KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan supaya Panel Penilaian Bebas diwujudkan untuk memberi nasihat kepada kerajaan berhubung pembelian helikopter Eurocopter EC725.
Saranan itu terkandung di dalam laporan siasatan pembelian helikopter Eurocopter EC725 yang diedarkan kepada Anggota Parlimen pada 4 Dis lepas.
PAC dalam kenyataan yang diedarkan kepada media hari ini, berkata syor itu adalah bagi memastikan wujudnya 'nilai untuk wang' dalam pembelian helikopter berkenaan.
Menurut kenyataan itu, panel penilai bebas berkenaan hendaklah terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang berkaitan dan pelantikannya boleh diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
"PAC tidak dapat menentukan sama ada kos pembelian Eurocopter EC725 mahal atau sebaliknya jika dibandingkan dengan pembelian oleh negara-negara lain.
"PAC dimaklumkan bahawa keperluan ketenteraan adalah berbeza antara sesebuah negara dengan negara lain," menurut kenyataan itu lagi.
Kementerian Pertahanan sebelum ini berhasrat membeli helikopter Eurocopter itu bagi memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan negara serta untuk menggantikan helikopter NURI yang telah menjangkau usia perkhidmatan lebih 40 tahun.
Menurut kenyataan PAC, ia turut mengesyorkan supaya Kementerian Pertahanan dan agensi pusat berkenaan menjalankan rundingan harga dengan pembekal yang dipilih.
Bagi tujuan itu, kajian pasaran perlu dijalankan oleh kementerian untuk dijadikan sebagai asas dalam rundingan harga tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, PAC turut menyarankan supaya Kementerian Pertahanan atau TUDM memberi perhatian terhadap keperluan penerbangan ujian dan penilaian fizikal bagi perolehan pesawat pada masa depan.
TUDM juga, menurut PAC, perlu membuat pemantuan dan pemeriksaan yang rapi sepanjang proses penyiapan pesawat helikopter Eurocopter EC725 selain memastikan setiap bayaran dibuat selaras dengan kemajuan kerja yang telah dilaksanakan dan memastikan pemeriksaan sebelum serahan (PDI) serta Ujian dan Pentauliahan dilakukan sebalum pembayaran akhir dibuat.
Bagi memastikan dokumen kontrak perolehan helikopter itu mengandungi syarat-syarat yang boleh menjamin kepentingan kerajaan, PAC mengesyorkan supaya kementerian mendapatkan pandangan Peguam Negara sebelum ia ditandatangani.
Spesifikasi helikopter yang akan dibekalkan itu juga perlu dinyatakan dengan jelas dan terperinci di dalam kontrak tersebut.
PAC juga berpendapat bahawa pembelian pesawat Eurocopter itu perlu dibuat selewat-lewatnya 2011 memandangkan Nuri hanya boleh digunapakai sehingga 2015 sahaja.
"Ini bermakna keputusan pembelian perlu dibuat selewat-lewatnya 2011 kerana proses penyiapan pesawat adalah tiga tahun dan latihan penerbangan selama setahan," katanya.
Pada masa sama, PAC mengesyorkan supaya kerajaan menimbang semula keputusan penangguhan pembelian helikopter Eurocopter memandangkan helikopter Nuri sedia ada mempunyai beberapa kekangan. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment