Pages

Tuesday, March 26, 2013

Amah tidak boleh jadi PR Hongkong


HONGKONG: Sebuah Mahkamah Tinggi Hongkong telah menolak permohonan dua pembantu rumah warga Filipina yang mahukan status penduduk tetap.
Panel lima hakim Mahkamah Rayuan Akhir sebulat suara memutuskan bahawa Cik Evangeline Banao Vallejos dan Encik Daniel Domingo tidak dibenarkan menjadi penduduk tetap Hongkong walaupun telah tinggal di situ selama tujuh tahun, tempoh yang selalunya membolehkan warga asing menjadi penduduk tetap di bawah perlembagaan Hongkong.
Semasa perbicaraan, kedua-duanya menyatakan bahawa peruntukan imigresen yang melarang pembantu rumah warga asing mendapat status penduduk tetap tidak mengikut perlembagaan.
Sebuah mahkamah rendah sebelum ini memutuskan bahawa pasangan pembantu rumah itu berhak memohon status penduduk tetap di bandar itu.
Mahkamah memutuskan bahawa pembantu rumah tidak sepatutnya dianggap "penduduk biasa" memandangkan kontrak pekerjaan mengikat mereka pada tempoh pekerjaan sementara.

"Sifat tinggalnya pembantu rumah warga asing di Hongkong sangat terbatas.
"Pembantu rumah warga asing harus pulang ke negara asal di akhir kontrak dan telah diberitahu dari awal bahawa kemasukan mereka bukanlah bagi tujuan menetap (di sini)," jelas kenyataan yang ditulis Ketua Hakim, Encik Geoffrey Ma.
Sekumpulan kecil pekerja warga asing membuat bantahan dan membawa sepanduk di luar bangunan mahkamah sambil mengecam keputusan tersebut sebagai diskriminasi berinstitusi.
Ketua kumpulan penyokong Bersatu Rakyat Filipina di Hongkong, Encik Eman Villanueva, berkata keputusan mahkamah itu juga mencegah mereka yang bergantung pada pembantu rumah daripada mendapatkan tempat tinggal di Hongkong.
Keputusan Mahkamah Rayuan Akhir itu turut menjejas dan memusnahkan harapan berpuluh ribu pembantu rumah warga asing lain daripada mendapatkan status penduduk tetap di bandar hab kewangan selatan China itu.
Sejak beberapa tahun lalu, kes undang-undang penuh kontroversi itu telah memecahbelahkan pendapat penduduk bandar itu apakah 286,000 pembantu rumah warga asing, yang kebanyakannya datang dari Filipina dan Indonesia, harus diberikan hak saksama menjadi penduduk tetap seperti penduduk warga asing lain di Hongkong.
Para pengkritik berkata kemasukan sedemikian mungkin mengakibatkan beban ekonomi yang besar jika dilihat dari segi kos pendidikan, perumahan, penjagaan kesihatan dan kebajikan.
Sebuah parti politik menganggarkan ia akan menambah kos ke atas pembayar cukai sebanyak HK$25 bilion ($4.01 bilion) setahun.
Ramai keluarga biasa di Hongkong dan golongan ekspatriat menyifatkan pembantu rumah sebagai satu keperluan, dengan ramai yang menggajikan pembantu rumah tinggal bersama mereka bagi tugas-tugas memasak, mengemas dan membantu menjaga anak. - Reuters, AP.

No comments:

Posting Terkini