Pages

Monday, October 20, 2008

564 Projek Di Bawah Program Sciencefund, Technofund And Innofund Diluluskan Sehingga Oktober Ini

KUALA LUMPUR, 20 Okt-- Sebanyak 564 projek di bawah program ScienceFund, TechnoFund and InnoFund telah diluluskan sehingga Oktober tahun ini yang melibatkan peruntukan RM358.03 juta, dalam usaha menggalakkan pertumbuhan baru dalam bidang penyelidikan dan pembangunan bioteknologi.

Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili berkata peruntukan berjumlah RM270 juta juga disediakan bagi melaksanakan Initiatif Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di bawah Institut Agro-Bioteknologi, Institut Genom Malaysia dan Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal untuk melaksanakan penyelidikan yang berasaskan kepada teknologi pelantar (platform technologi).

Bagi menyokong dan menggalakkan pembangunan industri bioteknologi, beliau berkata Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) telah ditubuhkan sebagai pusat sehenti industri bioteknologi dan memperkenalkan status BioNexus serta konsep BioNexus.

Ongkili berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai peruntukan dan sokongan yang diberikan kepada pertumbuhan bioteknologi termasuk pembangunan dan penyelidikan sejak 2000, yang termasuklah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK9) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan RM1.03 bilion bagi sektor bioteknologi di bawah RMK9.

Menurutnya, peratusan pengkomersilan projek R&D bagi peruntukan yang dibiayai oleh geran Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi pada masa ini ialah dalam lingkungan 3.4 peratus.

"Sebagai bandingan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Korea, lima hingga 10 peratus sahaja yang dapat dikomersilkan," katanya.

Usaha seperti memperkenalkan Model Inovasi Negara bagi menggalakkan pengkomersilan R&D ke tahap 10 peratus seperti mana yang diunjurkan dalam RMK9 giat dilaksanakan.

Ongkili menjelaskan bahawa kadar pengkomersilan ini tidak jauh berbeza dengan kadar pengkomersilan antarabangsa.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini