Pages

Saturday, October 11, 2008

PGA tahan lelaki cuba seludup lembu RM318,000

PASIR MAS 11 Okt. — Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan cubaan menyeludup 106 ekor lembu yang dianggarkan bernilai RM318,000 dan turut menahan seorang lelaki dalam satu serbuan di Kampung Repek, di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Supt Kamarudin Yusoff berkata serbuan berkenaan dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang oleh sepasukan anggota PGA hasil maklumat awam.

“Serbuan pertama dilakukan di kandang sementara berhampiran semak dan merampas 70 ekor lembu manakala 36 ekor lagi dirampas di kandang tetap tidak jauh dari situ,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata kandang sementara diletakkan agak tersembunyi bagi memudahkan kegiatan memindahkan lembu-lembu yang dipercayai diseludup dari negara jiran melalui pangkalan haram di sepanjang tebing Sungai Golok.

“Seorang lelaki berumur 45 tahun yang dipercayai pemilik lembu berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut dan difahamkan kandang yang digunakan untuk menyimpan lembu seludup itu telah beroperasi sejak sebelum raya lagi,” katanya.

Menurut Kamarudin harga berkenaan di pasaran dianggarkan bernilai RM3,000 seekor malahan ada yang melebihi nilai itu.

“Kesemua lembu yang dirampas serta lelaki berkenaan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.

— BERNAMA

No comments:

Posting Terkini