KULIM: Ketua Pemuda MIC Kedah R.Nantha Kumar dipecat dari parti ekoran tindakan beliau mendesak Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu supaya meletakkan jawatannya pada Jun lepas.
Nantha Kumar berkata beliau menerima surat pemecatannya yang bertarikh 29 September, ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib MIC Tan Sri G.Vadiveloo, pada 16 Oktober lepas.
Surat dua para berbahasa Inggeris itu menyebut bahawa oleh kerana Natha Kumar mengaku pada persidangan majlis tatatertib yang diadakan pada 24 September lepas bahawa beliau menggesa Presiden parti meletak jawatan, maka Jawatankuasa itu memutuskan untuk memecat Nantha Kumar berkuasa serta merta.
Katanya beliau faham dengan kandungan surat itu dan mematuhi segala arahan, kerana beliau masih sayang serta kasihkan MIC, dan menurutnya beliau tetap merasakan seperti anggota parti walaupun sudah dipecat.
Beliau yang dihubungi di rumahnya di Taman Desa Sentosa, Lunas, di sini berkata ketika ini beliau aktif menjalankan kegiatan sosial dan kebajikan untuk masyarakat melalui sebuah badan bukan Kerajaan, Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia (MIYDF).
Pada 27 Jun lepas Nantha Kumar bersama beberapa pegawai kanan pergerakan itu peringkat negeri Kedah meletak jawatan masing-masing sebagai membantah tindakan parti itu mengarahkan Ketua Pemuda pusat MIC S.A Vigneswaran supaya berundur selepas mencapai umur 41 tahun, dan pada persidangan media yang sama, Nantha turut meminta supaya Samy Vellu meletak jawatan. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment