Pages

Monday, September 12, 2011

Malaya tidak pernah dijajah?


GOMBAK: Ekoran kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) baru-baru ini didakwa mengelirukan apabila mengatakan Malaya tidak pernah dijajah British, PAS mendesak Umno menyatakan pendirian berhubung hal tersebut.
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan pusat bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekeliruan ini memandangkan implikasi yang timbul adalah cukup besar.
Menurut beliau, selaku kerajaan pusat yang memerintah, Umno perlu segera mengeluarkan kenyataan menyokong mahupun sebaliknya dan tidak sepatutnya berdiam diri.
“Kerajaan tidak boleh berdiam diri kerana rakyat jadi panik dan serba salah. Ahli akademik timbulkan konflik….sedangkan mereka sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang membantu menyelesaikan masalah dan bukan menimbulkan komentar.

“Maka PAS mendesak Umno nyata pendirian dan segera keluar kenyataan sama ada menyokong pendirian MPN atau sebaliknya.

Kenapa sambut Hari Merdeka?
Jika sokong apa makna sambutan Hari Merdeka pada 16 September kalau negara tidak dijajah? Jika tidak dijajah, fakta ilmiah atau buku-buku sejarah yang ditulis selama ini patut dibuang.
Setakat ini semua diam tak sepatutnya mereka bertindak sedemikian dalam isu besar sebegini,” katanya semasa majlis sambutan Aidilfitri di Kolej Islam Zulkifli Mohamad, Taman Melewar semalam.
Tegas beliau, PAS memegang fakta sejarah bahawa sambutan merdeka itu berlaku apabila British memberi kemerdekaan kepada Malaya.
Katanya, kekeliruan yang ditimbulkan MPN bahawa zaman penjajahan Malaya bermula ketika kedatangan Jepun akan merosakkan semua fakta sejarah.
“PAS pegang fakta sejarah bahawa sambutan merdeka apabila parlimen British meluluskan enakmen dengan memberi kemerdekaan kepada Malaya dengan menurunkan bendera Union Jack dan bendera kita dinaikkan.
“Itu simbolik kita dijajah….tapi MPN kata Malaya dijajah pada zaman Jepun dan jika itu dimaksudkan maka kita merdeka tahun 1945 dan bukan 1957. Perkara itu akan merosakkan semua fakta sejarah,” jelas beliau.
Pada Jumaat lalu, jurucakap MPN Profesor Datuk Dr Zainal Kling Zainal pada sidang akhbarnya di Putrajaya berkata berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
Selain Zainal, beberapa pakar sejarah seperti Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Ramlah Adam turut menegaskan perkara sama.




No comments:

Posting Terkini