Pages

Wednesday, May 11, 2011

DAP ‘menangguk di air keruh’, kata Khir Toyo

Warta Kerajaan Rakyat - PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo melalui entri blognya mengaitkan DAP dengan beberapa konflik agama yang pernah tercetus suatu ketika dahulu sambil menyifatkan parti pembangkang itu hanya mengaut keuntungan politik daripada keadaan berkenaan.
Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang mendakwa tidak mustahil DAP terlibat seperti konflik antara kaum dan agama pada tahun 1969 termasuklah isu Hindraf menjelang pilihan raya umum (PRU) 2008.

Sambil mendakwa DAP merupakan ‘tangan-tangan belakang’ di sebalik tercetusnya konflik itu, Khir turut merujuk kepada konflik Kristian-Islam yang cuba dicetuskan pada tahun 2000 – dengan mendakwa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab menukar agama gadis Islam di selatan Kedah.
“Tidak ada apa pun yang mustahil. Ini kerana DAP sentiasa mengaut keuntungan politik dengan mencetuskan konflik antara kaum atau antara agama seperti mana mereka lakukan pada 1969.
“Saya percaya dalam isu Hindraf yang hampir mencetuskan konflik agama Islam-Hindu (kaum Melayu-kaum India) menjelang pilihan raya 2008 juga mempunyai tangan-tangan DAP di belakangnya.
“Jika diingat konflik Kristian-Islam ini juga cuba dicetuskan oleh sebuah parti politik pada tahun 2000 apabila mereka mendakwa seorang wakil rakyat BN beragama Kristian bertanggungjawab mengkristiankan ramai gadis Islam di selatan Kedah. Namun siasatan kemudiannya mendapati terbukti tidak benar.
“Hari ini parti lain dari Pakatan Rakyat yang sama cuba mencetuskan konflik Islam-Kristian dengan mengapi-apikan kononnya Umno cuba mencetuskan kemarahan orang Islam terhadap penganut Kristian melalui Utusan Malaysia,” katanya.
Merujuk kepada konflik terbaru berhubung perbincangan paderi untuk menjadikan Kristian agama rasmi Malaysia yang didakwa sebuah jurublog, Khir mempersoal tindakan Persekutuan Kristian Malaysia (Christian Federation of Malaysia – CFM) mengadakan sidang akhbar bersama DAP.
Beliau berkata tindakan itu mencurigakan orang Melayu-Islam malah lebih manis sekiranya CFM mengadakan sidang akhbar tanpa DAP.
“Alangkah baik dan manisnya jika CFM mengadakan sidang akhbar bersendirian dan menafikan dakwaan jurublog-jurublog terbabit.
Bukankah CFM sepatutnya kekal menjadi penaung kepada penganut Kristian tanpa kecenderungan politik kepartian?,” soal beliau.
Menurut Khir, dakwaan dalam jurublog perlu dipandang berat kerana dakwaan itu cukup serius.
“Cubaan mewujudkan konflik agama sangat berbahaya kepada negara kita yang pelbagai kaum dan agama ini. Ia bukan sahaja berbahaya kepada keselamatan rakyat, malah kepada ekonomi negara.
“Saya juga merasakan amat mustahil sekumpulan paderi Kristian yang berwibawa di negara ini sanggup berbuat tindakan sedemikian dan mencemarkan keharmonian negara ini dan juga membelakangkan Perlembagaan Negara.
“Kebanyakan rakan-rakan saya yang beragama Kristian juga tidak mengambil peduli apa agama rasmi negara ini kerana mereka beranggapan agama sebagai cara hidup peribadi.
Mereka juga menerima kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Apa yang mereka mahukan ialah kerajaan tidak cuba memaksa mereka menjalani gaya hidup Muslim,” katanya.




No comments:

Posting Terkini