Pages

Saturday, November 29, 2008

Jangan kaitkan saya dengan politik

SHAH ALAM: Selepas ditunjukkan bukti kenyataan mengenai Mawi pernah membantu ahli Parti keadilan Rakyat (PKR) yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua AMK Johor Zabidie Abas semalam, penyanyi popular berasal dari Johor ini menafikannya.

Dakwaan tersebut dikeluarkan oleh Zabidie di kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam semalam seperti yang heboh diperkatakan di sebuah laman web kini.

"Semua yang dikatakan itu tidak betul. Masa bila...?.

"Lagipun tahun 1999, saya belumpun mendaftar untuk mengundi di SPR. Jadi macam mana saya hendak sertai parti itu?.

"Saya tidak akan mengambil apa-apa tindakan kerana dirasakan tidak perlu.

"Tetapi saya hanya berharap supaya jangan kaitkan saya dengan politik," jelas Mawi ketika ditemui di pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik kategori Etnik Kreatif di Plaza Alam Sentral, di sini, semalam.

Mawi terus-terusan menafikan penglibatan beliau dengan parti pembangkang itu.

Dalam masa yang sama, Mawi turut merasakan dia dipergunakan lagi dalam politik.

"Dah banyak kali saya rasa dipergunakan oleh orang politik ini. Dulu, masa saya ke Kelantan, orang kata saya orang PAS.

"Macam saya katakan tadi, benda ni tak payah dibesarkan dan lawan apa-apa. Saya tak perlu melatah.

"Saya tahu ada pihak yang cuba gunakan nama saya. Tetapi, saya hanya redha dan bersabar.Saya yakin ada hikmahnya nanti," beritahu Mawi yang berkali-kali menegaskan supaya dia tidak dikaitkan dengan politik lagi selepas ini.

Kenyataan Mawi ini sekaligus menyangkal dakwaan bahawa beliau pernah bergiat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya umum ke-10 dan menyertai parti itu di bahagian Senai.

Zabidie, yang juga pembahas pertama mendakwa bintang paling popular Akademi Fantasia itu pernah menampal poster bersama jentera parti di Kulai.

Katanya lagi, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, pernah terlibat membantu PKR dalam pilihanraya umum 1999.

Zabidie sewaktu membahaskan ucapan dasar ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin yang bertemakan 'Memimpin Harapan Rakyat' dilaporkan berkata:

"Kita hendak imbas kembali nostalgia beliau (Mawi) panjat pokok kelapa menampal poster bersama kita."

"Saya dari Kulai, Mawi dari Kulai. Tuan-tuan tahu, dulu beliau bersama-sama saya tampal poster. Dia jentera bawah saya," katanya di hadapan 600 perwakilan pergerakan itu dari seluruh negara.

Namun, menurut Zabidie lagi, nama Mawi tidak ada dalam senarai keahlian yang dikeluarkan PKR tahun ini.

Difahamkan, nama Mawi disebut oleh Zabidiesebagai satu saranan agar PKR mengambil sikap mendekati golongan seniman, termasuk penyanyi yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.

Lewat petang semalam, Bernama melaporkan bahawa Zabidie pernah cuba memujuk jiran sekampungnya menganggotai PKR tetapi Mawi enggan.

Menurutnya, Mawi memberi alasan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya seninya selain memilih untuk bersikap neutral dalam politik.


No comments:

Posting Terkini