Pages

Friday, October 10, 2008

Nur Jazlan belum buat keputusan tarik diri

JOHOR BHARU:Ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengejutkan negara dengan hasratnya untuk bertanding Timbalan Presiden parti berkata, beliau belum membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan kedua tertinggi Umno itu.

Katanya, tujuan utama beliau menawarkan diri juga bukan untuk keseronokan peribadi, tetapi mahu proses meremajakan semula Umno dilakukan segera bagi memastikan sokongan orang Melayu terutamanya daripada generasi muda.

"Saya tahu ramai yang ketawa serta memperlekehkan tindakan menawarkan diri untuk jawatan berkenaan tetapi percayalah, Umno perlu diubah dengan segera sebelum pilihan raya umum akan datang dan untuk melakukannya hanyalah melalui dua jawatan tertinggi dalam parti.

"Sekiranya, calon Presiden dan Timbalan yang ada, dapat menyenaraikan usaha yang akan dilakukan untuk meremajakan semula Umno serta memastikan jumlah golongan muda dalam hierarki tertinggi parti serta kerajaan dipenuhi, saya akan berpuas hati, " katanya di sini, hari ini.

Nur Jazlan, 42 yang juga Anggota Parlimen Pulai, berkata sebarang proses untuk mengubah sistem Umno terletak pada Presiden serta Timbalannya dan atas faktor berkenaan, beliau menawarkan diri untuk jawatan nombor dua parti.

Nur Jazlan mengumumkan keputusan menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden Umno pada Ahad lepas, sekaligus menjadi calon pertama di luar Majlis Tertinggi (MT) yang mahu bertanding jawatan nombor dua parti pada pemilihan Mac depan.

Selain beliau, pemimpin Umno yang turut mengumumkan hasrat bertanding jawatan tersebut adalah Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid semalam mengumumkan untuk menarik diri daripada persaingan jawatan berkenaan, sebaliknya menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden.

Nur Jazlan berkata, mereka yang memperlekehkan tindakannya perlu merenung idea serta pandangan di sebalik penawarannya, yang mahu mengembalikan sokongan generasi muda terhadap Umno serta memastikan survival parti tersebut.

Mengulas tindakan Ahmad Zahid menarik diri daripada persaingan Timbalan Presiden, Nur Jazlan berkata, ia adalah keputusan beliau tetapi percaya bahawa anggota MT itu turut bersetuju dengan pandangannya supaya Umno diremajakan dengan segera.

"Saya menjadi Exco Pemuda Umno selama lapan tahun, tetapi semua keputusan dan pendirian pergerakan berkenaan dipandang sepi pucuk pimpinan tertinggi parti, sebab itu, saya merasakan bahawa hanya melalui dua jawatan tertinggi parti, perubahan akan dapat dilakukan dalam Umno," katanya.

Beliau berkata, penawaran itu juga bukan bertujuan untuk memalukan sesiapa terutama sekali pucuk pimpinan Umno, tetapi cuma mahu membawa hasrat generasi muda yang mahukan perubahan segera dilakukan dalam Umno.

"Itu adalah niat ikhlas saya, saya sendiri tidak akan berkempen untuk mendapatkan pencalonan daripada Umno bahagian yang sudah memulakan mesyuarat semalam.

"Sebaliknya, saya memberikan peluang untuk mereka memikirkan sedalamdalamnya, hasrat dan idea saya untuk menawarkan diri untuk jawatan berkenaan," kata Nur Jazlan, yang merupakan anak kepada bekas Setiausaha Agong Umno Tan Sri Mohamed Rahmat. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini