IPOH, 29 Sept (Bernama) -- Ibu Nor Azuawan Ramli, 25, salah seorang anak kapal milik MISC MT Bunga Melati 2 yang ditawan lanun di Teluk Aden pada 29 Ogos lalu, Rashidah Yahaya, 52, sangat bersyukur apabila mendapat berita bahawa anaknya akan pulang apabila kapal berkenaan turut dibebaskan sehari selepas pembebasan kapal Melati 5.
Ibu tunggal itu berkata berita pembebasan kapal berkenaan dimaklumkan kepadanya oleh pegawai MISC pada 8 pagi.
"Makcik mendapat berita gembira apabila pegawai MISC menghubungi rumah pada pukul 8 pagi...kemudian sekali lagi mereka menghubungi makcik pada tengah hari.
"Alhamdulillah akhirnya doa makcik dimakbulkan.
Anak makcik yang manja dipanggil `Me Me' dan bekerja sebagai tukang masak di kapal MT Bunga Melati 2 disahkan selamat dan mungkin kembali ke tanah air dalam tempoh dua minggu lagi," katanya ketika dihubungi dari sini hari ini.
Rashidah yang tinggal di Bagan Serai, kira-kira 130 km dari sini, berkata beliau tidak putus-putus berdoa anak serta rakan-rakannya selamat kembali ke tanah air dan bersyukur kerana akhirnya perkhabaran gembira diterima hari ini.
Beliau berkata berita gembira itu akan menjadikan Aidilfitri kali ini meriah terutama bagi adik bongsu Nor Azuawan, Norsaidatul Liana, 21, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada hari raya kedua.
Rashidah berkata pegawai MISC turut memaklumkan bahawa penghantaran pulang kesemua anak kapal akan menggunakan kapal terbang dari Yaman dan dijangka mengambil masa dua minggu lagi.
"Kata mereka kedua-dua kapal yang dibebaskan itu sedang ditunda ke Yaman," kata beliau.
Rashidah bagaimana berkata beliau telah berusaha menghubungi Nor Azuawan beberapa kali melalui telefon bimbit dan internet tetapi telefon bimbit dan komputer riba anaknya mungkin telah dirampas lanun.
"Makcik bagaimana kini bersyukur dan yakin Me Me dalam keadaan selamat apabila dimaklumkan oleh pegawai MISC...makcik harap keluarga kepada anak kapal yang lain juga tidak bimbang dan sama-sama mendoakan mereka selamat tiba ke tanah air selepas hari raya ini," katanya.
Rashidah berkata beliau akan mengadakan kenduri kesyukuran untuk menyambut kepulangan Nor Azuawan.
Kapal MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal iaitu 29 warga Malaysia dan selebihnya warga Filipina dirampas oleh lanun di perairan Somalia dan Yaman pada 19 Ogos lalu.
Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima Filipina dirampas di perairan yang sama.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment