Pages

Wednesday, April 20, 2011

Felda Plantations dibubar, generasi Felda dapat tanah- Anak


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat komited melaksanakan janji dalam Buku Jingga, termasuk membatalkan Felda Plantations dalam tempoh 100 hari mengambil alih pentadbiran di Putra Jaya.
Menurut Pengerusi persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, sebagai ganti, tanah seluas 367,000 hektar yang diurus Felda Plantations akan diagih kepada sekurang-kurangnya 79,000 generasi kedua dan ketiga Felda.

“Jika kita beri 10 ekar setiap orang, sekitar 79,000 orang akan mendapat faedah tetapi kita sedang mempertimbangkan memberi lima ekar kepada setiap orang supaya lebih ramai dapat memiliki tanah, ” ujar Mazlan.
Pengumuman itu, katanya sekaligus menafikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang mendakwa rancangan itu hanya gimik politik Pakatan.
“Apa yang disebut (Datuk) Ahmad Maslan kononnya janji untuk menghapuskan Felda Plantation ini gimik politik, saya nak ulangi ini bukan gimik politik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut hari ini.
Untuk itu, Anak akan mengagihkan borang permohonan tanah kepada seluruh generasi kedua dan ketiga Felda dalam himpunan besar-besaran melibatkan warga Felda seluruh negara pada 28 Mei di Pahang.
“Ramai yang bertanya apa persediaan Pakatan Rakyat dalam perkara ini. Jadi saya tegaskan, inilah buktinya kita serius meningkatkan taraf sosio ekonomi 1.6  juta warga Felda,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.
Menurutnya, terdapat tiga kategori penerima borang seperti anak-anak peneroka, kakitangan dan pegawai Felda berpendapatan rendah dan bekas tentera.
“Anak akan menggunakan cawangannya di seluruh negara termasuk jawatankuasa kemajuan kampung (JKKK), agensi parti (komponen Pakatan) dan Lembaga Kemajuan
Tanah Persekutuan untuk memungut permohonan dan melakukan saringan bagi menyemak permohonan yang dibuat.
“Apabila Pakatan Rakyat memerintah kelak, kita akan tapis semua permohonan yang dibuat dan borang ini akan diguna pakai untuk menyemak kriteria yang layak  menerima tanah,” katanya lagi.
Universiti Felda
Mazlan turut memberitahu pada himpunan 28 Mei ini, Anak akan menayangkan montaj perancangan untuk mewujudkan Universiti Felda.
Menurutnya, agenda itu sudah banyak kali dibincang dengan kerajaan dan Felda bagi menjimatkan peruntukan Felda yang terpaksa membayar geran kepada universiti swasta lain setiap tahun untuk program kerjasama.
“Kalau syarikat lain ada universiti sendiri, kenapa tidak Felda yang memiliki kemampuan untuk itu?,” soalnya.
“Ahmad Maslan sendiri bercakap di Parlimen bahawa Felda membayar RM25 juta setiap tahun untuk bayar geran kepada Universiti Lim Kok Wing untuk program kerjasama.
“Felda boleh wujudkan Universiti Teknologi Perladangan yang boleh memberi manfaat kepada anak-anak Felda,” katanya

No comments:

Posting Terkini