DATUK Seri Anwar Ibrahim berbual dengan dua ahli Parlimen PKR di bangunan Parlimen (dari kiri) N. Gobalakrishnan (Bagan Serai) dan S. Manikavasagam (Kapar) pada Oktober lalu.
PETALING JAYA: Permulaan tahun baru 2009 - hanya sembilan bulan selepas pilihan raya umum 8 Mac, bakal disambut dengan 'gegaran' dengan seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dipercayai sudah hampir pasti keluar parti itu.
Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang sejak beberapa hari lalu menyatakan hasrat keluar PKR jika itu yang sesetengah pihak mahukan, berkata, "kali ini saya serius untuk mengambil tindakan keras."
Beliau dijadual mengumumkan pendiriannya secara rasmi sebelum Rabu ini.
"Saya sudah membuat keputusan muktamad. Saya tidak bergurau, saya memang serius, saya memang serius kali ini.
"Keputusan ini memang satu tindakan yang keras... ia akan menjadi hadiah tahun baru kepada parti," kata Manikavasagam ketika ditemui mStar Online di sini.
Manikavasagam, 43, juga merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan salah seorang daripada tiga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor.
Anggota Dewan Rakyat penggal pertama itu memenangi kerusi Parlimen Kapar pada 8 Mac lalu menewaskan penyandangnya, yang juga Ketua Wanita MIC, Komala Devi Perumal dengan majoriti 12,297 undi.
DIPUJUK ANWAR
Manikavasagam, yang kelihatan antara pemimpin lantang bersuara dalam PKR, mengakui beliau pernah menyatakan hasrat untuk keluar parti dan meletakkan jawatan sebelum ini tetapi telah dipujuk oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali.
"Tetapi kali ini, saya sudah buat keputusan dan tidak bercakap dengan mereka (Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR yang lain).
"Saya tidak mahu bercakap dengan mereka, saya sudah membuat keputusan muktamad saya," kata beliau dalam nada sambil memperlihatkan kekecewaan dengan perkembangan semasa dalam parti tersebut.
KECEWA
Dua hari lalu, Manikavasagam melahirkan hasrat untuk keluar PKR dan mahu menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwanya cuai menjaga kepentingan rakyat.
Menurutu Manikavasagam, pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor juga didakwa tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka, selain segelintir berlagak sombong serta enggan berbincang mencari penyelesaian terhadap isu yang diketengahkan.
Manikavasagam menambah, beliau sudah kecewa dengan perkembangan sejak sembilan yang lalu.
"Saya sudah kecewa. Pengundi-pengundi saya tahu saya bekerja untuk mereka, saya tidak mahu ditipu lagi selepas mengalami nasib yang sama selama 50 tahun yang lalu," katanya.
Selain tidak mendapat sokongan daripada pemimpin PKR sendiri, jelas Manikavasagam, wakil rakyat PKR juga dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rayat khususnya DAP.
TIADA SOKONGAN PEMIMPIN PKR
Kata Manikavasagam lagi, apabila dikritik oleh pemimpin parti komponen, tiada pemimpin PKR yang tampil mempertahankan beliau dan wakil-wakil rakyat yang lain.
Dalam penjelasan itu, Manikavasagam secara langsung merujuk kepada kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Teng Chang Khim, yang didakwa menuduhnya berlagak seperti pembangkang dan pembohong kerana terbabit dalam bantahan pemindahan stesen bas dan kereta sewa dari pusat bandar Klang ke lokasi baru, di Klang Sentral, Kapar.
Dua bulan lalu Manikavasagam juga pernah mengugut akan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri jika kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu kuil yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Sebelum ini, Manikavasagam mencetuskan kontroversi apabila mengkritik secara terbuka dan menuduh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid sebagai tidak prihatin kerana tidak turun padang melawat mangsa ribut Oktober lalu.
Khalid merupakan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor.
AMARAN TIMBALAN PRESIDEN
Dalam pertemuan dengan mStar Online, beliau juga memaklumkan bahawa menerima SMS daripada Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali yang antara lain menyatakan Manikavasagam sering memburukkan parti melalui media.
Syed Husin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR menasihatkan Manikavasagam agar menghentikan perbuatan itu.
Manikavasagam berkata, beliau menjawab SMS itu dengan menjelaskan bahawa pemimpin PKR termasuk Timbalan Presiden seharusnya meneliti tohmahan yang dilemparkan ke atasnya oleh Teng dari pelbagai sudut dan kesukaran yang dialami selama ini.
Katanya, pemimpin PKR tidak menghulurkan bantuan dan sokongan apabila diharapkan dan tidak melihat isu itu dari satu sudut semata-mata.-- mSTAR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment