TEMERLOH, 27 Okt-- Seramai 200 pelajar tajaan MARA akan dihantar ke Romania bagi mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, petroliam, dan gas, tahun depan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar berkata penghantaran pelajar itu adalah susulan kepada hasil memorandum persefahaman (MoU) antara MARA dan dua universiti berprestij di Romania; Universiti Carol Davila dan Universiti Ploiesti, yang ditandatangani baru-baru ini.
"MoU ditandatangani semasa lawatan empat hari saya ke Romania pada 21 Okt lepas," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Temerloh, di sini, hari Isnin.
"Sebagai permulaan 200 pelajar tajaan MARA akan dihantar ke negara itu tahun depan bagi mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Carol Davila, manakala bidang gas dan petroliam di Universiti Ploiesti," tambahnya.
Turut hadir pada majlis rumah terbuka itu ialah anggota parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Noh berkata beliau berharap lebih banyak kerjasama dapat dimeterai dengan negara Romania di masa hadapan.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment