KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden Umno adalah satu pengorbanan yang besar dan harus dihormati.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata keputusan yang dibuat Abdullah itu mempamerkan bahawa beliau lebih mementingkan parti daripada diri sendiri.
"Kita dimaklumkan bahawa beliau (Abdullah) tidak berhasrat mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti Mac akan datang dan semua pemimpin komponen BN nampaknya memiliki perasaan berbelah bagi, tetapi menghormati perasaan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
"Ini (tugas Presiden) akan terus diambil oleh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai orang yang ditunjuk olehnya, dan selepas diambil kira banyak perkara yang berlaku, saya percaya ia dibuat atas kepentingan parti dan Barisan Nasional," katanya kepada pemberita di Menara Datuk Onn di sini, Rabu.
Beliau menyifatkan keputusan Abdullah merupakan pengorbanan yang cukup besar kerana tindakan melepaskan kepimpinan bukan sesuatu yang mudah.
"Saya kira beliau mengambil kira semua sudut iaitu mengambil kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi," kata Muhyiddin mengenai keputusan Abdullah itu.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata beliau akan mengumumkan Jumaat ini sama ada untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti nanti.
Beliau berkata langkah itu adalah susulan daripada keputusan Abdullah hari ini untuk tidak mempertahankan jawatan presiden parti, dan wujudnya kekosongan jawatan Timbalan Presiden parti dengan Najib dijangka bertanding merebut jawatan Presiden parti pada pemilihan Umno nanti.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata akan mengumumkan pendiriannya bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas Abdullah dan Najib menyatakan pendirian masing-masing.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment