SINGAPURA, 25 Okt-- Ekoran krisis kewangan global semasa yang mencetuskan ketidaktentuan dan rasa bimbang dalam industri pelancongan Asean, Malaysia mungkin menghadapi saingan sengit daripada jiran Aseannya yang bukan sahaja mahu meningkatkan bahagiannya dalam industri itu, malah untuk kelangsungan hidup jangka panjang.
Jangkaan yang akan berlaku itu ketara pada pameran pelancongan tiga hari yang baru selesai - ITB Asia -- edisi pameran pelancongan terbesar dunia edisi Asia - anjuran Messe Berlin, dengan peserta industri pelancongan Asean mengetengahkan negara masing-masing sebagai destinasi yang ideal.
Dalam pada Malaysia cuba menekankan kepada ciri-ciri yang menjadikannya destinasi menarik seperti pelancongan perubatan, kembara dan alam semula jadi, matahari dan pantai, mesyuarat serta konvension, negara Asean lain terutama Thailand, Singapura, Vietnam, Indonesia dan negara yang tidak menonjol, Brunei, secara agresif menarik pelancong pada pameran itu.
"Tourism Malaysia perlu terus berada selangkah ke hadapan daripada pesaingnya jika ia mahu memperkukuhkan kedudukannya pada masa depan. Krisis kewangan semasa akan menjejaskan semua. Jika ia berlarutan menjadi kemelesetan global, seperti yang dibimbangi ramai, pasti akan berlaku penurunan ketara dalam ketibaan jumlah pelancong terutama yang tidak bekerja yang tidak mempunyai wang untuk melakukan pelancongan santai.
"Walaupun saya tidak mahu meramalkan senario buruk pada masa depan, saya yakin krisis ini akan menjurus kepada peningkatan jumlah penggangguran dan ramai yang akan hilang pekerjaan.
Ini akan menyebabkan pengguna mengurangkan perbelanjaan untuk aktiviti pelancongan dan perjalanan," kata Ramesh Chandran, pakar pengurusan global yang berkhidmat untuk sebuah bank di Singapura, kepada Bernama pada pameran ITB Asia.
Operator Asean menyedari bahawa pelancong tidak lagi mampu membayar tambang yang tinggi yang dikenakan oleh syarikat-syarikat penerbangan, yang menggunakan kenaikan harga minyak untuk mewajarkan kenaikan tambang, katanya.
Syarikat penerbangan bagaimanapun katanya tidak menurunkan kadar tambang walaupun harga minyak sudah turun ke paras AS$60 setong.
Prospek untuk tidak mendapat hasil, serta peningkatan tambang dan kos pelancongan, akan menjadi halangan utama kepada pelancong, terutama dari Barat yang merupakan pasaran tradisional.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment