Pages

Monday, October 27, 2008

Noor Fadilah Akan Dibawa Pulang Selasa

NUSA TENGGARA BARAT (Mataram, INDONESIA), 27 Okt (Bernama) -- Noor Fadilah Ahmad, 18, yang dilarikan ke sini oleh pemuda berasal dari Lombok Timur sejak dua bulan lepas akan dibawa pulang ke tanah air Selasa.

Jabatan Imigresen Daerah Mataram mengesahkan Noor Fadilah, yang berkahwin dengan Nasrudin Dahrom, 24, dibenar pulang ke Malaysia tanpa dikenakan hukuman penjara kerana memasuki Lombok secara haram sejak 6 Sept lalu.

Keputusan itu dicapai hasil rundingan hampir dua jam antara Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno dan Jabatan Imigresen Daerah Mataram dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di pejabat Imigresen Daerah Mataram di sini tengah hari.

Rundingan itu diadakan antara Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim selaku Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno dan Ketua Seksyen Pengawasan dan Tindakan Imigresen Daerah Mataram, M. Adnan.

Turut serta dalam rundingan itu ialah Kaunselor (Konsular, Imigresen dan Sumber Manusia) Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Mohd Zahari Hassan dan Setiausaha Sekretariat, Datuk Muhd Khairun Aseh yang juga seorang peguam.

"Perkara itu berjaya diselesaikan dalam semangat setiakawan Malaysia dan Indonesia," kata Abdul Azeez, yang mengetuai misi membawa pulang Noor Fadilah selepas kes itu mendapat perhatian umum sejak 24 Sept lepas.

Mengikut undang-undang Jabatan Imigresen Indonesia, individu yang masuk secara tidak sah ke negara itu boleh dikenakan hukuman penjara enam tahun atau denda tiga juta rupiah.

"Saya optimis Noor Fadilah akan dipertemukan dengan ibu bapanya di sini esok," kata Abdul Azeez yang mengetuai misi membawa pulang gadis itu dan disertai ibu bapa gadis itu, Ahmad Abdul Hamid, 46, dan Masitah Abdullah, 42.

Noor Fadilah, yang berasal dari Ladang Sungai Gedung, Bagan Serai, Perak dibawa lari Nasrudin ke Lombok pada September lepas tanpa keizinan ibu bapa gadis itu yang tidak merestui hubungan cinta pasangan itu.

Ahmad ketika ditemui pemberita berkata: "Tak sabar nak jumpa selepas hampir dua bulan berpisah. Saya amat berterima kasih kepada Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno yang amat prihatin. Saya terhutang budi kepada Umno".

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini