PETALING JAYA: Pengumuman bayaran royalti petroleum kepada Terengganu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) semalam membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai dua polisi berlainan berhubung isu yang sama.
Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa berkata isu tiga batu nautika sengaja di adakan kerajaan Persekutuan bagi menafikan hak yang sama sepatutnya diterima Kelantan.
“Persetujuan tentang bayaran semula royalti ke atas Terengganu yang diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai dua polisi berlainan sedangkan ia meliputi isu yang sama.
“Ini memberi petanda aras bahawa slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan adalah slogan kosong yang tidak bermakna,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan penafian hak Kelantan dalam hal ini sedangkan kedua-dua negeri bersempadan dan telaga minyak Kelantan lebih hampir berbanding Terengganu menjelaskan hasrat menganak-tirikan Kelantan atas faktor politik.
Husam menjelaskan bahawa pembayaran royalti seperti diumumkan Ahmad Said adalah berasaskan Perjanjian 1975, di mana Kelantan dan Terengganu menandatangani perjanjian yang sama 36 tahun lalu.
Mengikut undang-undang tersebut katanya, Perdana Menteri diminta memberi penjelasan segera kenapa Kelantan dinafikan bayaran royalti minyak sedangkan untuk Terengganu diluluskan bayaran royalti itu.
“Secara jelas asas undang-undang adalah sama. Jika pembayaran terpaksa dibuat kepada Terengganu bagi mematuhi Perjanjian 1975, jelas tidak ada sebab hak Kelantan dalam hal yang sama dinafikan.
“Bagi berlaku adil dan merealisasikan kebajikan secara saksama serta pengembalian hak rakyat Kelantan, Perdana Menteri mesti menghormati perjanjian itu,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum.
Bagi pihak kerajaan negeri, Ahmad Said telah memfailkan saman terhadap kerajaan Persekutuan kerana menafikan hak Terengganu ke atas royalti petroleum sejak lebih 10 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment