JAKARTA: Polis Indonesia kelmarin menahan lima anggotanya atas dakwaan menyeksa anggota militan, selepas rakaman video yang dimuat naik di YouTube merakamkan seorang suspek sedang ditembak, manakala yang lain didera.
Video selama 14 minit yang kabur itu dimuat naik oleh beberapa kumpulan Islam di laman web mereka dan YouTube baru-baru ini.
Rakaman itu antara lain menunjukkan pegawai terbabit sedang memaksa seorang lelaki melucutkan seluar dalamnya sebelum mereka menembak mangsa di dada.
Ketua detektif polis, Encik Sutarman, berkata video itu merupakan kompilasi dua kejadian berasingan yang berlaku pada 2007 dan 2012.
"Kami telah menahan lima anggota polis hari ini (kelmarin) dan menjalankan soal siasat terhadap anggota lain," katanya tanpa memberi kenyataan lanjut berhubung penahanan tersebut.
Menurut beliau, seramai 16 pegawai yang kini sedang disiasat berkaitan penderaan itu.
Sebahagian besar para pegawai, yang dilihat memakai ves kalis peluru dan topi keledar dalam rakaman itu, telah dikenal pasti sebagai anggota skuad antipengganasan, Detasmen 88.
Beberapa lagi pegawai merupakan anggota pasukan elit polis.
Kejadian itu berlaku di bandar Poso, Sulawesi, yang diketahui sebagai kubu anggota militan.
Sebelum ini, pasukan polis telah menjadi sasaran utama serangan anggota militan di situ.
Rakaman video berkenaan telah mencetuskan kemarahan para aktivis dan kumpulan Islam dan menimbulkan kebimbangan ia akan menyebabkan anggota militan melancarkan serangan balas di Poso.
Pada Oktober lalu, dua pegawai polis yang sedang menjalankan siasatan ke atas kem latihan militan dijumpai ditanam dengan leher mereka dikelar.
Kelmarin, beberapa badan Islam menggesa agar pasukan elit negara diaudit ekoran dakwaan melakukan penderaan dan pembunuhan di luar bidang kehakiman.
"Jika langkah-langkah ini tidak dijalankan, unit ini seharusnya dibubarkan saja. Kami prihatin masyarakat Islam Indonesia akan rasa simpati terhadap para penggganas jika tindakan polis serupa itu berterusan," kata Pengerusi Persatuan Muhammadiyah, Encik Din Syamsuddin.
Persatuan Muhammadiyah merupakan badan Islam kedua terbesar di Indonesia.
Detasmen 88 telah ditubuhkan dengan bantuan Amerika Syarikat dan Australia selepas pengeboman Bali oleh para pengganas pada 2002, yang menyebabkan 202 orang terbunuh. - AFP.
No comments:
Post a Comment