Pages

Monday, November 11, 2013

'Saya Bertanding Kerana Hasrat Akar Umbi'

KOTA BARU: Calon bagi jawatan timbalan presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata persetujuannya untuk bertanding bagi jawatan itu adalah untuk memenuhi kehendak peringkat akar umbi parti itu dan bukan berhasrat menentang penyandangnya Mohamad Sabu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakannnya itu juga tidak boleh disifatkan sebagai pertembungan antara calon ulama dan profesional.
Beliau sebaliknya berpendapat siapa sahaja yang menang mempunyai tanggungjawab besar mengembalikan semula kepercayaan bangsa Melayu terhadap parti itu yang merosot pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.
"Kini terpulang kepada perwakilan...saya tawarkan (diri) untuk mereka membuat pilihan," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, Ahad.
Mohd Amar turut menafikan beliau tidak mempunyai kekuatan di peringkat pusat apatah lagi pernah tewas sebanyak dua kali bagi jawatan naib presiden yang ditandinginya sebelum ini.

Katanya yang paling penting jika beliau menang adalah untuk membantu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi mengembalikan semula kepercayaan bangsa Melayu yang banyak menolak PAS pada PRU-13.
"Undi Melayu Islam dah banyak lari dan PAS jika berterusan begini tidak akan mampu untuk menggantikan tempat Umno. Kita mahu tahu dan mengatasi kenapa bangsa Melayu menolak PAS.
"Malah kekuatan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak seperti kekuatan rakan yang lain (DAP dan PKR) dan kerana inilah antara faktor kenapa saya menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan ini," katanya.
Ditanya mengenai corak kempen yang akan dilakukannya sehingga Muktamar PAS pada 22 Nov ini, Mohd Amar berkata beliau tidak akan berkempen sama sekali sebaliknya yakin ia adalah kuasa perwakilan untuk membuat pilihan.
Mengenai pandangannya terhadap beberapa komen Pengerusi DAP Karpal Singh, Mohd Amar hanya berkata Karpal sebenarnya hanya merupakan "suara-suara ganjil" dalam pakatan pembangkang.
"Biarlah Karpal Singh untuk berkata apa sahaja. Dia bercakap bukan mewakili DAP pun dan itu adalah pandangan dia sahaja. Biarlah begitu sahaja," katanya.
Karpal dilihat banyak menimbulkan isu dalam gabungan pembangkang itu.
Terbaharu beliau mencadangkan pihak berwajib membatalkan pertubuhan yang berteraskan agama dan kaum di negara ini.
Mengenai konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik dalam Pakatan Pembangkang)yang menjadi polemik dalam parti itu, Mohd Amar berkata beliau bersetuju agar konsep itu diperbaiki demi kekuatan pembangkang.
"Konsep ini telah diputuskan di peringkat Muktamar dan bagi saya ia perlu untuk ditambah baik dan bukannya difahami sesetengah pihak agar PAS keluar dari pakatan ini," katanya. - BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

agen UG tu la pasal....

Posting Terkini