Thursday, October 6, 2011
China, Russia veto draf kena sekatan atas Syria
NEW YORK: Russia dan China semalam menolak satu resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengancam akan bertindak mengenakan sekatan jika pemimpin Syria terus melakukan tindakan keras terhadap pemberontakan para pembangkangnya, mencetuskan kemarahan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.
Duta Amerika, Cik Susan Rice, berkata draf yang dilakarkan Perancis, Britain, Jerman dan Portugal - kesemuanya turut marah terhadap dua tindakan veto tersebut - telah ditentang oleh negara-negara yang 'mahu menjual senjata kepada rejim Syria itu'.
Cik Rice kemudian mengetuai satu bantahan meninggalkan dewan majlis tersebut sedang utusan khas Syria melancarkan kecaman hebat ke atas negara-negara yang meminta tindakan dikenakan ke atas Presiden Bashir al-Assad.
Sembilan negara memveto teks draf tersebut yang menggesa dilaksanakan 'langkah-langkah sekatan' jika Encik Assad tidak menghentikan serangannya ke atas para pemberontak itu, yang menurut PBB telah menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 2,700 warga Syria.
Russia dan China menggunakan kuasa vetonya sebagai anggota tetap majlis tersebut dan sekali gus membatalkan resolusi berkenaan.
Afrika Selatan, India, Brazil dan Lebanon pula tidak mengundi - mengesahkan sekali lagi bahawa terdapat perpecahan di kalangan 15 anggota badan dunia itu sejak tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) melancarkan serangan udara di Libya dengan menggunakan resolusi PBB untuk mewajarkan tindakan mereka itu.
'Amerika marah kerana majlis ini gagal menangani satu cabaran moral yang terdesak dan ancaman semakin meningkat kepada kedamaian dan keselamatan serantau,' kata Cik Rice, selepas Russia dan China memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengancam mengenakan sekatan ke atas Syria itu.
Memberikan alasannya, China semalam berkata ia memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB itu kerana tidak mahu kemungkinan tindakan 'secara membabi buta' itu mengenakan tekanan ke atas negara Arab tersebut dan tidak akan membantu dalam mengatasi masalah yang dihadapinya.
China telah menarik kritikan antarabangsa kerana keengganannya mengecam rejim Encik Assad.
Julai lalu, ia menyertai Russia - satu ketika dulu musuh ketatnya - menghalang resolusi PBB daripada mengecam tindakan Syria ke atas para pemberontak.
China, Russia, Amerika, Britain dan Perancis membentuk lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto dalam badan tersebut. -- AFP.
Labels:
Dunia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment