Pages

Monday, November 3, 2008

Vincent Lim Letak Jawatan Sebagai Setiausaha Politik PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov -- Selepas berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri sejak lima tahun lepas, Datuk Dr Vincent Lim Kian Tick telah meletak jawatan itu berkuatkuasa semalam.

Lim, yang diberikan tanggungjawab untuk membantu Perdana Menteri menjaga hal ehwal kaum Cina di negara ini, berkata beliau memutuskan untuk meletak jawatan itu kerana beliau tidak mahu memegang jawatan tersebut terlalu lama setelah MCA dan Gerakan selesai mengadakan pemilihannya.

"Saya anggap tugas saya telah dilakukan. Malahan saya tidak bercadang untuk tinggal lebih sepenggal," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Lim berkata beliau memutuskan untuk meletak jawatan lebih awal daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa pada Mac tahun depan kerana beliau mahu bercuti dua bulan sebelum kembali semula bertugas di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia pada Januari.

Beliau akan dilantik sebagai penganalisis kanan Pusat Kajian China yang akan ditubuhkan.

Sebelum dilantik sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri pada 29 April, 2004, Lim bertugas sebagai penyelidik di ISIS sebelum dilantik sebagai Fellownya pada 2002.

Dikenali sebagai seorang yang berprofil rendah, beliau yang dilantik semula sebagai setiausaha politik pada 23 April tahun ini, berkata beliau sentiasa menganggap sebagai satu penghormatan dapat berkhidmat dengan Perdana Menteri.

-- BERNAMA

1 comment:

Pak Brahim said...

Pak Lah boleh relax,
Najib dah menang tanpa bertanding,
Orang-orang pak lah satu demi satu tinggalkan dia.

Pak Lah kena bersedia hadapi kenyataan,
serangan dari dalam dan luar bakal tiba,
Koridor demi koridor bakal dirobohkan
seperti robohnya jambatan bengkok.

Pak Lah bakal diaibkan oleh pengantinya,
Sepertimana dialami Almarhum Tungku,
Seperti dialami TUn DM,
Dan kini giliran Pak Lah.

ITULAH WARISAN UMNO.

Posting Terkini