SHAH ALAM 18 APRIL : Tidak leka dengan kemenangan di 15 kerusi DUN Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru- baru ini, Pakatan Rakyat terus merangka strategi untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang berkemungkinan diadakan pada bila- bila masa sahaja.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian berkata pihaknya mengenalpasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memperkuatkan jentera parti.
"Saya sudah arahkan kepada calon- calon yang bertanding baru- baru ini agar menyediakan laporan. Kita akan buat 'bedah siasat' pada hujung minggu ini untuk persiapan menghadapi pilihan raya umum ke- 13 akan datang," ujar Baru Bian.
Baru Bian berkata, ia penting bagi mengekalkan trend sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat.
Antara kelemahan besar yang dikesan adalah, kelewatan penyaluran sumber kewangan yang sekaligus merencatkan pergerakan jentera parti.
Sementara disesetengah kawasan pedalaman pula, didapati tiada jentera parti.
"Didapati banyak kawasan tidak ada jentera. Jika kita anggap kita kuat, tapi jika kita tiada jentera, tiada strategi penyusunan baru, macam mana kita mahu pantau pengundi ?," katanya.
Pakatan Rakyat juga dikekang dengan sumber kewangan yang terhad untuk membolehkan gagasan itu menawarkan elaun yang tinggi kepada agen pengundian.
"Kita tidak mampu beri banyak elaun. Kita hanya mampu tawarkan RM50 seorang. Tapi BN mampu tawar sehingga Rm500 seorang,
"Kita harus pilih seseorang yang benar- benar ada pendirian. Ini jadi masalah, bila ada tawaran lebih tinggi dari Pakatan Rakyat, mereka hilang,"
Baru Bian ketika dihubungi Tv Selangor berkata, dasar Pakatan Rakyat yang jelas, menjadi faktor kepada kemenangan di 15 kerusi DUN 16 April lalu.
"Dasar dan isu yang kita tawarkan adalah benar. Ia penting sekali," katanya.
Baru Bian menjelaskan matlamat Pakatan Rakyat Sarawak kini adalah menerang dan memahamkan rakyat bahawa tugas membuat pembangunan adalah dibawah kuasa kerajaan negeri yang memerintah, bukannya wakil rakyat.
Wakil rakyat hanya menjadi penasihat kepada kerajaan negeri berikutan mereka tiada kuasa sedemikian.
Ditambah lagi diskriminasi kerajaan persekutuan yang tidak memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang.
"Walaupun kita menang sebagi pembangkang, tidak bererti pembangunan itu datang dari kita. Pembangunan itu harus datang dari pemerintah. Kita hanya penasihat dan kita akan bangkitkan keprluan- keperluan rakyat," katanya lagi.
Baru Bian turut mengulas penolakan perletakan jawatan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.
Beliau berkata, keputusan pilihan raya Sarawak kali ke- 10, 2 hari lalu jelas menggambarkan penolakan rakyat terhadap kepimpinan parti itu.
Sehubungan itu, tindakan parti itu masih mahu mengekalkan George Chan dalam barisan kepimpinannya tidak akan memberi apa- apa impak kepada Pakatan Rakyat.
"SUPP sebagai parti politik ditolak oleh rakyat. Apatah lagi pemimpin yang telah ditolak oleh pengundi. Tidak ada sebab parti itu kekalkan jawatan itu. Ia sangat pelik,
" Bagi saya pemimpin yang sudah ditolak oleh pengundi harus ditolak juga," kata Baru.
George Chan mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya negeri Sarawak 2 hari lalu.
No comments:
Post a Comment