Pages

Thursday, May 19, 2011

Pendedahan WikiLeaks : Penubuhan Suruhanjaya Di-Raja Dituntut

SHAH ALAM 18 MEI : Pendedahan terbaru Wikileaks bahawa Kedutaan Amerika Syarikat mepercayai adanya usaha terancang untuk melindungi Perdana Menteri, Najib Razak dalam perbicaraan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu menzahirkan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan di-Raja, kata Parti Keadila Rakyat.

Walaupun pendedahan yang dibuat oleh WikiLeaks itu bukan perkara baru, namun ia menguatkan pandangan umum yang selama ini membuat tafsiran serupa, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.
 
"Pendedahan itu tidak mengejutkan dan semua rakyat Malaysia sudah tahu, satu dunia pun sudah tahu memang ada campur tangan politik, fakta dia pun rakyat dah tahu,"katanya.

"Cuma pendedahan ini maknanya mengiyakan pandangan rakyat selama ini," kata Rafizi ketika mengulas pendedahan WikiLeaks itu.

Walau bagaimanapun, menurut Rafizi pendedahan sahaja tidak memadai jika kes pembunuhan tersebut tidak ditangani secara adil dan bebas.

Justeru Rafizi sekali menjelaskan betapa pentingnya sebuah Suruhanjaya Siasatan di-Raja ditubuhkan bagi memerinci kes pembunuhan warga Mongolia berkenaan.

Bahkan beliau tidak menolak kemungkinan dengan adanya pelbagai andaian dari wakil kedutaan AS, ia akan menimbulkan lebih banyak spekulasi selepas ini.

"Perkara ini hanya dapat diselesaikan jika disiasat dengan bebas, kalau kes Datuk Seri Anwar Ibrahim mereka suruh tubuhkan suruhanjaya bebas, jadi saya rasa kes ini adalah lebih tepat untuk ditubuhkan suruhanjaya,"katanya.

"Apabila ada syak wasangka yang tinggi dan juga berasas mengenai hubungan Najib dan Altantuya terutama melalui Razak Baginda, bila ada syak wasangka yang jelas seperti itu, maka banyak spekulasi yang boleh timbul,"tambahnya lagi.

Kabel diplomatik terbaru yang didedahkan Wikileaks menunjukkan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur mengesyaki wujudnya campurtangan politik  untuk melindungi Najib daripada dikaitkan kepada perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, menurut kabel-kabel diplomatik yang dibocorkan oleh WikiLeaks.

Kabel-kabel itu berasaskan maklumat yang diberikan kepada kedutaan itu oleh sumber-sumber Pejabat Peguam Negara, pemimpin kerajaan dan pembangkang, menurut Asia Sentinel yang menyiarkan kabel-kabel berkenaan.

Malah wakil kedutaan AS juga membincangkkan kemungkinan Perdana Menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi menggunakan perbicaraan Altantuya untuk “mengenakan” Najib.

Altantuya dijumpai mati dibom di pinggiran hutan Puncak Alam pada Oktober 2006. Dua daripada pegawai polis yang berkhidmat dengan pejabat Najib ketika itu, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar di dapati bersalah membunuh warga Mongolia itu.

Bagaimanapun rakan karib Najib, Abdul Razak Baginda yang mengaku mengadakan hubungan sulit dengan Altantuya dibebaskan dari tuduhan itu walaupun beliau bersetuju menggunakan khidmat dua anggota polis berkenaan.

Kabel-kabel WikiLeaks mendedahkan pegawai-pegawai kedutaan percaya wujud campurtangan politik untuk menentukan bagaimana pihak pendakwaraya  mengendalikan kes itu.




No comments:

Posting Terkini