SEMPORNA, 20 Okt-- Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata setiap calon yang bertanding jawatan pada pemilihan Umno Mac depan agar tidak menyerang peribadi ketika berkempen.
Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata cara sedemikian bukan sahaja dilihat sebagai tidak sihat tetapi juga boleh memberi kesan tidak baik dalam proses pemilihan kepimpinan parti.
"Seboleh-bolehnya (kita jangan sentuh peribadi), kita ada etika-etika yang perlu diberi perhatian. Kita kempenlah secara terbuka, merayu secara baik dan saya berharap ia tidak melibatkan (hal peribadi).
"Tetapi setakat ini saya lihat tidak ada lagi unsur-unsur tersebut. Tetapi maklumlah lumrahnya kadang-kadang manusia ini apabila dalam kesempitan ia akan mengambil langkah-langkah tertentu sehingga mengheret parti ke mahkamah, saman sana sini dan kadang-kadang bergaduh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Semporna bernilai RM5.4 juta yang dibiayai Kerajaan Persekutuan di sini, Isnin.
Shafie berkata demikian sebagai mengulas perjalanan proses pemilihan Umno peringkat bahagian seluruh negara serta kedudukan pencalonan untuk pelbagai jawatan dalam kepimpinan parti itu.
"Ini cuma proses pemilihan. Jangan anggap ini sebagai jalan terakhir dalam karier politik. Tujuan dan niat kita menawarkan diri ialah untuk memperkukuh parti dan memberi sumbangan kepada perjuangan parti. Jangan pula ia akhirnya melemahkan dan memecahkan parti yang kita sayangi," katanya.
Mengenai pencalonannya yang sudah melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan naib presiden Umno, Shafie berkata setelah lima penggal memegang jawatan MT, kini sudah tiba masanya beliau bertanding jawatan naib presiden.
"Di samping itu kita melihat peranan Umno Sabah yang sudah bertapak di Sabah lebih daripada 15 tahun dan kita melihat keperluan jambatan penyatuan orang Melayu (di negara ini)," katanya.
Mengenai beberapa kes persidangan perwakilan bahagian Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno yang terpaksa ditunda ekoran beberapa masalah, Shafie menasihatkan semua pihak supaya mengutamakan disiplin dan mematuhi peraturan mesyuarat parti.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment