Pages

Sunday, November 2, 2008

Eurocopter: AMK Akan Pantau Siasatan BPR

KUALA LUMPUR,-ANGKATAN Muda KeADILan (AMK) akan memantau dengan terperinci setiap siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkaitan isu pembelian Eurocopter.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan AMK mahu memastikan BPR tidak cuba menutup mata rakyat berhubung perkara atau butir-butir siasatan isu ini.

“Buat masa ini kami mengambil sikap tunggu dan lihat. Kami akan membuat pemantauan rapi bagi melihat ketelusan BPR mengendali isu ini,” katanya.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Shamsul berkata beliau berpegang pada jaminan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang berjanji akan melakukan pembaharuan terhadap BPR sebelum meletak jawatan Mac ini.

“Saya ada sedikit keyakinan bahawa BPR akan menjalankan tugas dengan baik. Saya percaya ini ada kaitan dengan janji Abdullah yang akan membawa perubahan pada BPR,” katanya.

Pada 2 November lalu media arus perdana melaporkan kenyataan Ketua Pengarah BPR, Ahmad Said Hamdan bahawa beliau sudah membuka kertas siasatan berhubung isu cadangan pembelian 12 helikopter Eurocopter C-725 bernilai RM1.607 bilion.

Ahmad Said dipetik berkata Pegawai BPR sudah pergi ke Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan maklumat untuk mengetahui sama ada pembeliannya dilakukan mengikut prosedur atau ada kepincangan.

Shamsul juga menuntut supaya Timbalan Perdana Menteri, Najib Abdul Razak dipanggil memberi keterangan kepada BPR berdasarkan kaitan beliau di dalam skandal ini.

“Ketika pembeliannya diluluskan, Najib adalah Menteri Pertahanan. Oleh itu, beliau wajar dipanggil memberi keterangan,” katanya.

Selasa lalu, Abdullah yang juga Menteri Pertahanan mengumumkan kerajaan menangguhkan pembelian 12 helikopter itu sehingga keadaan ekonomi dunia stabil.

24 Oktober lalu, tiga sayap pemuda Pakatan Rakyat (PR) membuat laporan kepada BPR mengenai pembabitan Najib dalam pembelian itu.

Laporan itu dibuat berdasarkan pendedahan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim di Parlimen sewaktu perbahasan bajet 2009 di Parlimen 13 Oktober lalu berdasarkan sepucuk surat yang dihantar oleh sebuah syarikat pembida lain.

Syarikat pembida helikopter berkenaan, Mentari Services, dalam surat berkenaan memberitahu bahawa kerajaan bersetuju membeli 10 unit Eurocopter yang lebih mahal daripada pembida lain yang menawarkan helikopter yang berkeupayaan yang sama pada nilai yang lebih murah dan menjimatkan.

Sebelum itu, pada 20 Oktober lalu satu laporan polis dibuat ke atas Najib berhubung penyelewengan dan salah guna kuasa mengenai skandal pembelian Eurocopter sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri Pertahanan.

Pada 26 September lalu, Abdullah mengumumkan kerajaan akan menggantikan helikopter Nuri kepada Eurocopter Cougar EC725 buatan Perancis. Bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1.93 bilion untuk membeli 12 unit helikopter baru.

Harga tender yang ditawarkan Eurocopter bagi 10 helikopter itu ialah RM2.317 bilion, tawaran harga yang paling tinggi. Mentari Services, melalui syarikat induk Kelowna Flightcraft menawarkan helikopter buatan Rusia Mi-172 KF pada harga RM898 juta, manakala syarikat pembuat Nuri, Sikorsky dari Amerika Syarikat, menawarkan helikopter alaf baru S-92 pada harga RM1.452 bilion.

AMK juga meminta BPR mempercepatkan proses pendakwaan ke atas Peguam Negara, Abd Gani Patail setelah Ketua Pengarah BPR menyatakan bahawa siasatan kes insiden “mata lebam” Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu dalam tahanan 10 tahun lalu sudah selesai.

Perdana Menteri pula perlu lebih serius dengan komitmen beliau untuk membersihkan sistem keadilan di Malaysia untuk memudahkan BPR meneruskan pendakwaan ke atas mereka yang terbabit.mereka.

SK

No comments:

Posting Terkini