Pages

Monday, September 19, 2011

Musuh dalam selimut


Warta Kerajaan Rakyat l Uthaya Sankar SB : Pada 15 September 2011, kebanyakan orang menunggu untuk mengetahui apakah perkara penting yang bakal disampaikan oleh Perdana Menteri dalam ucapan khas sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Sekitar 7:30 malam, Perdana Menteri memaklumkan menerusi Twitter bahawa ucapan itu akan disampaikan secara langsung pada jam 8:45 malam di televisyen.
Lalu, saya membalas: “Mungkin PM masih sempat selitkan ayat ‘Royalti wajib dibayar oleh penerbit kepada penulis teks Komsas’ dalam teks ucapan?”

Saya tahu bahawa mesej itu tidak akan dibaca; kalau dibaca pun, tidak akan dilayan. Sebagaimana Menteri Pelajaran tidak melayan Surat Rayuan Terbuka daripada lima penulis terbabit pada 26 Ogos dan surat rasmi saya kepada beliau pada 2 September.
Isyarat yang diterima umum secara amat jelas adalah bahawa menteri berkenaan tidak mampu (tiada kuasa?) berbuat apa-apa untuk membantu dan membela nasib penulis teks Komsas yang dinafikan hak mereka mendapat royalti. Penerbit terbabit sudah terbukti lebih berkuasa. Titik.
Apabila Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri tidak mampu berbuat apa-apa, pilihan seterusnya tentulah Perdana Menteri.
Jika itu juga tidak membawa kesan, maka apakah kumpulan penulis yang teraniaya itu perlu memohon izin untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong sebagai kuasa tertinggi di Malaysia?
Dalam isu penerbit tidak mahu membayar royalti kepada beberapa penulis teks Komsas, ada pihak yang menyarankan supaya mereka membawa kes itu ke mahkamah.
Masalahnya, umum mengetahui bahawa kes-kes di mahkamah boleh mengambil masa bertahun-tahun. Entah-entah apabila teks Komsas ditukar pada 2021, kes belum selesai!
Pada masa sama, golongan penulis di Malaysia bukanlah orang kaya yang mempunyai kemampuan kewangan untuk mengambil peguam profesional.
Mungkin juga penerbit maklum mengenai hal ini. Sebab itu mereka bongkak dan berani mencabar penulis terbabit membawa kes ke mahkamah.
Maruah pengarang
Di sisi penulis terbabit pula, mereka tentu sahaja mengharapkan sokongan padu daripada rakan-rakan penulis. Sekadar contoh, bayangkan jika kelima-lima Sasterawan Negara tampil mengeluarkan kenyataan bersama membela penulis yang teraniaya ini.
Bayangkan jika badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan penulis yang mengadakan perhimpunan besar-besaran demi “maruah pengarang” pada Januari lalu mampu melakukan perkara sama demi “maruah pengarang” juga pada kali ini.
Sayang seribu kali sayang. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Apabila penulis yang teraniaya meminta bantuan rakan-rakan penulis memaparkan Surat Rayuan Terbuka di Facebook, ada tokoh yang memberi amaran: “Jangan sesiapa cuba memuatkan surat rayuan terbuka itu di wall saya!”
Ada juga penulis terkemuka yang menulis dengan bangga: “Surat itu terpapar sebentar di dinding Facebook saya sebelum saya segera membuangnya.” Ramai yang berbuat begitu dan berasa bangga!
Tidak setakat itu, saya percaya, ada juga kelompok penulis yang cuba menggagalkan perjuangan menuntut hak royalti dengan pelbagai cara, termasuk (tetapi tidak terhad kepada) memberi amaran, menyindir, menghasut, memfitnah, memujuk, menghina, memanipulasi dan mengambil kesempatan.
Saya tidak akan terkejut sekiranya ada pihak yang mengadakan kempen besar-besaran memujuk Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun, Mohd Izan Abd Hazes dan Erda Roslan Khairi supaya melupakan hasrat memperjuangkan hak royalti itu.
Apabila gagal memujuk, maka mungkin pihak berkenaan akan menggunakan pelbagai cara lain; termasuk menggunakan sentimen perkauman bagi mempengaruhi mereka.
Memang menghairankan! Apabila kelompok dayus ini tidak cukup jantan (baca: berani) untuk tampil membela nasib penulis yang teraniaya, mengapa pula mereka tidak duduk diam sahaja? Mengapa perlu mematahkan semangat dan moral beberapa penulis yang berani bangkit menuntut hak?
Sebagai usaha terdesak, kelompok tidak bermoral ini mula menghasut dengan mempersoalkan secara tersembunyi mengapa penulis yang teraniaya perlu meminta bantuan daripada “kepala paria” dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang “anti-Melayu”.
Kelompok sama turut mengaku bahawa mereka “sangat simpati tapi tak berani tampil membantu” kerana bimbang “periuk nasi terjejas”. Ada pula yang hanya sedia cuba membantu “kalau dapat 50 peratus komisyen”.
Malah, ada juga kelompok yang teramat kreatif dan menyebarkan surat layang menerusi ruang siber: “Ramai tahu Uthaya tu pengkhianat. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dah senarai hitamkan dia. Radio Televisyen Malaysia (RTM) pun dah blacklist dia.”
Betapa baik jika segala kreativiti dan kemampuan mereka-reka cerita itu digunakan oleh mereka untuk menghasilkan karya kreatif! Sekurang-kurangnya boleh juga dinilai penerbit bagi teks Komsas menjelang 2021 (dan tidak dibayar royalti).
Mungkin itulah budaya kita. Apabila ada orang datang meminta bantuan, kita tidak mahu, tidak sudi, tidak berani dan tidak mampu menolong. Kita berikan 1001 alasan. Akan tetapi, apabila ada pihak lain tampil membantu setakat termampu, kita rasa tercabar dan mula menabur fitnah.
Kita mula menggunakan segala taktik kotor dan terhina untuk menggagalkan usaha orang lain. Kita lupa soal moral, kita lupa soal agama. Kita lupa Tuhan. Kita lupa akhirat. …
Melawan kuasa besar
Berbalik pada sekumpulan kecil penulis yang teraniaya dalam isu royalti teks Komsas, tentulah mereka merasakan seperti jatuh tangga ditimpa tangga.
Pada mulanya kelompok tertentu tidak mahu membantu dengan pelbagai alasan. Apabila mereka mula bersatu dalam kumpulan kecil untuk berjuang menuntut hak, mulalah mereka dihina, dipersenda, ditertawa dan diminta membatalkan usaha.
Kononnya, kumpulan kecil penulis (“pejuang”) ini tidak akan mampu melawan “kuasa besar” iaitu penerbit dan pihak tertentu di kementerian. Golongan penulis dikatakan tidak ada apa-apa kuasa.
Kata-kata yang melemahkan semangat seperti itu turut disebarkan secara meluas melalui ruang siber. Maka, tentu sahaja kelompok kecil “pejuang” akan turut terasa lemah semangat.
Dalam keadaan seperti ini, memandangkan kesemua penulis terbabit adalah penulis Melayu-Islam, saya hanya menasihatkan mereka supaya “meminjam semangat perjuangan” Nabi Muhammad SAW.
Kalaulah Baginda pernah berputus asa kerana kononnya “tidak akan mampu melawan kuasa besar” di Mekah dan Madinah dahulu, apakah Islam akan tersebar ke seluruh dunia seperti sekarang? Tepuk dada, tanya selera.
Sebaliknya, tindakan “musuh dalam selimut” yang tidak bermoral pula menyebabkan beberapa lagi mangsa royalti teks Komsas takut untuk tampil bersuara. Mereka bimbang akan turut dilabel sebagai “bekerjasama dengan kepala paria yang anti-Melayu”.
Pada masa sama, mujurlah majoriti penulis Malaysia masih waras dan beragama. Mereka tidak mudah dihasut syaitan yang “berselimutkan” manusia. Mereka berfikiran rasional dan terus memberi sokongan kepada perjuangan penulis yang menuntut hak royalti teks Komsas.
Seorang pembaca, Gokulabalen Muniandy, dari Bukit Mertajam turut tampil membuat laporan polis pada 10 September lalu “demi mempertahankan hak para penulis terbabit menikmati royalti atas karya-karya mereka yang dijadikan teks Komsas.”
Kepada kelompok yang impoten dan tidak mampu membantu, cukuplah jika mereka tidak mengganggu. Serta berhenti menjadi musuh dalam selimut dan sekutu syaitan.
Uthaya Sankar SB pernah menjadi penyunting berita, penyampai berita, pengulas akhbar dan penyelaras Unit Bencana di RTM.

No comments:

Posting Terkini