Pages

Wednesday, April 13, 2011

Siapa Taib untuk lantik diri sendiri jadi penasihat?


KUCHING: Penyandang Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud perlu menerima hakikat sebenar bahawa rakyat sudah menolak pemerintahannya dan beliau tidak perlu terhegeh-hegeh melantik diri sendiri sebagai penasihat kepada Kerajaan Negeri Sarawak sekiranya gagal mempertahankan jawatan itu.
“Siapa dia untuk lantik diri sendiri menjadi penasihat di waktu rakyat Sarawak sudah terang-terangan tidak mahukannya lagi?” kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Taib semalam dalam wawancara selama 10 minit yang disiarkan saluran televisyen arus perdana.
Dalam wawancara itu, Taib memberikan bayangan beliau akan memainkan peranan sebagai penasihat kepada Ketua Menteri Sarawak yang baru sekiranya tidak dipilih rakyat sebagai Ketua Menteri lagi.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, Taib sebenarnya tidak akan bersara walaupun terdapat desakan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berbuat demikian.
Ini kerana, menurut Fuziah, Taib mempunyai terlalu banyak kepentingan yang perlu dijaga dan satu-satunya cara beliau boleh berbuat demikian adalah dengan terus berkuasa sebagai Ketua Menteri Sarawak.
“Taib sekarang tidak akan melepaskan kuasanya kerana dia mempunyai terlalu banyak kepentingan untuk dijaga. Malahan, dia rasa perlu terus menjadi Ketua Menteri untuk memastikan ia terjaga,” kata Fuziah.
Jelas Fuziah, satu lagi sebab yang menghalang Taib untuk melepaskan jawatannya nanti adalah kemungkinan beliau dihadapkan ke mahkamah di atas segala dakwaan rasuah dan rampasan tanah adat yang dilakukan beliau sepanjang dia menjadi Ketua Menteri.
“Ia amat jelas. Dia sendiri tidak mahu menamakan penggantinya seandainya dia melepaskan jawatannya nanti,” katanya.
Fuziah yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata, pengalaman beliau berkempen di Sarawak memberikan gambaran jelas kepadanya akan layanan Taib terhadap rakyat Sarawak.
“Di (Dewan Undangan Negeri) Balingian sendiri, terdapat satu kilang aluminium yang membahayakan kesihatan penduduk namun ia dibina berhampiran kawasan orang ramai.
“Ia sebenarnya satu cerminan kepada pimpinan Barisan Nasional yang sentiasa ‘mendahulukan’ rakyat dalam berhadapan bahaya sebegini yang mendedahkan rakyat kepada risiko kesihatan,” kata Fuziah.
Fuziah yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuantan sedang memperjuangkan penutupan satu loji pemprosesan sisa radioaktif di negeri Pahang yang terletak di Gebeng.
Ironinya, loji memproses sisa radioaktif itu terletak di negeri Pahang yang merupakan negeri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

No comments:

Posting Terkini