Pages

Tuesday, September 30, 2008

Kapal Bunga Melati 2 Dibebaskan

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Kapal tangki kedua Malaysian International Shipping Corporation (MISC), yang ditawan di Teluk Aden oleh lanun Somalia, telah dibebaskan.

Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan, Kol Fadzlette Othman Merican memberitahu Bernama di sini malam ini, MT Bunga Melati 2 dibebaskan pada 4.14 pagi dan kini belayar menuju Djibouti, Timur Afrika.

Kesemua anak kapalnya selamat, kecuali seorang kelasi warga Filipina yang mati akibat terkena peluru yang tersasar ketika kapal itu dirampas lanun pada 19 Ogos.

Beliau berkata wang tebusan berjumlah US$2 juta bagi setiap kapal telah dibayar oleh MISC dan kedua-dua kapal itu akan melakukan pertukaran anak kapal di Djibouti sebelum berlepas ke Malaysia pada 4 Okt.

"Terdapat beberapa kapal yang telah membayar wang tebusan tetapi masih belum dibebaskan... mereka (lanun) memberi keutamaan kepada kita," katanya.

Ahad, lanun membebaskan kapal tangki MT Bunga Melati 5 dan kedua- dua kapal itu dipercayai diiring oleh kapal perang Malaysia, KD Lekiu dan KD Sri Inderapura 2 ke Djibouti.

Selepas kapal tangki pertama itu dibebaskan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Pertahanan, berkata rundingan masih dijalankan untuk pembebasan MT Bunga Melati 2.

MT Bunga Melati 2, yang mempunyai 39 anak kapal -- 29 rakyat Malaysia manakala bakinya warga Filipina -- dirampas di teluk itu pada 19 Ogos.

Sepuluh hari kemudian, MT Bunga Melati 5, dengan anak kapalnya terdiri daripada 36 rakyat Malaysia dan lima warga Filipina, mengalami nasib serupa ketika belayar dari Yanbu, Arab Saudi menuju Singapura.

Malaysia menghantar KD Lekiu, KD Inderapura dan KD Pahang untuk mengiringi kapal MISC dalam pelayarannya di perairan yang berisiko itu ekoran dua insiden rampasan kapal berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini