Pages

Saturday, November 29, 2008

Mereka yang pertikai konsep ketuanan Melayu, hati tak ikhlas

KUALA LUMPUR: Mereka yang masih mempertikai konsep ketuanan Melayu adalah disebabkan hati yang tidak ikhlas, malah melibatkan pertimbangan peribadi dan politik, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata segelintir pemimpin yang mengungkit perkara itu disifatkan sengaja mahu menjadi 'hero' atau menjadikan perkara itu sebagai isu untuk meletakkan kawan-kawan sendiri dalam partinya atau parti lain berada dalam situasi yang perlu menjawab kepada isu yang dibangkitkan itu.

Katanya dalam suasana landskap politik yang berubah pada masa kini, pemimpin berkenaan sebenarnya masih tercari-cari bagaimana meletakkan dan menempatkan diri serta perjuangan mereka dalam senario politik negara hari ini.

"Orang ramai sebenarnya sudah muak dengan isuisu yang dibangkitkan berkisar kepada agama, kaum dan politik semata-mata. Malaysia melalui pilihan raya umum lebih tujuh bulan dan orang ramai hendak tengok kerja-kerja dilaksanakan.

"Jika masih dibelenggu dengan isu-isu sebegini, bila nak buat kerja?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru sempena Majlis Grand Reunion Alumni Maktab Kirkby di Institut Tadbiran Awam Negara Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek dan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun yang menyatakan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan di Malaysia dan ditolak oleh rakyat pelbagai kaum khususnya generasi muda.

Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno turut meminta supaya pemimpin yang masih lagi terkapai-kapai mencari hala tuju perjuangan peribadi mereka tampil untuk berbincang secara baik daripada berterusan meluahkan sesuatu yang akhirnya akan menimbulkan kemarahan orang ramai.

Sementara itu dalam satu majlis berasingan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Shafie Apdal berkata beliau merasa kesal dengan komen dua pemimpin MCA itu kerana perkara berkenaan tidak sepatutnya ditimbulkan oleh mana-mana pihak.

"Ia sudah dinyatakan dalam perlembagaan, mengenai kedudukan raja-raja, kedudukan kaum Melayu dan sebagainya. Ini sudah jelas, semua orang tahu mengenainya dan ia bukan lagi isu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Lukisan di Annexe Gallery, Pasar Seni di sini hari ini.

Katanya beliau merasa kecewa apabila kenyataan itu datang dari rakannya yang sebelum ini pernah berada dalam kabinet, sedangkan menurutnya semua pemimpin seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memainkan peranan untuk bekerjasama membangunkan negara. BERNAMA

1 comment:

Awang Kata said...

Ketuanan Melayu tetap relevan di negara ini. Yang tidak relevan selama ini hingga kini sekolah aliran Cina dan Tamil, perkampungan baru Cina, tulisan Cina dan Tamil di papan tanda, rakyat Malaysia yang masih tidak mahu dan tidak tahu berbahasa Melayu. Hal ini yang perlu diselesaikan segera.

Posting Terkini