kerajaan negeri, (dan) peluang dalam institusi-institusi pendidikan.

"Peluang dalam perniagaan itu, apa masalahnya kalau ada keuntungannya kepada rakyat. Yang kita tolak, perniagaan yang ada (unsur) rasuah, penyelewengan dan korup," katanya.

Ketua AMK itu menafikan pergerakannya terpinggir dalam kerajaan-kerajaan negeri Pakatan.

"Tidak, (desakan) itu hanya penegasan AMK. Saya tidak berasa terpinggir," katanya.

"Apabila perubahan dilakukan, kita tidak boleh mengelak. Mereka (rakyat) telah memilih kita (dalam pilihanraya umum lalu). Takkan kita hendak katakan tidak boleh buat, tidak ada pengalaman. Kita kena lakukan sesuatu."

Ada ahli PKR percaya Anwar bohong

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali mengakui terdapat anggota parti itu yang percaya terhadap tuduhan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong tentang projek pembentukan kerajaan baru peringkat persekutuan 16 September lalu.

"Tidak ramai yang mempercayai propaganda (media arus perdana) ini.
"Malangnya saya lihat ada juga segelintir paling kecil anggota PKR, termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta Wanita PKR, yang termakan oleh propaganda murahan ini," katanya sewaktu merasmikan kongres dua sayap utama parti itu di Stadium Malawati, Shah Alam pagi ini.

Bagaimanapun, menurutnya, sebilangan besar rakyat, dan hampir semua anggota parti dalam Pakatan Rakyat tetap mengharapkan projek itu menjadi kenyataan setidak-tidaknya dalam pilihanraya umum akan datang.

"Saya tahu bahawa seluruh anggota parti dan rakyat yang mahukan perubahan yakin Anwar becakap benar tentang bilangan Anggota Parlimen yang hendak berpindah itu cukup," katanya.

Pemimpin nombor dua dalam PKR itu berkata demikian ketika menjawab tuduhan terhadap pemimpin Pakatan bahawa Anwar berbohong tentang bilangan ahli-ahli parlimen BN yang hendak melompat kepada gabungan pembangkang bagi menumbang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Syed Husin berkata, dakwaan yang dibuat melalui media milik parti BN juga mendakwa projek itu gagal kerana Umno-BN serta pimpinan parti itu kuat dan bersatu-padu.

Mengulas projek pembambilalihan kuasa itu, Dr Syed Husin menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan "perpindahan kuasa belum dapat dilaksanakan".

"Kita tahu ramai telah memberi surat pengakuan atau menyediakan surat sumpah akan berpindah. Namun ada yang takut (mereka) mungkin disekat apabila diperlukan bangun dalam Parlimen untuk membuktikan sokongan kepada sebarang usul yang dikemukakan pihak Pakatan," katanya.

Dr Syed juga mendakwa ahli-ahli parlimen itu menerima tekanan dan ugutan yang kuat, antaranya daripada polis Cawangan Khas (SB) yang "sepanjang masa bertunggu bertangga mengawasi segenap pergerakan mereka (ahli parlimen BN)".

Selain itu, katanya lagi, percubaan pemimpin Pakatan hendak bertemu perdana menteri bagi meminta sidang khas Parlimen diadakan bagi membincang dan memutuskan pelan perpindahan kuasa itu sentiasa ditolak.

"Memandangkan segala hambatan dan halangan ini, maka perpindahan kuasa belum dapat dilaksanakan lagi. Tetapi ini bukannya bermakna ia gagal dilaksana buat selama-lamanya," katanya.

Dr Syed Husin menjangkakan Anwar dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan menyentuh lanjut perkara itu dalam ucapan masing-masing di kongres tahunan kelima PKR selama dua hari yang bermula esok.

Wan Azizah pagi esok akan menyampaikan ucapan dasar beliau bertemakan 'Harapan Baru', sementara Anwar sebagai ketua umum PKR akan turut menyampaikan ucapannya selepas itu.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis perasmian itu, Dr Syed Husin berkata tarikh 16 September yang disebut-sebut sebelum ini hanyalah "permulaan kepada perubahan dan bukannya pengakhiran kepada segala-galanya".

PKR sekarang, katanya, "bercakap sedikit, kerja banyak" ke arah pembentukan kerajaan persekutuan seperti diusahakan Anwar.

Mengulas pengambilalihan itu, beliau berkata: "Ia mungkin datang lebih awal daripada pilihanraya umum ke-13."

Tukar k'jaan pusat tahun depan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) yakin projek pertukaran kerajaan persekutuan yang dipelopori oleh penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjaya tahun depan, kata ketua pergerakan itu Shamsul Iskandar Md Akin.

"Fajar akan menyingsing tahun hadapan," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Menurutnya lagi, Anwar yang juga ketua pembangkang telah berjaya membina kesediaan mentaliti rakyat untuk melakukan perubahan kerajaan persekutuan melalui ura-uranya untuk berbuat demikian menjelang 16 September lepas.

Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan sehingga Anwar dituduh bermain-main dengan dakwaannya itu atau cuba berbohong kepada umum.

Shamsul Iskandar mengakui menukar kerajaan pusat bukan satu tugas mudah dan menafikan projek tersebut telah gagal atau janji kosong Pakatan.

"Kalau beliau (Anwar) berjanji tetapi tidak laksanakan, tidak berusaha (ke arah itu), boleh dianggap beliau berbohong," katanya, dengan menambah Anwar dan Pakatan telah mencuba beberapa langkah termasuk mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mengusulkan untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen.

Beliau percaya isu pertukaran kerajaan akan dibangkitkan oleh para perwakilan AMK dalam kongres sehari pergerakan itu di Stadium Melawati, Shah Alam hari ini.

Mengulas kebimbangan PKR dan kerjasama Pakatan Rakyat akan hilang arah tanpa Anwar, beliau berkata usaha sedang berjalan untuk melahirkan generasi pemimpin pelapis bagi berdepan senario sedemikian.

Tambahnya, beliau juga yakin pemimpin pelapis sudah wujud dalam PAS dan DAP bagi berdepan dengan senario penggantian generasi pemimpin atasan termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Lim Kit Siang atau Karpal Singh.

"Kita harus optimis, ramai pasukan pelapis di kalangan pimpinan PKR (dan Pakatan) dianggotai oleh orang muda," katanya.

Beliau memberi contoh Timbalan Presiden PAS Nasarudin Mat Isa, Naib Presidennya Datuk Husam Musa, Naib Presiden PKR Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan ahli parlimen DAP bagi Puchong, Gobind Singh Deo antara tokoh-tokoh yang boleh memimpin Pakatan Rakyat dalam masa akan datang.

Protes gejala 'mak nyah' dulu, baru konsert Inul

PETALING JAYA: "Bukan saja terkilan tetapi saya rasa teraniaya...," luah penganjur konsert Inul Daratista, IMS Sdn Bhd, Nasir Abu Bakar apabila diberitahu pembatalan konsert Inul di saat-saat akhir.

Pihak penganjur diberikan tiga sebab kenapa konsert Inul, yang dijadualkan berlangsung malam esok, 29 November, di Stadium Putra, Bukit Jalil terpaksa dibatalkan.

Konsert Inul dibatalkan buat kali ketiganya.

Selain dari tidak mendapat permit dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), konsert itu mendapat bantahan dari Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan pihak polis enggan memberi kelulusan atas sebab keselamatan.

Difahamkan, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan memorandum mengandungi bantahan tersebut kepada Ketua Pengarah Jakim, Dato' Wan Mohamad Dato' Sheikh Abdul Aziz baru-baru ini.

Ketika mengesahkan berita pembatalan konsert Inul sebentar tadi, Nasir, yang juga Pengarah Urusan IMS Sdn Bhd, berkata beliau cukup kecewa dengan pembatalan konsert itu buat ketiga kalinya.

Kali terakhir ialah pada bulan Julai dan Ogos tahun ini di mana penyanyi dangdut yang terkenal dengan 'goyang gerudinya' itu sepatutnya beraksi di Stadium Putra, Bukit Jalil dan di Stadium Johor Bahru.

"Memang saya kecewa tetapi saya tidak marah. Saya tidak menanggung apa-apa kerugian kerana belum mengeluarkan apa-apa belanja lagi kerana menunggu kelulusan permit dari Dewan Bandaraya," jelas Nasir yang pernah mengalami kerugian hampir RM500, 000 ketika dua konsert terdahulu Inul dibatalkan.

Tapi kata Nasir, "Nak protes pun biar bertempatlah. Saya tidak pernah paksa orang datang. Kalau fikir konsert itu tidak baik, tidak payahlah datang."

Inul Daratista masih 'teringin' membuat konsert di Malaysia

"Saya rasa teraniaya. Saya buat konsert nak cari makan. Benda ini kecil saja, hanya konsert tiga jam. Sepatutnya ada isu lain yang lebih besar, yang perlu mereka protes dulu seperti gejala mak nyah di Lorong Haji Taib, Chow Kit Road, dan pengkid. Isu-isu yang macam ni lah patut mereka protes dulu?

"Saya hendak tanya, adakah mereka ini pergi Lorong Haji Taib untuk membendung perkara mungkar seperti ini? Tak ada pun...?

"Saya tidak paksa mereka datang pun. Saya sasarkan konsert ini untuk orang Indonesia kerana ramai dikalangan mereka yang datang konsert Inul dulu," jelas Nasir lagi.

Lagipun, menurut Nasir, pihaknya mendapat jawapan yang permit mereka tidak diluluskan oleh DBKL pada 24 November.


Inul Daratista - penyanyi seberang yang cukup terkenal dengan 'goyang gerudinya'.

"Ikutkan saya boleh buat rayuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur tapi saya tidak cukup masa untuk berbuat demikian kerana tarikh konsert semakin hampir," jelasnya lagi.

Ironinya, kata Nasir, "Ini bukan kali pertama saya menganjurkan konsert Inul di sini. Saya pernah membawa Inul ke sini untuk konsert di Stadium Merdeka pada tahun 2005. Masa tu boleh pula?

"Lagipun, saya tidak nampak konsert Inul boleh mencetuskan huru-hara sehingga menjadikan faktor keselamatan sebagai alasan membatalkan konsert."

Ketika ditanya bagaimana reaksi Inul apabila diberitahu tentang pembatalan konsert di Malaysia buat kali ketiganya?

"Ini baru cadangan saja dan kami pun memaklumkan demikian pada Inul. Bila dibatalkan sekali lagi, kami memberitahu Inul dan dia akur dengan keputusan itu," jelas Nasir.

'Kedegilan' pihak IMS untuk meneruskan usaha mengadakan konsert Inul di sini seolah-olah menggalakkan satu aktiviti yang mengundang keruntuhan moral?

"Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak pernah memaksa orang datang...."

Demi peminat setia Inul yang 'kempunan' melihat aksi penyanyi dangdut kesayangan mereka, Nasir berjanji akan berusaha membawa juga Inul mengadakan konsert di Malaysia.

"Saya tidak putus asa. Saya akan buat rayuan lagi..."

Komando gempur pusat Yahudi di Mumbai

MUMBAI: Insiden tembak-menembak tercetus dengan lebih hebat hari ini selepas komando India diturunkan daripada helikopter di atas bumbung pusat Yahudi di Mumbai, di mana militan Islam yang disyaki sedang menahan 10 orang Israel, kata seorang saksi agensi Reuters.

Agensi itu melaporkan, komando telah mengambil tempat di luar "Nariman Bhavan", tempat di mana militan bersenjata telah bersembunyi pada 27 November lalu.

Laporan televisyen menyebut, ia bermula dengan serangan oleh pasukan Pengawal Keselamatan Kebangsaan separa tentera bagi menghalau keluar militan terbabit.

Pusat Yahudi merupakan satu daripada tiga pusat dalam modal kewangan negara di mana pihak berkuasa India sedang bertarung menentang militan, lebih 24 jam selepas militan bersenjata berat itu membunuh sekurang-kurang 121 orang dalam serangan terancang.

Saksi Reuters berkata, pasukan itu menembak ke arah pusat Yahudi untuk tujuan perlindungan, sementara komando menjatuhkan tali daripada helikopter yang menurunkan sekurang-kurangnya tiga komando.

Bangunan tersebut yang terletak di kawasan sibuk di Mumbai telah menyebabkan kesukaran untuk melakukan serangan dari arah hadapan.

Pihak polis berkata, militan juga masih bersembunyi di Hotel Taj Mahal dan berdekatan hotel Oberoi-Trident bersama tebusan yang masih belum diketahui bilangannya.

Saksi turut memberitahu, komando juga telah memasuki Oberoi-Trident pada pagi ini walaupun tiada tanda-tanda segera akan berlaku pertempuran.

Bandaraya Mumbai dengan kepadatan penduduk 18 juta orang merupakan pusat pertumbuhan ekonomi dan industri filem Bollywood.

India yang didominasi rakyat beragama Hindu dengan minoriti Muslim, telah mula diserang militan sejak berabad lalu. Bagaimanapun, serangan tersebut dilihat bertujuan untuk melumpuhkan keupayaan menarik pelaburan asing.

Pasaran sahamnya telah ditutup semalam kerana serangan tersebut tetapi pengawal selia pasaran berkata, mereka telan meminta bursa-bursa saham bersedia untuk perdagangan pada hari ini di mana keputusan terakhir akan dibuat kemudian.

Menyalahkan kumpulan militan

Perdana Menteri, Manmohan Singh menyalahkan kumpulan militan berpengkalan di negara-negara jiran India, kebiasaannya menggambarkan negara Pakistan atas serangan itu dan ini sekaligus meningkatkan prospek ketegangan baru antara pesaing-pesaing bersenjata nuklear.

Singh mengingatkan serangan itu sebagai "satu kos" sekiranya negara-negara jirannya itu tidak mengambil langkah menghentikan tindakan militan menggunakan wilayah mereka untuk tujuan serangan.

Dianggarkan 25 lelaki menyerang menggunakan senjata rifel dan grenad - sekurang-kurangnya beberapa daripada mereka tiba di negara itu melalui laut - telah memasuki Mumbai pada malam Rabu lalu untuk menggempur tempat-tempat yang popular dengan kehadiran pelancong dan ahli-ahli perniagaan, termasuk dua hotel paling mewah di bandar raya tersebut.

Pihak polis berkata, sekurang-kurangnya tujuh penyerang terbunuh dan sembilan suspek kini berada dalam pengawasan mereka. Mereka berkata, 12 anggota polis terbunuh termasuk Ketua Polis Skuad Anti-Keganasan Mumbai, Hemant Karkare.

Kira-kira enam pelancong termasuk seorang rakyat Australia, seorang Britain, seorang Itali dan seorang dari Jepun turut terbunuh, sementara ramai lagi masih terperangkap dalam pertempuran tersebut dan ditahan sebagai tebusan.

Polis berkata, seramai 279 orang telah tercedera dalam serangan tersebut.

Kumpulan Pakistan

Akhbar Hindu melaporkan, sekurang-kurangnya tiga penyerang yang sedang berada dalam pengawasan pihak berkuasa India adalah ahli kumpulan Laskkar-e-Taiba yang berpusat di Pakistan.

Kumpulan itu terkenal kerana menentang undang-undang negara dalam pertelingkahan Kashmir dan dahulunya mempunyai rangkaian rapat dengan agensi risikan perkhimatan tentera di Pakistan.

Laskhkar-e-Taiba bagaimanapun menafikan terlibat melakukan serangan itu.

"Ada bukti yang menunjukkan kumpulan tersebut yang melakukan serangan ini, yang berpusat dari luar negara dan mereka datang dengan penuh keazaman untuk mewujudkan huru-hara di pusat komersial negara ini," katanya semalam.

Pakistan yang turut mengutuk serangan berjanji berjanji akan memberi kerjasama penuh.

Saksi-saksi berkata, militan dilihat mensasarkan target mereka kepada rakyat Britain, Amerika dan Israel.

Pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika yang baru dipilih, Barack Obama turut mengutuk serangan itu.

Raja Perempuan Besar Perlis mangkat

KANGAR: Raja Perempuan Besar Perlis, Tengku Budriah Tengku Ismail, 84, mangkat di Hospital Kuala Lumpur pada 3.47 pagi tadi.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengumumkan kemangkatan bonda Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu melalui stesen Radio Malaysia Perlis sebentar tadi.

Almarhum adalah Raja Permaisuri Agong yang ketiga antara 1960 dan 1965 dan menjadi Raja Perempuan Perlis bermula 1945 sehingga kemangkatan almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 2001.

Jenazah almarhum diterbangkan dari lapangan terbang Subang ke Alor Star dan dibawa ke Istana Arau untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir bermula tengah hari ini sebelum disemadikan di Makam Diraja Arau selepas solat Asar.

Md Isa berkata, bagi menghormati kemangkatan itu, bendera dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini dan semua acara keramaian dan berbentuk hiburan ditangguhkan. BERNAMA

Pesawat tentera khas bawa balik penumpang terkandas di Bangkok

BANGKOK: Kedutaan Malaysia di Bangkok sedang mengatur untuk menyediakan sebuah pesawat tentera khas bagi membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di Bangkok berikutan dengan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang di ibu negara ini ditutup sejak Isnin lepas oleh pemprotes anti-kerajaan.

Seorang jurucakap kedutaan berkata mereka yang mampu untuk pulang dengan pesawat komersial dinasihatkan berbuat demikian kerana tempat duduk di pesawat khas ini adalah terhad.

"Bagi penerbangan tentera khas, semua rakyat Malaysia yang memerlukan dinasihati menelefon nombor hotline kedutaan untuk mendapatkan maklumat dan penyelarasan terkini. Kita akan memaklumkan dengan segera mengenai pelepasan pesawat tentera itu," katanya.

Memandangkan keadaan tidak menentu di Bangkok, kedutaan itu telah membuka bilik operasi yang dibuka 24 jam dan nombor yang boleh dihubungi ialah (+66) 2629 6808 atau (+66) 2629 6800 samb. 4106.

Pegawai itu berkata mereka yang ada tiket Malaysia Airlines (MAS) hendaklah menghubungi syarikat itu kerana ia akan beroperasi pada Jumaat, sebuah pesawat dari Kuala Lumpur ke Utapao, berhampiran dengan Pattaya untuk membawa balik beratus-ratus penumpang di Bangkok.

Pengurus Kawasan MAS bagi Thailand, A. Vijayakumaran, berkata dua lagi penerbangan akan beroperasi Sabtu ini, menggunakan pesawat Airbus dengan kapasiti 290 penumpang, berbanding muatan biasa iaitu 144 orang.

Jabatan Penerbangan Awam Thailand bersetuju membenarkan penerbangan ini menggunakan lapangan terbang itu, yang terletak kira-kira 140km dari Bangkok, berikutan dengan penutupan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang di ibu negara ini sejak Isnin lepas oleh pemprotes anti-kerajaan.

Vijayakumaran berkata pesawat MH782 pada Jumaat akan berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 3.15 petang dan tiba di sini pada pukul 16.20 petang (waktu Thai), sementara MH783 akan berlepas pulang pada pukul 5.10 petang dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 8.15 malam.

Pada Sabtu, MAS akan beroperasi dengan dua pesawat, bermula dengan MH784 berlepas pada pukul 9.10 pagi dan tiba di sini pada pukul 10.15 pagi (waktu Thai) dan berlepas pulang dengan MH785 dari Utapao pada pukul 11.10 pagi.

Pesawat kedua (MH788) akan berlepas dari KLIA pada pukul 12.25 tengah hari dan tiba pada pukul 1.30 petang sementara pesawat pulang (MH789) dijadual berlepas pada pukul 2.15 petang (waktu Thai) dan tiba di KLIA pada pukul 5.25 petang.

Untuk pertanyaan, mereka boleh menelefon pejabat MAS di Bangkok (+66) 2263 0572 atau (+66) 2263 0565 sehingga 71 (hunting line), serta Pusat Panggilan 24 jam MAS di 1 300 88 3000 di Malaysia. BERNAMA

Kes fitnah RPK

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Sekeri Mamat hari ini memutuskan untuk menunggu keputusan Mahkamah Tinggi sama ada perbicaraan kes fitnah Raja Petra Kamarudin (gambar) akan didengar di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret.

Beliau kemudian menetapkan 15 Dis untuk kes itu disebut.

Mohamad Sekeri sepatutnya memberikan keputusan hari ini mengenai bantahan permulaan Raja Petra yang memohon mahkamah itu mengembalikan kes tersebut ke mahkamah rendah untuk perbicaraan dengan alasan bahawa perintah majistret untuk memindahkan kes berkenaan adalah tidak sah, batal dan bertentangan dengan undang-undang.

Majistret itu telah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen atas alasan ia membabitkan kepentingan awam.

Editor laman web Malaysia Today itu telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Selasa lalu supaya perbicaraan kes tersebut dipindahkan semula daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Majistret.

Peguam beliau, Manjeet Singh Dhillon dalam hujahnya berkata, "secara alternatifnya, Mahkamah Tinggi juga boleh merujuk kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan" untuk mengkaji kaitan antara pemindahan kes-kes majistret ke Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 177, Kanun Prosedur Jenayah dan hak seseorang kepada sesaksamaan di bawah Artikel 8 (1), Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Dis untuk kes itu didengar.

Raja Petra menghadapi tiga dakwaan kerana memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Kolonel Norhayati Hassan dan suami, Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dalam akuan bersumpah yang dibuat pada pukul 10.25 pagi, 18 Jun lalu.

Dia didakwa di Mahkamah Majistret Julai lalu namun kesnya telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen pada 15 Ogos.

Jika sabit kesalahan, Raja Petra menghadapi hukuman penjara dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya, bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Minggu ini ditetapkan untuk perbicaraan tetapi mahkamah tersebut terpaksa mendengar bantahan permulaan Raja Petra sebelum perbicaraan dijalankan.


Thursday, November 27, 2008

Kutipan bayaran tambahan PIBG pada pertengahan tahun

KUALA LUMPUR: Bermula tahun hadapan, sebarang kutipan bayaran tambahan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak lagi dibuat pada awal tahun seperti kebiasaan, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sebaliknya, kata Hishammuddin, Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2009 pada Isnin lepas memutuskan bayaran tambahan itu akan dikutip pada pertengahan tahun setelah mendapat persetujuan mesyuarat PIBG.

"Melalui langkah ini, PIBG dan ibu bapa akan diberikan mandat dan peluang untuk menentukan jumlah yang akan dikutip daripada ibu bapa.

"Selain mengurangkan beban tanggungan ibu bapa, langkah ini selaras dengan usaha Kementerian Pelajaran mengupayakan peranan dan tanggungjawab PIBG dalam membantu membangunkan sistem pendidikan negara," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Cuba ke Malaysia Carlos Alfredo di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Hishammuddin berkata perkara itu diputuskan memandangkan situasi ekonomi yang tidak menentu dan selepas membincangkan pendekatan terbaik untuk mengurangkan perbelanjaan awal tahun ibu bapa dalam menanggung perbelanjaan persekolahan.

Beliau berharap PIBG tidak seharusnya menjadikan keputusan kerajaan itu satu isu kerana pada masa yang sama, kementerian terpaksa menanggung peruntukan besar bagi sesi persekolahan 2009.

"Perkara ini perlu diperjelaskan ke peringkat akar umbi dan saya telah mengarahkan pengarah di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya tidak ada mana-mana pihak terkeliru.

"Kita juga berharap supaya ia tidak mewujudkan suasana yang tidak sedap didengar kerana lebih-lebih lagi kita dah bantu melalui bantuan tambahan yang kita bertungkuslumus pertahankan dalam keadaan nilai peruntukan kita sudah menurun dalam 20 hingga 30 peratus," katanya.

Hishammuddin berkata beliau juga telah mengarahkan supaya kementerian melihat cara yang sesuai untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG secara telus.

Yuran tambahan PIBG sering menjadi isu dan rungutan ibu bapa setiap kali bermula sesi persekolahan kerana jumlahnya mencecah sehingga RM180 dan membebankan ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Kementerian Pelajaran pada 30 Okt tahun lepas mengeluarkan pekeliling mengenai garis panduan amaun maksimum atau siling yang boleh dikutip daripada ibu bapa.

Amaun maksimum bayaran tambahan bagi sekolah rendah ialah RM38.50 manakala bagi sekolah menengah pula ialah RM55.50.

Kerajaan telah memansuhkan yuran rasmi bagi sekolah rendah dan menengah bermula sesi persekolahan 2008.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata bagi sesi persekolahan 2009, kementerian telah menyediakan peruntukan besar bagi tujuan bantuan tambahan, antaranya; RM1.06 bilion untuk Bantuan Makanan Asrama, RM270 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan, RM262 juta untuk Biasiswa Pelajar, RM246 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen dan RM200 juta untuk tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Beliau berkata peruntukan lain adalah RM72 juta untuk Bantuan Murid Orang Kurang Upaya (OKU), RM27 juta untuk Program Susu Sekolah dan RM20 juta untuk Bantuan Pakaian Seragam Unit Beruniform.

"Selain itu kementerian turut menyalurkan RM96.319 juta untuk peluasan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Pada masa sama kementerian turut membantu muridmurid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) daripada keluarga yang berpendapatan kurang RM600 sebulan," katanya. BERNAMA

MBSA diarah tangguh kawal jualan arak

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) harus menangguhkan dasar membataskan jualan minuman keras, yang asalnya dirancang berkuatkuasa Januari depan, sehingga diputuskan oleh kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun kerajaan negeri prihatin dengan kebimbangan sesetengah pihak berhubung pengambilan alkohol, ia tidak akan mengambil tindakan drastik mengehadkan jualan secara menyeluruh.

"Kita telah meminta supaya semua keputusan itu (di peringkat pihak berkuasa tempatan) dibuat selari dengan keputusan yang dibuat oleh exco negeri.

"Keputusan exco negeri hanya (memutus) meningkatkan penguatkuasaan, melarang penjualan alkohol kepada mereka bawah 18 tahun, dan juga kepada masyarakat Islam," kata Abdul Khalid apabila diminta mengulas hasrat MBSA membataskan jualan minuman beralkohol.

"Jadi selepas perjumpaan kita dengan mereka yang berkenaan seperti pemilik kedai, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan NGO-NGO, barulah kita akan membuat beberapa keputusan pelaksanaan."

Abdul Khalid menambah, kerajaan negeri akan mengadakan rundingan untuk meningkatkan langkah penguatkuasaan kawalan terhadap jualan alkohol awal tahun depan.

Mengulas sama ada MBSA wajar membekukan pelaksanaan dasar tersebut, beliau juga berkata:

"Lagipun ia belum dikuatkuasakan. Itu hanya penerimaan pandangan. Tidak ada masalah. Kita akan sentiasa terima beberapa cadangan dari ahli-ahli majlis dan juga daripada NGO tentang perkara-perkara sosial dan masyarakat di Selangor."

Dasar membataskan jualan arak di beberapa premis terbuka seperti kedai serbaneka 24 jam dan restoran diputuskan oleh MBSA hujung bulan lepas.

Menurut sumber-sumber PBT itu lagi, berikutan itu, pengeluaran lesen bagi tiga premis - kedai runcit, restoran dan kedai serbaneka 24 jam - akan disemak semula.

"Mereka perlu mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pelesenan yang juga dianggotai ahli MBSA," kata sumber-sumber tersebut.

Bagaimanapun, tambah sumber-sumberiitu, semakan semula ini tidak melibatkan premis lain seperti hotel, kelab malam, kedai ubat Cina, pasaraya besar dan jualan oleh pemborong.

Sementara itu, di sidang media lebih awal di bangunan Parlimen, exco kanan Selangor, Teresa Kok menjelaskan tiada larangan jualan alkohol di negeri itu.

Tambahnya, seorang exco pernah membangkitkan isu mudahnya minuman keras diperolehi di kedai-kedai serbaneka 24 jam dan mencadangkan agar ia dikawal lebih ketat.

Bagaimanapun, kata Teresa, cadangan itu tidak dipersetujui oleh ramai exco.

Beliau juga berkata, dalam mesyuarat berkenaan, menteri besar mencadangkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan kedai serbaneka untuk menyelesaikan isu tersebut. -- MalaysiaKini

ADUN PAS nafi wujud desakan Nik Aziz berundur

KOTA BHARU: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat hari ini menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya Menteri Besar, Datuk Seri Nik Abdul Nik Mat (gambar) berundur dari jawatannya.

Malah beliau yang juga ADUN Pulai Chondong berkata, pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama.

"Sepatutnya Tok Guru (Nik Abdul Aziz) memerintah lebih lama lagi. Tiada pakatan untuk gesa tok guru berundur sama ada secara sulit atau tidak," katanya kepada pemberita selepas taklimat Homestay anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang "tidak sabar" untuk melepaskan jawatan itu jika Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan daripada Pas memintanya berbuat demikian semalam.

Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan "pada masa gemilang beliau" dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui kerajaan Kelantan.

Malah menurut laporan Mingguan Watan itu, golongan berkenaan mahu Nik Abdul Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Sementara itu, ADUN Pas Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron meminta pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil ke hadapan agar bersuara mengenai gesaan itu.

"Tidak ada sebab kami mahukan tok guru berhenti. Tok guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti," katanya.

ADUN Tawang, Hassan Mohamood berkata, isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan ADUN Pas kerana mereka akan menyokong Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya.

"Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong," katanya sambil menyifatkan gesaan itu datang daripada pihak luar dan bukan di kalangan ADUN Pas. BERNAMA

Wednesday, November 26, 2008

Kempen 'anti-Dr Asri' buang masa saja...

KUALA LUMPUR: Pandangan berani beliau beralaskan ilmiah, hukum dan logik tentang 'yoga' telah membuat beberapa pihak tidak senang dengan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ada yang melahirkan ketidakpuasan hati dengan pendirian Dr Asri dan mempersoalkan kredibiliti beliau mengkritik fatwa 'yoga' yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, seolah-olah wujud satu kempen 'anti-Dr Asri' yang cuba memberi gambaran buruk tentang tokoh agama yang berasal dari Mengkuang, Pulau Pinang ini.

Bagaimanapun, ketika ditemui tengah hari tadi, Dr Asri yang akan menamatkan khidmat sebagai Mufti Perlis Ahad ini, bagaikan sudah lali dengan kempen yang dikatakan itu.

"Saya dah lama tahu pasal kempen ni. Saya tak kisah pun. Kempen macam ni semua buang masa saja.

"Sebenarnya bukan pasal kes yoga saja. Saya rasa mungkin mereka-mereka takut saya berhenti jadi mufti dan muncul dalam bidang politik," katanya.

Ditanya tentang PhD beliau yang bukan dalam jurusan agama dan kononnya beliau tidak layak memberi pandangan tentang fatwa yoga, Dr Asri berkata: "Kalau saya yang ada PhD pun dikatakan tidak layak memberi pendapat tentang fatwa yoga, macam mana dengan mufti-mufti negeri lain yang tidak ada PhD?"

Dr Asri membuat tesis 'Pengajian Hadis' berjudul "Sabab Wurud Al-Hadith" dalam bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malayasia (UIAM).

Tesis yang dicetak oleh Dar al-Kutub al-'ilmiyyah di Lubnan itu turut diterjemah dan diedarkan di peringkat antarabangsa.

Dr Asri berkata, sesiapapun boleh menyiasat latar belakang akademik beliau, tambahan pula tesisnya dibuat di UIAM dan kemudiannya beliau diterima bekerja sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang - dua institusi yang terkenal di Malaysia.

Tambahnya, "Biarlah orang nak pertikaikan. Selagi orang pertikaikan apa yang saya kata, orang tahu saya masih wujud. Siti Nurhaliza pun orang pertikaikan dia kahwin, sedangkan bukan dia cakap apapun, tak usik siapa-siapa lagi..."

Semalam, Dr Asri telah menegur pihak Majlis Fatwa Kebangsaan supaya memberi alternatif pada fatwa yoga dengan membuang unsur yang bertentangan dengan agama Islam.

Beliau menasihatkan agar Majlis Fatwa tidak terlalu kaku dalam mengeluarkan fatwa dan memberi alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga untuk kebaikan kesihatan. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz juga turut mengkritik pandangan yang dikeluarkan Dr Asri atas kapasitinya sebagai Mufti Perlis.

"Adakah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sudah berjumpa sebelum Mufti menyatakan tidak bersetuju? Perkara ini perlu dibincangkan dahulu sebelum dinyatakan setuju atau tidak setuju," soal Datuk Wan.

Mengulas lanjut, Dr Asri berkata: "Itu adalah pandangan Mufti dan bukan keputusan Majlis Fatwa Perlis. Kalau macam tu, Mufti tidak boleh mengajarlah...

"Saya bukan kata fatwa itu salah. Memanglah apa saja perlakuan yang menyerupai agama lain itu haram. Kita sepatutnya pisahkan bacaan atau mentera dalam senaman yoga itu sendiri. Jangan ada sebarang unsur-unsur syirik yang menyamai agama lain.

“Tanggalkan yang bertentangan sahaja, samada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Kekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan.

"Mungkin boleh diperbetulkan atau dikemaskinikan 'wording' dalam fatwa itu," kata beliau lagi.

Menurut Dr Asri, banyak lagi amalan sukan yang diambil daripada budaya lain seperti tai chi, judo, wushu, taekwando dan silat.

"Semua sukan ini bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan. Kenapa tak kaji amalan-amalan lain yang ada unsur Hindu seperti tepung tawar, bersanding, merenjis. Semua ini boleh dibahaskan...," kata Dr Asri.

Hasrat Karpal bawa usul jadi kenyataan

KUALA LUMPUR: Hasrat Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) bagi membolehkan Dewan Rakyat membahaskan mengenai kenyataan terbuka Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi bahawa beliau pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah sewaktu menjadi peguam bakal menjadi kenyataan.

Pengerusi DAP itu hari ini memfailkan notis usul berkenaan di bawah Peraturan Mesyuarat 27 yang dibacakan bersama dengan Peraturan Mesyuarat 36(8) dan Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan ia disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul sebelum dibahaskan.

"Saya serahkan notis usul ini kepada Setiausaha Dewan Rakyat yang telah ditandatangani oleh 57 ahli Parlimen.

"Di bawah Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan, kami kemukan usul terhadap Ketua Hakim Negara ini, mesti ditandatangani oleh satu perempat daripada ahli Dewan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Jelas beliau syarat berkenaan telah dipenuhi kerana jumlah keseluruhan ahli Parlimen ialah seramai 222 orang dan beliau sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya 56 tandatangan ahli Dewan.

"Yang diperlukan ialah 56, tapi kami dapat 57 iaitu termask seorang ahli Parlimen Bebas," katanya.

Jelas beliau wakil Bebas yang turut menyokong usul berkenaan ialah Datuk Eric Enchin Majimbun (BEBAS-Sepanggar).

Zaki dilaporkan membuat pengakuan di Kuching pada 7 November lalu bahawa beliau pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah semasa beliau masih lagi seorang peguam pada tahun 1987.

Bagaimanapun pada 8 November, Zaki membuat penjelasan bahawa beliau sebenarnya berpengetahuan berkenaan rasuah yang berlaku di bahagian pendaftaran mahkamah pada masa beliau berkhidmat sebagai peguam.

"Yang mana adalah jelas merupakan satu pembohongan yang mengakibatkan keseluruhan badan kehakiman yang diketuai beliau mendapat nama buruk di khalayak umum," katanya.

Karpal juga menyeru Perdana Menteri untuk menggunapakai peruntukan Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan untuk merujuk Zaki kepada satu tribunal yang ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan fasal 4 untuk melucutkan jawatannya.

"Atas alasan salah laku di mana beliau telah berbohong secara umum, beliau hendaklah digantung kerja sebagai Ketua Hakim Negara sementara menunggu suatu laporan daripada tribunal tersebut di bawah klausa 3," katanya.

Ditanya kemungkinan ia memakan masa yang lama bagi usul tersebut dibahaskan, beliau berkata perkara itu tidak penting kerana baginya ia akan tetap dibahaskan apabila ia tersenarai dalam senarai Aturan Mesyuarat dan Usul-usul.

Sebelum ini Karpal pernah mengemukakan usul yang sama sebanyak dua kali ke Dewan Rakyat namun ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ketiga iaitu usul yang dibawa tidak perlu disegerakan.


Posting Terkini