Pages

Saturday, November 29, 2008

Amaran buat wakil rakyat S'gor cetus 'hura-hara'

Seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor diberikan amaran kerana membesar-besar isu di negeri itu sehingga boleh menimbulkan "huru-hara" dalam pentadbiran kerajaan campuran itu.

Perwakilan daripada Johor, Lau Teck Lai, bagaimanapun tidak menjelaskan isu dan siapa yang beliau maksudkan.

Berucap di sesi perbahasan kongres nasional kelima PKR di Shah Alam hari ini, Lau berkata individu itu pernah menyebut "saya tidak pandai berpolitik tetapi pandai bekerja."

Beliau menggesa tokoh politik itu memberikan kerjasama kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim agar persefahaman dalam Pakatan Rakyat dapat dijaga.

"Saya nak beritahu kepada Yang Berhormat yang saya tidak hormati itu, sila patuhi, sila kerjasama dengan YAB (menteri besar). Jangan kita bermain-main politik dengan YAB," katanya.

Hampir 2,000 perwakilan menyertai perbahasan di Stadium Malawati pada sebelah petang selepas ucapan dasar presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sebelah pagi.

Lau antara lebih 10 perwakilan yang turut memanaskan dewan tersebut di hari pertama kongres PKR.

Beliau juga menggesa pemimpin PKR agar memberi perhatian kepada individu-indivisu yang terlibat menghidupkan Gerakan Reformasi sejak 10 tahun lalu sehingga tertubuhnya parti tersebut.

"Selepas 10 tahun, aktivis reformasi, tidak diambil peduli nasib mereka.

"Apa yang mereka korbankan nampaknya parti sudah lupakan. Jadi harapan saya parti memberi perhatian dan langkah sewajarnya," tambahnya.

Perwakilan-perwakilan Sabah dan Sarawak pula menggesa pemimpin parti itu memberi perhatian yang lebih kepada negeri-negeri tersebut terutama sekali dalam proses pengkaderan ahli-ahli parti itu di peringkat cawangan dan bahagian.

Apatah lagi Sarawak bakal menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka pertengahan tahun hadapan atau selewat-lewatnya 2010.

Perwakilan Sarawak, Wan Zainal Wan Yasin turut mengumumkan pihaknya mempunyai "kejutan" terutama di kawasan Miri dan Kuching. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan "kejutan" tersebut.

Perwakilan-perwakilan Perak, Kelantan dan Melaka pula menyarankan PKR memperkasakan 'Program Seharum' untuk persiapan untuk melatih ahli-ahli PKR di peringkat cawangan dan bahagian.

Program Seharum di peringkat akar umbi membolehkan dasar-dasar parti diteruskan, kata Taha Ahmad dari Melaka.

Perwakilan Perak, Anuar Zakaria meminta PKR memokuskan program penambahan keahlian dan mengemaskini rekod keahlian.

Manakala Felicia Lim, perwakilan Wanita PKR, berkata peranan wanita harus digemblengkan untuk menghadapai pilihanraya umum ke-13 dan menyarankan PKR merencana agenda memantapkan parti terutama di Sabah dan Sarawak.

No comments:

Posting Terkini