Pages

Wednesday, April 13, 2011

Polis akui Kadir tak patut ditahan ISA


KUALA LUMPUR: “Semasa saya tanya polis berkenaan penangkapan adik saya, polis sendiri mengakui bahawa Kadir tidak patut ditahan,” kata Hisham Hashim, 42, abang mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Kadir
Hashim.
Menurut Hisham, semasa berjumpa adiknya, polis memberitahu bahawa Kadir terlibat dengan kegiatan subversif dalam internet berkaitan dengan bom dan senjata api.
“Pihak polis mengatakan Kadir terlibat dengan subversif dalam internet berkaitan bom, senjata api, tetapi dalam masa yang sama polis memberitahu memang Kadir tidak sepatutnya ditahan.

“Sebenarnya polis tak ada nyatakan apa-apa pun, tapi polis memberitahu Kadir masih dalam siasatan, paling lama dalam tempoh 60 hari,” ujarnya selepas berjumpa Kadir kir-kira sejam di Balai Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Hisham juga kesal tindakan polis yang masih ‘mengepung’ ketika beliau dan ibunya berjumpa dengan Kadir.
“Saya tidak selesa untuk bercakap dengan Kadir kerana lapan orang polis mengelilingi kami sehingga mahu bertanya perkara peribadi pun tidak boleh.
“Kalau betul dia pengganas, polis boleh dakwa adik saya, tapi mampu ke Kadir melakukan apa yang didakwa ke atasnya memandangkan dia sendiri pun tidak cukup sifat.
“Apa yang saya bimbang sekarang adalah keselamatan Kadir. Walaupun melihat keadaannya sihat, tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku. Dia sendiri juga tak boleh nak cerita panjang pasal hal tersebut,” katanya dalam nada kecewa.
Hisham yang ditemani ibunya Mah Mat Idris, 67, turut mendesak supaya polis membebaskan Kadir memandangkan beliau yang menyara sepenuhnya ibu mereka.
“Kadir yang sara mak cik, memandangkan adik-beradiknya lain sudah berumah tangga. Mak cik nak dia balik, bebaskan dia secepat mungkin,” rintih ibunya dalam nada sayu.
Sementara itu, penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Nalini E yang turut hadir bersama keluarga Kadir menyuarakan kebimbangan apabila tahanan melepasi 13 hari kerana boleh mendatangkan kematian dan sebagainya.
“Dalam rekod 13 hari, kita takut akan berlaku pendarahan dan penyeksaan. Kita tidak tahu apa yang berlaku di dalam.
Kalau tunggu sampai 60 hari, polis akan dapatkan surat daripada kementerian (Dalam Negeri) untuk melanjutkan tempoh tahanan sehingga dua tahun,” katanya.
Kadir, 42, seorang peniaga tomyam yang juga ahli KEADILAN Cabang Lembah Pantai ditangkap polis 1 April lalu mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri atas dakwaan terlibat dalam kegiatan subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit.
Kadir yang kudung pergelangan tangan kiri ditahan polis Bukit Aman di rumahnya kira-kira jam 6.00 petang 1 April lalu.
Semasa penangkapan dibuat, kira-kira 20 anggota polis turut mengepung rumah Kadir.

No comments:

Posting Terkini