Pages

Friday, October 17, 2008

Mahathir tidak mahu pasukan Najib disertai penyokong Abdullah

PETALING JAYA: Sambil menyifatkan keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatannya sebagai kritikal, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang dilihat berpeluang cerah untuk menjadi penggantinya, tidak boleh disertai penyokong Presiden Umno semasa.

"Jika kerajaan (pimpinan) Najib (kelak) berkehendakkan kelainan daripada Abdullah, maka penyokong Abdullah tidak boleh turut serta," kata bekas Presiden Umno itu dalam tulisan terbaru blognya hari ini.

Dua minggu lalu Abdullah yang juga Perdana Menteri mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan Umno Mac depan.

Tambah beliau, sekarang ialah masa untuk Presiden dan Perdana Menteri baru dengan hanya terdapat dua calon.

Seorang calon yang mungkin dimaksudkan ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Umno tetapi belum memperoleh sebarang pencalonan selepas 30 bahagian bersidang sehingga kelmarin.

"Tetapi hingga kini hanya Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima pencalonan untuk jawatan tersebut.

"Jelaslah yang beliau merupakan calon unggul. Dan, seperti yang dijangka usaha untuk memburukkan imej beliau sudahpun bermula.

"Bagaimana dia (Najib) mengurus tohmahan ini akan memperlihatkan mutu kepimpinannya," katanya.

Abdullah menggantikan Dr. Mahathir pada Oktober 2003 dan menang tanpa bertanding jawatan Presiden Umno pada 2004.

Dr. Mahathir telah terus-menerus mengecam kepimpinan Abdullah sejak tiga tahun lalu sama ada secara terbuka ataupun melalui blognya.

Tulisan Dr. Mahathir kali ini menambah, setakat ini masih tidak jelas sama ada bahagian-bahagian Umno akan menyokong mereka yang membangkang Abdullah ataupun penyokongnya.

"Pendahuluan (pencalonan) yang diterima Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan yang pengkritik Abdullah amat disenangi.

"Tan Sri Rafidah Aziz, yang dikatakan begitu kuat mengkritik Abdullah nampaknya mendapat sokongan Wanita. Ini boleh mengakhiri impian Azalina Othman, antara penyokong terkuat Abdullah dan Khairy Jamaluddin, jika Rafidah mengotakan janjinya untuk melantik (Datuk Seri)Shahrizat Jalil sebagai Ketua Wanita apabila dia (Rafidah) sendiri meletak jawatan tersebut," katanya.

Azalina merupakan bekas Ketua Puteri manakala Khairy pula Naib Ketua Pemuda yang merebut kerusi Ketua Pemuda dengan menghadapi saingan Datuk Mukhriz Mahathir dan dua pemimpin lain untuk mendapatkan pencalonan.

Kata Dr. Mahathir lagi, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, salah seorang yang bersuara lantang mendesak Abdullah meletak jawatan mempunyai harapan cerah memenangi pencalonan bagi jawatan Naib Presiden.

Bagaimanapun katanya, bahagian-bahagian nampak seolah-olah terlupa peranan yang dimainkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, yang mana sebagai menteri beliau tidak pernah gentar menyuarakan pendapatnya berkenaan salah laku Abdullah. Dr. Mahathir menambah, bagaimana penting sekalipun pencalonan bahagian bagi melayakkan seseorang calon bertanding untuk mendapat tempat dalam Majlis Tertinggi Umno, kata putus bukan di tangan mereka.

"Ini terletak di tangan perwakilan ke Mesyuarat (Perhimpunan) Agung," katanya.

"Pada 1987 apabila Tengku Razaleigh bertanding kerusi Presiden menentang saya, saya mendapat lebih tiga perempat pencalonan daripada bahagian-bahagian.

"Tetapi saya menang dengan kelebihan hanya 43 undi daripada 2,500 perwakilan bahagian yang hadir. Jelas bahawa perwakilan ke Perhimpunan Agung tidak mengundi mengikut keputusan bahagian," jelas beliau lagi.

Ini harus mengingatkan yang bertanding jawatan supaya tidak terlalu yakin yang mereka akan menang hanya kerana mendapat jumlah pencalonan yang tertinggi dari bahagian-bahagian, kata Dr. Mahathir.

"Banyak perkara yang mungkin berlaku pada masa Perhimpunan Agung diadakan di Kuala Lumpur.

"Saya tidak terkejut jika banyak wang akan bertukar tangan, dan banyak juga keputusan yang beralih," katanya.

mstar

No comments:

Posting Terkini