KUALA LUMPUR, 17 Okt-- Bekas diplomat Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia berkata dasar luar Amerika tidak akan ditukar sepenuhnya selepas pilihan raya presiden pada 4 Nov, namun bentuk pentadbiran Washington dijangkakan berubah.
"Ada dasar luar AS yang sudah lama tertangguh, namun cara kita menyelesaikan isu-isu dasar luar itu mungkin berubah," kata John Wolf yang berkhidmat sebagai Duta Besar ke Malaysia dari 1992 hingga 1995.
Wolf, yang kini berkhidmat sebagai Presiden Eisenhower Fellowships, berkata: "Mungkin lebih banyak perubahan di bawah kepimpinan (calon presiden Demokrat) Barack Obama berbanding John McCain (calon presiden Republikan).
"Namun, dalam beberapa isu, ia akan melibatkan perubahan besar dalam cara isu itu ditangani," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini hari ini.
Wolf yang pernah berkhidmat sebagai penolong setiausaha negara AS bagi pengawalan senjata dan duta besar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), berkata: "Berdasarkan apa yang saya baca, saya sedih terhadap respons pentadbiran Bush mengenai isu layaran ke atas tahanan."
"Tanpa mengira isu itu, saya rasa akan berlaku perubahan besar."
Bagi pengawalan senjata, katanya senjata nuklear mesti dikurangkan dan menghentikan penyebaran bahan nuklear yang boleh digunakan untuk tujuan membuat senjata.
Mengenai hubungan AS dengan Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Wolf berkata: "Akan ada kesinambungan (memandangkan) kita mempunyai hubungan yang sangat baik dengan negara-negara di rantau ini."
"Kami berkongsi kebimbangan yang sama mengenai keganasan ekstrem selain berkongsi hubungan ekonomi yang memberi manfaat bersama (dan) kita yakin terhadap kebebasan navigasi di kawasan perairan rantau ini.
"Kita sudah bekerja bersama-sama selama bertahun-tahun dan saya yakin ia akan diteruskan dan siapapun (Barack atau McCain) yang menang, akan bekerja rapat dengan masyarakat antarabangsa dalam menangani isu alam sekitar dan pemanasan global," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment