KUALA LUMPUR, 20 Okt-- Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya konsep bina dan jual sebagai yang dilaksanakan sekarang terhadap projek perumahan membebankan rakyat dan pihak pemaju.
"Persepsi bahawa konsep bina dan jual adalah mahal tidak benar. Terpulang kepada pembeli kerana kita telah pun tetapkan satu had di mana rumah boleh dijual dengan tahap yang diluluskan oleh kerajaan.
"Sama ada ia dibuat sama ada bina dan jual atau jual dahulu baru bina, harganya adalah sama dengan harga yang ditetapkan oleh kementerian," kata Timbalan Menteri Datuk Hamzah Zainuddin ketika menjawab soalan tambahan Chua Tee Yong (BN- Labis) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.
Menurut Hamzah, kerajaan menyediakan beberapa insentif untuk menggalakkan penyertaan pemaju dalam konsep berkenaan antaranya mengecualikan syarat pembayaran deposit sebanyak RM200,000 bagi lesen pemaju perumahan.
"Selain itu, kerajaan memberi pelepasan daripada kuota membina rumah kos rendah sepenuhnya dan keutamaan `fast lane' bagi semua urusan yang melibatkan pemajuan seperti tukar syarat tanah, pecah sempadan, kelulusan pelan atur, pelan bangunan dan kelulusan dari jabatan teknikal," katanya.
Bagaimanapun, katanya kerajaan belum mewajibkan semua pemaju perumahan menggunakan konsep itu kerana industri perumahan sekarang masih dalam peringkat peralihan dan kajian mengenai keberkesanannya masih dijalankan.
Konsep Bina Kemudian Jual diperkenalkan oleh Kementerian pada 12 April tahun lepas.
Menjawab soalan Datuk Zahrain Mohd Hashim (PKR-Bayan Baru) mengenai projek perumahan yang terbengkalai, Hamzah berkata melalui penggubalan Dasar Perumahan Negara, masalah projek perumahan terbengkalai akan dapat diatasi.
"Kerajaan sedang menggubal satu Dasar Perumahan Negara untuk melihat semua projek-projek yang dijalankan dapat dijalankan terutama industri perumahan dapat dijalankan dengan baik.
"Dalam keadaan industri perumahan yang begitu ketara masalahnya akibat peningkatan harga barang-barang, sudah tentulah dasar yang ingin kita gubal itu merupakan satu dasar yang mengambil kira dari semua segi termasuklah masalah rumah terbengkalai. Kerajaan sedang meneliti dan cuba untuk membantu pembeli dalam semua segi dan cuba melihat masalah ini supaya ia dapat diselamatkan," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment