Pages

Monday, May 23, 2011

Nuridah dijangka menang tanpa bertanding jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS

PETALING JAYA: Penyandang Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dijangka menang tanpa bertanding dan sekaligus mengekalkan jawatan yang dipegang beliau sejak 2007 lalu.
Ini memandangkan calon-calon lain yang layak, memilih untuk bertanding jawatan lain selain Ketua Dewan Muslimat tersebut.
Antara calon yang layak bagi jawatan Ketua termasuklah timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusoff serta dua Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Dr Asiah Ali dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Ketika dihubungi FMT Nuridah yang turut menerima pencalonan bagi jawatan Timbalan Ketua, Naib Ketua dan AJK itu masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu mengekalkan jawatan ataupun sebaliknya.
“Saya belum mahu memberikan sebarang ulasan…..beri masa kepada saya untuk buat keputusan,” katanya kepada FMT.
Walau bagaimanapun pesaing terdekat Nuridah yang juga penyandang timbalan ketua Siti Zailah pula gagal dihubungi FMT.
Namun menurut sumber berkemungkinan Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Ketua.

Tarikh tutup 26 Mei
Tarikh tutup bagi mana-mana calon yang layak untuk membuat pengesahan jawatan yang ingin ditandingi adalah pada 26 Mei (Khamis) ini.
Bagi Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah beliau memilih untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat walaupun turut menerima pencalonan sebagai Naib Ketua.
Perkara itu disuarakan kepada FMT melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) petang tadi.
Dalam pada itu seorang lagi calon Dr Asiah Ali hanya memilih untuk mempertahankan jawatan sebagai AJK Dewan Muslimat.
Keputusan itu menurut Asiah bagi menumpukan kerja sebagai Pengarah di Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah (ILHAM).
Asiah berkata borang itu juga telah dihantar ke Ibu Pejabat PAS awal pagi tadi sebagai menerima pencalonan beliau menganggotai AJK Dewan Muslimat.
“Saya sudah banyak tugasan dan bimbang tidak dapat menumpukan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sekiranya menang.
Saya pun sudah banyak tugas, sebagai Pengarah ILHAM bimbang tidak terlaksana tugas tersebut. Keputusan ini juga sebagai memberi laluan kepada mana-mana calon muslimat lain,” katanya kepada FMT.
Muktamar PAS akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun depan, dengan mesyuarat Dewan Muslimat pula akan diadakan pada 2 Jun bertempat di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor di Shah Alam.




No comments:

Posting Terkini