KUCHING: Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha membela hak semua kaum dengan adil dan saksama serta membawa keamanan dan kestabilan politik untuk membolehkan program pembangunan berjalan lancar.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, rakyat perlu sedar bahawa hanya kerajaan sedia ada yang dapat memperbaiki serta meningkatkan taraf hidup yang lebih baik sekali gus masa depan generasi akan datang.
Pembangkang pula katanya, bijak memperdayakan rakyat melalui isu propaganda politik sempit mereka yang lebih cenderung berasaskan kepada andaian semata-mata, bukan berpaksi kepada realiti dan kemahuan rakyat.
“Siapa kata BN tidak pernah menyumbang pembangunan untuk rakyat dan negeri ini seperti yang diuar-uarkan pembangkang!?… semua mengakui hakikat bahawa kerajaan telah banyak berjasa untuk rakyat dan negeri Sarawak.
“Justeru, bersama kita perkuatkan BN demi menjamin penerusan kestabilan politik, keamanan dan keharmonian agar dapat terus dimanfaatkan untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucaptama perasmian Konvensyen BN Sarawak 2011 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Pengerusi BN Negeri itu berkata, pembangkang tidak mungkin dapat memberi semua pembangunan yang dimiliki rakyat hari ini kerana mereka tiada memiliki kemampuan seperti BN.
“Golongan yang gemar terpekik-pekik ini tidak mampu membawa pembangunan, tetapi mereka boleh membuatkan negeri bankrap dan ketinggalan seperti yang dialami oleh rakyat di beberapa negeri yang telah dikuasai pembangkang,” tegasnya.
Taib menambah, mereka yang terpengaruh dengan hasutan pembangkang pasti akan ketinggalan bukan disebabkan kerana diskriminasi tetapi mereka sendiri yang memilih untuk meminggirkan diri dari arus perdana.
“Diibaratkan apabila anda yang hanya berperahu kecil tetapi melepaskan tembakan ke kapal besar, natijahnya anda akan berenang selama-lamanya,” katanya sambil mengakui terdapat sedikit kelemahan dalam kerajaan tetapi lebih banyak yang berjaya manakala kelemahan itu sentiasa diperbaiki.
Dalam pada itu, perpaduan yang berterusan akan membolehkan kehebatan transformasi pembangunan rakyat ke arah Pencapaian Ekonomi Berpendapatan Tinggi selaras dengan Gagasan Satu Malaysia.
Sebahagian daripada harapan rakyat terutama di luar bandar untuk melihat pemimpin BN berjaya membawa transformasi dari kehidupan miskin kepada kemewahan menjadi kenyataan apabila pendapatan sara hidup berjaya ditingkatkan kepada 40 kali ganda berbanding sebelum merdeka.
“Justeru, rakyat perlu memberi sokongan berterusan terhadap perjuangan BN kerana BN diibarat sebutir ‘mutiara’ yang perlu kita semua pertahankan,” katanya sambil diiringi tepukan gemuruh lebih 5,000 perwakilan yang memenuhi setiap ruang dewan BCCK.
No comments:
Post a Comment